Laman web, blog atau portal

SHUHAIMI EMBONG | .

SABAN hari dapat kita dapat lihat begitu banyak laman web, blog atau portal yang dibina dan diperkenalkan dunia internet sekarang ini. Masing-masing berlumba untuk menjadi satu laman web atau blog atau portal mereka sering dikunjungi oleh pelawat di seluruh dunia.

Bagi orang yang baru mengenali dunia internet dan laman web ini, masih ramai yang ragu-ragu dan pening kepala dengan pelbagai jenis laman web yang boleh dibina dan apakah jenis konsep yang sesuai digunakan sekiranya ingin membangunkan satu laman web.

Sebelum kita terperangkap dengan istilah-istilah yang digunakan, ada baiknya kita meneliti perkara ini sepintas lalu sahaja.

Apa itu Laman Web?

Web merupakan satu perkhidmatan yang menghimpun maklumat.  World Wide Web atau WWW atau lebih dikenali sebagai web merupakan perkhidmatan internet yang paling popular. WWW boleh dikatakan sebagai perpustakaan maya sejagat (Universal Virtual Library).

Laman web atau dikenali sebagai World Wide Web(WWW) ialah jaringan sejagat yang terdiri daripada koleksi fail dalam talian (Online). Laman web bolehlah ditakrifkan sebagai halaman-halaman elektronik yang dipaparkan melalui komputer dengan menggunakan teknologi internet.

Laman web ialah dokumen hyper text markup language (HTML) menggunakan bahasa khas yang mengandungi hubungan hiperteks dengan dokumen lain pada World Wide Web (WWW). Tapak jaring ini mengandungi pautan (Link) ke dokumen dan sumber-sumber maklumat yang terdapat di seluruh rangkaian internet. Protokol yang lazim digunakan ialah http:// iaitu sengkatan Hyper Text Transfer Protocol.

Lazimnya web mempunyai hiper pautan (hyperlinks) teks, imej grafik, audio dan video. Setiap halaman web mempunayi alamat yang unik. Alamat ini dikenali sebagai Uniform Resource Locator (URL). Setiap URL mengandungi dua bahagian utama iaitu protokol dan nama domain. HTML digunakan untuk membuat reka bentuk laman web dan untuk menghubungkan satu halaman dengan halaman yang lain pada web.

Website atau laman web boleh juga diertikan sebagai kumpulan laman yang memaparkan maklumat data teks, data gambar diam atau gerak, data animasi, suara, video dan atau gabungan dari semuanya, baik yang bersifat statik dan dinamik yang membentuk satu rangkaian bangunan yang saling berkaitan di mana masing-masing dihubungkan dengan rangkaian-rangkaian laman

Namun, laman web hanyalah tertumpu kepada penyaluran maklumat asas kepada pengunjung semata-mata. Komunikasi dua hala sangat kurang antara pengunjung dengan pengendali web ataupun web itu sendiri.  

Secara garis besar, website boleh digolongkan menjadi 3 bahagian iaitu: 1. Website Statik  2. Website Dinamik,  3. Website Interaktif.

Website statik adalah web yang mempunyai laman tidak berubah. Manakala, Website Dinamik merupakan website yang secara struktur diperuntukan untuk update sekerap mungkin. Contoh umum mengenai laman web dinamik adalah web berita atau web portal yang didalamnya terdapat kemudahan berita, polling dan sebagainya.  

Sementara, Website Interaktif adalah web yang saat ini memang sedang berkembang. Salah satu contoh website interaktif adalah blog dan forum. Biasanya website seperti mempunyai moderator untuk mengatur supaya topik yang diperbincangkan tidak keluar jalur.

Selaras dengan perkembangan dunia laman web yang memperkenal konsep Web 2.0, yang lebih tekankan kepada interaksi 2 hala di mana pihak pembangun menyediakan tapak dan pelawat akan turut serta untuk memeriahkan laman web anda.

Blog
Laman web jenis ini kebiasannya lebih menjurus kepada laman peribadi dan lebih senang untuk dibangunkan. Ini merupakan antara jenis laman web yang paling banyak dibangunkan kerana proses penjagaannya yang mudah dan penyertaan pelawat yang tidak memerlukan proses pendaftaran.

Antara ciri-ciri laman web berjenis blog adalah:
1. Paling mudah dibangunkan dan paling senang untuk orang baru. Pendaftaran MUNGKIN diwujudkan tetapi biasanya pihak pembangun akan menggunakan kemudahan Open ID
2. Reka bentuk laman web perlu lebih menarik dan "catchy" untuk menarik pengunjung. Struktur laman web lebih ditekankan kepada teks berbanding gambar (70%-30%).
3. Kandungan artikel mungkin tertumpu kepada satu agenda atau bercampur aduk dengan perkara lain bergantung kepada pihak pembangun. Artikel atau bahan kandungan perlu sentiasa dikemas kini supaya pengunjung akan kembali semula bertandang. Keberkesanan laman jenis ini adalah bergantung kepada bilangan pengunjung yang melawat. Interaksi untuk pelawat lebih kepada penulisan komen berbanding perkara lain yang dinyatakan dalam portal
4. Penyertaan pihak pelawat membantu untuk menaikkan tahap populariti laman ini, tanpa pengunjung maka laman ini seolah-olah mati
5. Kebiasannya laman ini akan dipenuhi dengan pelbagai jenis iklan-iklan yang mungkin serba sedikit mengganggu pengunjung

Pengendali blog ini dipanggil Blogger. Sekarang ini ramai ahli-ahli politik, wartawan dan tokoh-tokoh masyarakat menggunakan media ini yang kekadangnya boleh diisitilah ‘wartawan’ sendiri tanpa editor.
Bila wujudnya Facebook dan Twitter mereka beralih pula kepada media baru ini untuk menyampaikan pandangan masing-masing pada bila-bila masa tanpa ada had dan batas.

Portal
Portal adalah anjakan daripada laman web. Portal lebih ‘besar’ dan menyeluruh berbanding laman web. Terdapat berpuluh-puluh aplikasi yang menyokongnya. Portal membantu dalam pengurusan atau membuat keputusan, hasil maklumat-maklumat yang dijanakan olehnya. Antara contoh yang paling mudah untuk portal adalah Google, Yahoo! Dan sebagainya.

Antara ciri-ciri yang perlu ada untuk laman web berjenis portal adalah:
1. Struktur laman web lebih teratur dan tidak terlalu serabut. Susunan semua maklumat adalah lebih teratur dan mudah dicapai oleh pelawat.
2. Kandungan laman web lebih variasi dan tidak terlalu tertumpu untuk satu jenis. Penggunaan beberapa widget tambahan seperti video dan foto galeri.  Paparan maklumat atau informasi yang penting berada di laman utama.
3. Reka bentuk laman adalah ringkas dan setiap elemen-elemen dimasukkan dalam satu kawasan-kawasan tertentu. Kandungan berasaskan kepada teks dan grafik (50%-50%). Elemen multimedia dan interaktif seperti grafik animasi dan paparan pautan menu beranimasi menarik minat pengunjung
4. Pelawat boleh meninggalkan komen, menghantar artikel atau maklumat lain ke laman web
5. Informasi selalu ringkas tetapi padat agar pengunjung lebih mudah untuk memahami maklumat yang ingin disampaikan

Secara umumnya, perbezaan yang paling ketara antara portal dan laman web ialah sasaran pengunjungnya.Ciri-ciri asas portal perlu mengandungi  semua ciri-ciri asas laman web ditambah dengan perkhidmatan online yang disediakan oleh agensi. Perbezaan portal berbanding laman web adalah portal menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan online. – HARAKAHDAILY 15/2/2016

Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Jaringan IT Prihatin Malaysia.

Share on Myspace