Jangan jadikan bidang pendidikan mangsa politik

IZWAN ABDUL HALIM | .

BUKIT KATIL: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek mengingatkan para pemerintah agar tidak menjadikan sektor pendidikan sebagai persaingan dan perlawanan untuk kepentingan politik.

Menurutnya, banyak isu-isu pendidikan yang diabaikan pemerintah terutamanya Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan kebajikan para pendidik selain peruntukan terhadap institusi berkaitan.

"Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah anak-anak Melayu Islam dan institusi pendidikan umat seperti SAR," kesali beliau yang juga Mudir Maahad Rahmah.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Himpunan Pendidik Islam Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dewan Mu'allim Abdul Wahid Osman, Bukit Baru, di sini hari ini.

Katanya, Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) lahir tepat pada masanya di saat kecelaruan sistem pendidikan negara berlaku.

Menurutnya, Pendidik telah bangkit memperjuangkan isu pendidikan bukan sahaja mengenai SAR, tetapi juga kebangsaan.

Antaranya ujar beliau, isu penempatan guru, pemisahan guru daripada keluarga, anak, isteri dan suami yang terpaksa berjauhan serta penafian kenaikan pangkat.

Beliau turut meletakkan harapan agar Pendidik yang dipimpin Presidennya, Normala Sudirman akan menjadi penyuntik semangat para pendidik di negara ini.

Beliau juga melahirkan impian agar usaha terhadap pendidikan akan melahirkan Malaysia sebagai hub pendidikan utama di rantau ini suatu hari nanti. – HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace