PIDR2015 hasilkan resolusi masa depan ICT PAS?

SHUHAIMI EMBONG | .

PERSIDANGAN ICT dan Data Raya 2015 (PIDR2015) dengan tema "Kuasai Data Raya, Kuasai Informasi" telah diadakan pada Sabtu, 12 Disember, 2015 di Dewan Auditorium MBPJ, Petaling Jaya.    

Persidangan sehari yang diadakan lebih kurang 4 tahun sekali sekali sebenarnya telah bermula dengan Seminar dan Bengkel IT 2000 (SBIT200), Kongres IT PAS 2003 (KITP 2003), Persidangan ICT 2007 (PICT2007), Persidangan ICT dan Media Baru  2011 (PIBM2011)  dan pada kali ini Persidangan ICT dan Data Raya 2015 (PIDR2015).

Kehadiran pada persidangan kali ini agak memuaskaan, lebih kurang 700 orang telah hadir termasuk wakil IT setiap kawasan diminta hadir dengan pendaftaran agak ketat. Terima kasih kepada semua yang hadir.

Banyak komen berhubung dengan program PIDR2015 dalam facebook, portal dan sebagainya termasuk yang dilakukan oleh seorang blogger. Secara jujurnya saya tidak kenal siapa blogger Nordin Ali ini tetapi dia sebut dia hadir program tersebut. Mengikut rekod pendaftaran rasmi, saya diberitahu tidak ada nama Nordin Ali didaftarkan.

Hadir atau tidak blogger berkenaan pada PIDR2015 bukanlah perkara utama di sini. Saya tidak bercadang untuk menjawab tulisan beliau, PIDR2015 masih banyak yang perlu ditambah baik  tetapi membiarkan perkara ini dinilai sendiri oleh ahli dan pimpinan PAS kerana program PIDR2015 ini dibuat Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia dengan kerjasama JITP bersempena dengan sambutan 15 tahun jabatan tersebut.

Blogger Nordin Ali perlu memisahkan mindanya daripada program-program tradisi PAS (jika beliau masih ahli PAS) dengan program persidangan PDIR2015 ini. Saya petik hujah yang hendak disampaikanbeliau kepada PAS  khususnya berkaitan Dataraya yang dibincangkan.

Ini petikan pendapat Blogger Nordin Ali dalam tulisan tersebut yang disiarkan dan dipetik semula sebuah portal berita yang boleh dipertikaikan kredebilitinya.

“Data Raya bagi saya sangat jauh untuk dibincangkan oleh PAS dalam konsep pelaksanaannya tetapi saya setuju jika data raya ini dibahaskan dalam persediaan PAS menghadapi cabaran dalam alaf akan datang terutamanya menghadapi Barisal Nasional yang mengkin menggunakannya sebagai senjata untuk menguasai maklumat. Negara Malaysia sendiri pun masih belum mampu untuk mendapatkan sendiri data ini. Malah Kementerian Pendidikan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri dikatakan telah membeli data daripada luar negara dengan kos jutaan ringgit bagi mendaptkan matlumat tertentu” kata blogger Nordin Ali.

Saya secara peribadi boleh bersetuju diatas beberapa perkara yang ditegur. Terima kasih pada cadangan diberikan, tetapi PAS kena realistik dalam menerima pandangan.

Ada persidangan ICT diperingkat antarabangsa pun yang membentang kertas lebih banyak daripada 6 kertas. Sepanjang ingatan saya, ada 12 orang yang bertanya dengan lebih 20 persoalan untuk dijawab oleh ahli panel.   

Alaf baru yang kita sebut pada tahun 90-an dulu baru 15 tahun berlalu. Apakah PAS kena tunggu 75 tahun lagi dari sekarang  untuk bincang aspek Data Raya?.

Rata-rata perserta PIDR2015 yang ada dalam dewan MBPJ tersebut mungkin sudah jadi ‘arwah’  kalau PAS ikut cadangan blogger Nordin Ali tersebut. Walau bagaimanapun saya mengucapkan terimakasih kepada peserta PIDR2015 yang berjaya merangka dan meluluskan resolusi di bawah pada persidangan tersebut.

Pesanan Presiden PAS, Datuk  Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika menutup Persidangan ICT dan Data Raya 2015 (PIDR2015) menyebut, “inilah peringatan saya, gunakan teknologi maklumat terkini, senjata yang lembut, yang masuk ke dalam hati manusia. Gunakan kebijaksanaan dengan sebaik-baiknya, ilmu yang cukup, alat teknologi yang canggih”.

Sekali lagi saya sebagai Pengarah Persidangan ICT Dan Data Raya 2015 (PIDR2015) diamanahkan mendapat persetujuan peserta untuk membentang dan membincangkan resolusi persidangan ini sebelum diserahkan kepada Presiden PAS oleh Pengerusi Jabatan IT PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan.

Resolusi Persidangan ICT DAN DATA RAYA 2015 (PIDR2015)

Dengan ini, Persidangan ICT Dan Data Raya 2015 yang bersidang pada hari ini 30 Safar 1437 bersamaan dengan 12 Disember 2015 di Dewan Auditorium MBPJ, Petaling Jaya Selangor telah menggariskan beberapa ketetapan untuk dilaksanakan oleh seluruh jentera parti iaitu:  

TEKNOLOGI
1. Memperlengkapkan kemudahan infastruktur ICT di semua peringkat organisasi (contoh: Pusat, Negeri, Kawasan, Dun/UPU, dewan ulama, muslimat, pemuda dan DHPP) dan capaian internet dengan meminimumkan DOS “Denial of Service” bagi semua aplikasi/sistem capaian data/maklumat, memperhebatkan penggunaan media internet/media elektronik serta membangunkan Makmal IT (MIT) untuk pembangunan infrastruktur ICT (contoh: grid Computing, Cloud computing, Smart Computing, Augmented Reality, Machine Learning, Artificial Intelligence In Software & Robotic, Teknologi Mobile, Teknologi GIS  dan lain-lain).  

PROSES
2. Membangunkan Pusat Aplikasi Siber (PAS) untuk  menguruskan sumber data struktur (contoh SPOKAS, SSDP, SISPRO, SisKAP dan lain-lain), data semi struktur, dan data tak struktur (Media sosial, Media cetak, Media massa, media elektronik) dengan memanfaatkan kerjasama erat dengan komuniti (NGO, surau, institusi), akademik (universiti, kolej) dan industri (contoh Internet Service Provider, Telco dan lain-lain) untuk memastikan penyaluran maklumat yang cepat dan tepat di kalangan pimpinan dan ahli-ahli PAS di semua peringkat organisasi bermula dari pusat, negeri, kawasan, dun/upu dan sebaliknya.  

3. Membudayakan dan menjamin keselamatan data raya dan kerahsiaan maklumat parti disemua peringkat organisasi dengan memastikan perkhidmatan ICT yang diberikan adalah berkualiti dan memenuhi syarat-syarat CIA, iaitu: Confidentiality (keselamatan dan kerahsiaan data dan maklumat), Integrity (ketelusan, ketepatan data dan maklumat yang dikemaskini) dan Availability (tersediaan data dan maklumat dengan cepat dan meluas).  

SUMBER MANUSIA
4. Mengoptimumkan tenaga pakar dan petugas data dalam bidang pengurusan maklumat dan rekod elektronik (PMRE) (ie. (i) Champion PMRE -SSDP/SISPRO/SisKAP,SPOKAS, (ii) Champion ePAS (ePenyiaran Alam Siber-Web/WebTV, Radio Internet, Media Sosial dan lain-lain) dan (iii) Champion IT Sekuriti) serta  memperkasa kepakaran penganalisis data (contoh data scientist, Big Data Analyst dan lain-lain) untuk menguasai minda masyarakat di bawah pemantauan Setiausaha Perhubungan atau Setiausaha Kawasan sebagai Pengerusi IT diperingkat masing-masing sebagaimana dilakukan Setiausaha Agong PAS keatas Jabatan IT PAS Pusat (JITP) dengan menjadi Pengerusi.   

5. Mempertingkatkan ilmu kepenggunaan dan pembudayaan ICT dan Data Raya di kalangan pimpinan dan petugas parti disemua peringkat organisasi dengan menghadiri program latihan yang disusun Akademi Latihan IT (ALIT)  untuk memahami Infrastruktur Pengurusan Maklumat dan Rekod Elektronik (PMRE).  – HARAKAHDAILY 20/12/2015

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia.

Share on Myspace