Tingkatkan kesedaran keselamatan di Internet

SHUHAIMI EMBONG | .

ERA ledakan siber sekarang ini menerusi lambakan laman media sosial pada masa kini, termasuk Facebook, WeChat,  Twitter, Whatsapp, Skype dan banyak lagi aplikasi lain melahirkan sindiket jenayah alam maya secara tidak langsung.

Kebanyakan dilihat mengambil kesempatan yang melibatkan penipuan dalam  e-perdagangan, perbankan menerusi jaringan Internet, dan penggunaan ‘Voice Over Internet Protocol (VoIP) disebabkan kurangnya kefahaman dan kesedaran mengenai keselamatan penggunaan kemajuan siber serta teknologi maklumat menjadi faktor utama ramai rakyat di negara ini, khususnya terjebak ke lembah mangsa jenayah digital, yang juga dikenali sebagai jenayah siber.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai tahap keselamatan alam siber negara  ini, namun CyberSecurity Malaysia dilihat memberi jaminan ia berada di tahap terkawal. Justeru, katanya, kawalan keselamatan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang adalah penting bagi memastikan isu itu dapat dikawal.

Meskipun aplikasi tersebut kesemuanya didatangkan dengan pengesahan keselamatan identiti pengguna seperti penggunaan kata laluan (password), ia masih boleh ditembusi secara mudah menerusi kelicikan penjenayah siber yang dikenali sebagai penggodam atau pencuri identiti.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Dr Aminuddin Abdul Wahab sebelum ini pernah berkata pihak CyberSecurity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa membuat pemantauan untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan di alam siber.

"Orang ramai tidak perlu risau atau cemas, mereka boleh membantu menjaga keamanan alam siber negara dengan mematuhi undang-undang negara ini terutamanya bagi individu dewasa ketika melayari Internet," kata beliau dalam kenyataan kepada Bernama.

Antara tindakan pengguna yang boleh membantu menjaga keselamatan alam siber ialah dengan sentiasa menjaga etika ketika menggunakan e-mel dan laman media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.

"Fikir secara rasional, jangan bertindak ikut emosi dan jangan mudah percaya dengan sumber maklumat yang tidak sahih. Oleh itu, jangan 'share', 'like', atau 'forward' maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana perbuatan tersebut seolah-olah menyebarkan fitnah," jelas Aminuddin.

Syahrul Nizam Junaini Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), ketika menyampaikan Ceramah Komuniti: Jenayah Siber, di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di Kuching dilaporkan berkata punca masalah berlakunya jenayah siber adalah berhubung dengan kelemahan keselamatan pada peranti teknologi yang digunakan termasuk penggunaan kata laluan yang terlalu mudah untuk ditembusi.

“Tiga punca yang menjadi masalah utama berlakunya jenayah siber adalah ketanpanamaan (anonymous) pengguna Internet, kelemahan pengawalan di ruang Internet serta wujudnya penyamaran identiti di alam maya.

“Malah, bukan itu sahaja, masyarakat yang menjadi pengguna alam siber itu sendiri bersifat leka dan mengambil remeh terhadap tahap keselamatan komunikasi maklumat dan teknologi (ICT) sekali gus menjadi mangsa kerakusan penggodam bagi mencapai kepuasan peribadi mereka,” katanya.

Tambah beliau, pengguna seharusnya memikirkan keselamatan peribadi mereka sebelum membuat keputusan untuk berkongsi maklumat diri yang dimuat naik, disimpan serta disalurkan menerusi atas talian.

Selain itu, jelasnya, antara lain yang sering kali dikaitkan dengan jenayah siber ialah pemalsuan data secara umum yang tertumpu kepada pemalsuan imej dan nama.

Atas kesedaran bagi mempertingkatkan kesedaran keselamatan di Internet, Jabatan IT PAS Pusat telah mengadakan Bengkel Asas Keselamatan IT pada akhir bulan Januari 2016 yang lepas. – HARAKAHDAILY 29/2/2016

Penulis adalah Pengarah Jabatan IT PAS

Share on Myspace