EIO, TSO disambung kontrak 6 bulan sahaja?

MOHD SHUHAIMI EMBONG | .

SEBUAH badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Jaringan IT Prihatin (JITP) Malaysia gembira isu penamatan Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) dan Pegawai Sokongan Teknikal (TSO) segera diselesaikan kerajaan Terengganu selepas kontrak tahunan mereka tamat pada 31 Disember, 2015 yang lepas.

Selepas banyak pihak mempertikaikan tindakan kerajaan Terengganu dan anak syarikat milik penuhnya, Top IT menamatkan kontrak tersebut tanpa makluman lebih awal, akhirnya Seramai 101 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan empat Juruteknik Komputer (TSO) diberi peluang ke dua dan diberi  kontrak baharu  oleh TOP IT selepas 12 hari tarikh luput kontrak tahun 2015.

Dilaporkan, Pengerusi JawatanKuasa Transformasi Kerajaan , Komunikasi dan Multimedia Negeri A. Latiff Awang, mereka  diberi kontrak lantikan untuk tempoh percubaan selama enam bulan.

Masalah ini belum selesai lagi sepenuhnya, tetapi ini merupakan ‘interim’ yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak, majikan dan pekerja. Daripada ditamatkan begitu sahaja, setelah kontrak tamat walaupun telah bekerja sejak 6 - 7 tahun lepas, ada baiknya EIO dan TSO tersebut diberikan kontrak 6 bulan dahulu supaya penyesuaian dapat dilakukan.

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) yang tidak ditawarkan kontrak baharu selepas 31 Disember 2015 boleh mengemukakan rayuan kepada TOP IT bagi dinilai semula prestasi semasa mereka.

Sebelum itu, saya sendiri atas nama Pengerusi NGO JITP Malaysia ataupun atas nama NGO Perantau ketika diminta mengulas isu ini memberikan kenyataan kepada beberapa media sebagai sokongan moral kepada EIO dan TSO tersebut di samping mendesak kerajaan Terengganu khususnya kepada Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu supaya melihat isu ini dengan segera.

Kenyataan media tersebut ada disiarkan sebelum ini menyebut, Pertubuhan jaringan IT Prihatin Malaysia merasa kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu mengambil sikap drastik dan tergesa-gesa menamatkan khidmat Pegawai Eksekutif Maklumat (EIO) dan Pegawai Sokongan Teknikal (TSO).

Bagi saya, pemberhentian yang dimaklumkan hanya melalui e-mel oleh anak syarikat kerajaan negeri TOP IT Industries secara mengejut adalah tidak wajar dan tidak professional.

Usaha Kerajaan Negeri Terengganu yang dilakukan oleh mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mewujudkan jawatan EIO/TSO yang ditempatkan disekolah-sekolah bagi menguruskan hal-hal berkaitan ICT adalah suatu langkah yang baik.

Isu EIO dan TSO ini berbangkit apabila Datuk Seri Ahmad Razif membatalkan program e-book menyebabkan barangkali keperluan perjawatan tersebut terpaksa ditamatkan oleh Top IT yang mengendalikan program e-book.

Penamatan secara tiba-tiba para pegawai terbabit tidak selari dengan slogan kerajaan ‘Transformasi Terengganu Baru’. Apatah lagi dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, menjadi perkara yang amat besar kepada mereka,

Mereka bukan sahaja tertumpukan kepada ebook kerana yang bertugas di sekolah-sekolah menengah, diberitahu program ebook tidak mempunyai silibus yang tertentu tetapi mereka menjadi pemudahcara smart board dan kelas maya yang diadakan sebelum ini.

Malah ada yang diberikan tugas menjadi pentadbir laman web sekolah-sekolah berkenaan. Tugasan antara EIO dan TSO ini banyak bergantung kepada tempat mereka ditugaskan. Malah ada juga EIO yang melakukan kerja TSO, ditempat-tempat yang tiada TSO ditempatkan.

Secara peribadi, dari awal lagi perkara penamatan ini tidak sepatutnya menjadi isu sekiranya kaedah penyampaian yang baik dilakukan oleh pihak kerajaan negeri dan juga majikan, Top IT dengan memberikan mesej yang jelas bila program ebook ditamatkan oleh kerajaan negeri.

Apa itu EIO dan TSO di Terengganu?

Dalam menjayakan program eBook dan Kelas Maya di Negeri Terengganu yang di perkenalkan mulai tahun 2009, EIO dan TSO telah memainkan peranannya dengan agak berkesan dalam membantu perlaksanaan program ini. Isu mengenai kerosakan eBook sehingga mengganggu proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) oleh guru, murid menyalahgunakan kemudahan eBook yang dibekalkan dan sebagainya akan dapat ditangani dengan sewajarnya.

Jawatan ini diwujudkankan dengan matlamat diantaranya bagi membantu kerajaan dalam melahirkan generasi celik Teknologi Maklumat (IT) dan secara kolektifnya memastikan penggunaan sepenuhnya sumber tenaga kakitangan berkomputer.

Mengikut laporan Persatuan EIO & TSO yang sempat saya baca, terdapat lebih 500 graduan lulusan Diploma dan ijazah dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat telah diambil oleh kerajaan Negeri Terengganu bagi mengisi kekosongan jawatan Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) secara Kontrak di Sekolah-Sekolah dan Pelbagai Agensi yang berkaitan dengan pendidikan di seluruh negeri Terengganu sejak 2009.

Tugas mereka adalah;
1. Memantau dan Merekod Penggunaan eBook (EIO) dan Menyelenggara dan membaiki kerosakan eBook (TSO)
2. EIO dan TSO berperanan membaiki dan menyelenggara segala jenis kerosakan eBook sekaligus dapat membantu melancarkan proses PdP oleh guru di sekolah.
3. EIO dan TSO akan membuat jadual berkala bagi memantau dan merekod penggunaan eBook oleh murid sekaligus dapat mengelakkan sebarang aktiviti penyalahgunaan eBook.
4. Membantu Guru dalam menggunakan eBook untuk melaksanakan PdP
5. EIO dan TSO akan memberi khidmat bantu kepada guru dalam menggunakan eBook dan perkakasan ICT yang lain untuk proses PdP yang lebih berkesan.
6. Memberi latihan kepada Guru untuk menggunakan eBook
7. EIO dan TSO akan memberi latihan kepada guru terutamanya dalam melibatkan penggunaan eBook dan peralatan ICT yang lain untuk memberi lebih kefahaman kepada guru dalam mengendalikan peralatan tersebut.
8. Meningkatkan Literasi Digital dalam kalangan Murid Sekolah
9. EIO dan TSO memberi pendedahan kepada murid melalui pelbagai cara seperti membuat kelas komputer, menganjurkan pertandingan ICT peringkat sekolah, menubuhkan pasukan siber sekolah dan sebagainya bagi meningkatkan literasi digital bermula di peringkat sekolah rendah. – HARAKAHDAILY 15/1/2016

Share on Myspace