MINDA untuk kempen PRN Sarawak?

SHUHAIMI EMBONG | .

MALAYSIA Inklusif Negara Digital dengan akronimnya MINDA yang kononnya dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)  untuk meningkatkan capaian digital seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman serta membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah atau B40 menyertai bidang keusahawanan menerusi platform online.

Kalau mengikut kenyataan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad seperti dilapor media, beliau berkata program MINDA dirancang turut diadakan di seluruh negara dengan siri pertama program selama tiga hari, bermula 11-13hb Mac 2016 dengan ruang pameran disediakan buat pelbagai agensi serta jabatan kerajaan persekutuan, negeri serta syarikat berkaitan teknologi komunikasi akan dipenuhi dengan pelbagai acara khusus yang disasarkan melibatkan 50 penyertaan.

Pameran dikategorikan kepada empat zon iaitu Zon Capaian, Zon Motivasi, Zon Kemahiran dan Zon Kebolehpercayaan bertempat  sekitar Tebingan Sungai Kuching bagi meningkatkan kesedaran serta pengetahuan orang ramai mengenai kepentingan dan kaedah penggunaan teknologi komunikasi dengan lebih berkesan.

Kempen Peningkatan Capaian Digital MINDA di Sarawak untuk Pilihanraya?

Tidak sukar untuk mencari justifikasi kenapa Sarawak menjadi destinasi pertama program 'Minda' anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dipilih untuk pelancaran program MINDA tersebut dengan satu ekspo atau pameran MINDA diadakan di perkarangan Sungai Sarawak dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 12 Mac, 2016 lepas.

Sama ada ia diadakan kerana Pilihan Raya Negeri Sarawak bakal diadakan dalam jangkamasa terdekat atau tidak biarlah rakyat yang menilainya.

Sebagaimana yang umum sedia maklum, Sarawak adalah antara negeri yang terkebelakang dalam capaian digital yang kawasannya luas dengan Semenanjung. Perkara ini diakui sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dalam ucapan pada Perasmian MINDA baru-baru ini.

"Sarawak ini besar... sama besar dengan Semenanjung, dan ada 5,000 kampung serta rumah panjang berselerak serta berada jauh. Yang penting ketika ini ialah hubungan komunikasi dalam negeri (Sarawak).

Jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini masih perlu diperbaiki, sehubungan itu, beliau berkata Sarawak berterima kasih kepada kerajaan Pusat yang komited membantu mengurangkan jurang digital  tersebut.

Adenan berkata beliau telah dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bahawa semua menara telekomunikasi di negeri ini, akan berfungsi menjelang akhir bulan ini.

"Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ketika ini 85 peratus daripada kesemua menara itu sudah berfungsi.

Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, perkembangan era digital menyebabkan rakyat negara ini kini sudah berubah cara berkomunikasi di mana jika dahulu komunikasi adalah dalam bentuk 'muka ke muka' tetapi sekarang melalui laman sosial Facebook.

Malaysia adalah antara negara yang tertinggi di dunia menggunakan komunikasi melalui facebook dan difahamkan rakyat Malaysia menghabiskan sebanyak 5 hingga 6 jam untuk mengendalikan facebook masing-masing dan ia antara tertinggi di dunia adalah rakyat Malaysia yang terlibat dalam telekomunikasi seperti ini.

Ketika berucap di Majlis Pelancaran Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA), beliau berkata penambahbaikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan bandar selesai sepenuhnya dan kini pelaksaan projek dijalankan di luar bandar.

Tambahnya, bagi meningkatkan akses kepada internet untuk Sabah dan Sarawak, kerajaan komited untuk melaksanakan pemasangan kabel dasar laut dalam tempoh tiga tahun dengan kos sebanyak RM850 juta.

Katanya, ia membabitkan penambahan menara telekomunikasi bagi memastikan pengguna di negeri ini mendapat liputan 3G dan 4G.

Menurutnya, pelaksanaan Internet berkelajuan tinggi turut dilaksanakan bagi memastikan kawasan bandar menerima 10mbps Internet dan luar bandar antara empat hingga 10mbps.

Fasa satu pembangunan perkhidmatan telekomunikasi di Sarawak sudah 85 peratus selesai membabitkan kos RM290 juta.

“Penambahbaikan sistem telekomunikasi ini memerlukan perbelanjaan besar dan fasa kedua akan dilancarkan, April ini, dengan kos RM1.8 bilion.

"Bagi Sarawak, sebanyak 150 menara komunikasi dan 438 WiFi komuniti telah dan sedang giat dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama pemberi perkhidmatan utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, Redtone dan Measat," katanya.

Bagi saya, semoga usaha mengurangkan jurang digital yang sedang diusahakan oleh kerajaan Pusat dan kerajaan Sarawak menjadi kenyataan kerana agenda untuk menghubungkan rakyat dan membina masyarakat yang bermaklumat sahaja dapat melakukan perubahan dalam pilihan raya. – HARAKAHDAILY 18/3/2016

Share on Myspace