Jom! Cipta logo Muktamar PAS 62

SHUHAIMI EMBONG | .

 

Gambar: Hazizul Hakim menerima hadiah daripada Presiden dan Setiausaha Agong PAS pada Muktamar PAS ke-59

JOM! Sertai Pertandingan Cipta Logo untuk  meriahkan sambutan Muktamar

Sempena ulang tahun ke-65 Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada tahun 2016 ini, PAS sekali lagi menganjurkan pertandingan mereka cipta logo bagi muktamar tahunan PAS bagi kali ke-62 yang dijangka akan diadakan pada bulan Jun, 2016 di Kota Bharu nanti.

Pertandingan mereka cipta logo muktamar tahunan PAS ini tidak diadakan pada setiap tahun. Kali pertama pertandingan mereka cipta logo untuk Muktamar PAS ini diadakan adalah pada Muktamar ke-56 (pada tahun 2010) yang diadakan di kota Bharu dan kemudiannya diadakan  pada Muktamar PAS ke-59 (pada tahun 2013).

Bila ia diadakan sekali lagi pada tahun ini bagi muktamar PAS ke-62, ia seolah-olah menjadikannya setiap tiga (3) tahun sekali. Pertandingan pada kali ini dah bermula pada akhir Mac 2016 hingga 29 April, 2016 .  

Saya tak ingat berapa penyertaan untuk pertandingan mereka cipta logo pada tahun 2010 tetapi bagi pertandingan pada tahun 2013 yang lalu, seramai 117 penyertaan diterima tetapi hanya 114 sahaja yang dikira sah kerana memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan pihak penganjur.

Hazizul Hakim Mohd Jais, 23, yang baru menamatkan pengajiannya dibidang Grafik dan Media Digital di UiTM Perak pada tahun 2010 ketika itu terkejut dan tidak menyangka penyertaan sulungnya itu telah memihak padanya.
 
Ketika ditemui penulis pada hari perasmian Muktamar PAS ke-59 dahulu, beliau memberitahu Logo dengan lambang nombor 59 itu terhasil atas rasa tanggungjawab beliau kepada parti, bukan semata-mata mahu memenangi pertandingan.

"Alhamdulillah akhirnya ilham kami bersama, akhirnya telah dinilai oleh pengadil dan saya rasa syukur dan bangga kerana PAS telah menggunakan logo itu sempena muktamar tahun ini," kata Hazizul gembira.

Pertandingan ini terbuka kepada ahli PAS sahaja dan penyertaan boleh hantar kepada pihak penganjur mulai sekarang hingga 29hb April 2016.

Saya juga tak pasti berapa penyertaan pada tahun ini kerana hadiah yang ditawarkan adalah lebih rendah berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini kerana kegawatan ekonomi. Hanya RM1,650 sahaja yang ditawarkan pada pemenang pertama pada tahun ini berbanding dengan RM2,000 pada tahun 2013 dan RM3,000 pada tahun 2010 yang lepas.

Semua yang mempunyai kepakaran dan berminat boleh menyertai pertandingan pada kali ini. Peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan tetapi dikehendaki mengisi borang yang disediakan di laman web rasmi PAS Pusat : http://pas.org.my/logomuktamar62/ - HARAKAHDAILY 4/4/2016

Share on Myspace