MengITkan Penerangan, MemPenerangankan IT

SHUHAIMI EMBONG | .

SAYA diminta membentangkan satu tajuk, Media Baru: MengITkan Penerangan dalam satu Confrence Muslimat Istiqamah (CONFIRM) yang dihadiri oleh jentera Penerangan Muslimat seMalaysia pada 23hb Januari yang lepas bertempat di Kota Bharu, Kelantan.

Sebelum kita pergi lebih jauh membincangkan tajuk ini, saya telah meminda sedikit dengan menjadikannya sebagai Media Baru: MengITkan Penerangan, MemPenerangankan IT sebagaimana satu ungkapan yang dipopularkan oleh mantan Presiden PAS, Ustaz Datuk Fadzil Noor yang sentiasa menekankan gagasan, Mengulamakan Profesional, Memprofesionalkan Ulama.

Bersandarkan kepada gagasan tersebut yang dibawa oleh PAS dengan maksud, golongan profesional mestilah belajar ilmu-ilmu agama sebagaimana ulama, begitulah juga ulama juga mestilah belajar ilmu-ilmu baru di luar bidangnya sebagaimana golongan profesional untuk kepentingan PAS dan perjuangannya.

Jadi diatas semangat itulah, bila diberikan tajuk untuk dibentangkan oleh Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, saya menyarankan pendekatan MengITkan Penerangan, MemPenerangankan IT, di mana jentera penerangan mestilah belajar aplikasi IT untuk menyebar luaskan informasi yang berkaitan dengan menggunakan media IT atau sekarang lebih dikenali sebagai Media Baharu atau media sosial.

Dalam masa yang sama pula, orang-orang IT pula mengambil tindakan mempelajari dan memahami keperluan Penerangan supaya mereka juga boleh memperkasakan lagi jentera Penerangan yang sedia ada untuk beralih kepada media IT sebagai satu media yang penting dewasa ini.

Saya tidak bercadang untuk menurunkan satu persatu apa yang saya bentangkan kepada lebih kurang 300 orang jentera penerangan muslimat dalam CONFIRM tempohari tetapi akan mengambil beberapa perkara penting sahaja untuk ikhtibar kepada pembaca kolum Gerbang IT dan Media Baharu kali ini.    

Peranan Media Baru  dalam Perjuangan PAS
Peranan Lajnah Penerangan dan Hubungan Media serta Jabatan IT PAS (dibawah Urusetia Komunikasi dan Multimedia) - Unit ePAS (ePenyiaran Alam Siber) dan MBMM (Media Baru & MultiMedia) menjadi semakin penting.

Ia perlu diperkukuhkan dalam organisasi PAS  bagi mengambil faedah daripada ledakan ‘media baru’ ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya selain daripada Harakah dan Harakahdaily yang perlu dikembangkan kandungan dan capaiannya dari masa ke semasa terutamanya dalam menghadapi fenomena ledakan maklumat perang siber sekarang ini.

Seperti yang ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam beberapa muktamar PAS sebelum ini, media parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm, mestilah berusaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan bagi disampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihan raya bagi meghadapi PRU ke-14 nanti.

Justeru itu, satu mekanisme yang berkesan bagi memantapkan kerjasama jentera IT dengan Penerangan atau sebaliknya perlu dimantapkan. Untuk itu saya mengemukakan satu slogan, “mengITkan Penerangan, memPenerangankan IT bermaksud, orang IT kena belajar juga menjiwai kerja-kerja penerangan, begitulah juga sebaliknya, orang Penerangan juga kena diajar menggunakan IT.

Orang-orang yang dimaksudkan ini, perlulah diberikan peranan kepada mereka sebagai Champion ePAS (ePenyiaran Alam Siber) yang menjadi salah satu kepada resolusi PIDR2015 (Persidangan ICT dan Dataraya 2015) khususnya bagi menjuari maklumat atau data-data tidak berstruktur dalam pelbagai media siber sekarang ini.

Pada saya, penglibatan dalam media sosial kepada ahli gerakan Islam dengan mengambil PAS sebagai contohnya mestilah tidak lari dari dalam kerangka perlembagaan PAS itu sendiri yang bermatlamatkan untuk “mencari keredhaan Allah”.

Perkara ini boleh dirujuk dalam Fasa 6, bab ke-3 Perlembagaan PAS yang menyebut antara lainnya, “Menyeru umat manusia kepada Syari'at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah serta menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan”.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 bermaksud;

"Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik yang membawa sesuatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kejahilan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu." -

Berikut adalah  sedutan Ucapan Dasar Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-60 (2014) dibawah tajuk kecil, Istiqamah Membawa Kebaikan Menerusi Media Baru menyebut; Media baru dalam dunia tanpa sempadan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan dakwah dan tarbiyah bagi memperbetulkan manusia dan mengembalikan manusia ke jalan yang benar.

Saya bersetuju dengan saranan Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia yang menyarankan tiga langkah jangka panjang yang boleh dijadikan polisi dan garis panduan dalam memanfaatkan komunikasi dan sebaran maklumat secara pantas melalui media baru ini agar lebih bertanggungjawab dan berhikmah, iaitu :

i. Tanggungjawab kepimpinan dalam memanfaatkan ICT dan Media Baru dimana kepimpinan dan ahli-ahli PAS perlulah memikul amanah dan pertanggungjawaban dengan apa jua maklumat yang berpunca dari diri mereka.
ii. Memanfaatkan Laman Web dan Media Sosial rasmi PAS untuk sebaran maklumat rasmi organisasi dengan lebih bertanggungjawab dan teruurus melalui proses penyebaran yang selamat.
iii. Sentiasa memantau saluran media baru seperti blog dan media sosial demi mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan perjuangan Islam itu sendiri.

Saya akhiri tulisan berkaitan Media Baru kali ini dengan penegasan yang telah diberikan oleh Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 30/1/2016

Penulis adalah Pengarah Jabatan IT Pusat.

Share on Myspace