Kemenangan kerana mentaati Allah dan Rasul-Nya

TUAN GURU HASHIM JASIN | .

 

SETIAP perjuangan mempunyai cita-cita untuk mencapai kemenangan. Apa pun dasar yang dianut oleh seseorang atau sesuatu pihak dalam perjuangannya, pasti ia mempunyai matlamat akhir untuk mencapai kemenangan dan melaksanakan agenda bertindak mereka. Kalau pemain bola sepak di padang pun mahukan kemenangan, apatah lagi bagi pejuang-perjuang Islam. Parti-parti politik yang beraksi di medan siasah juga pasti mempunyai matlamat untuk mencapai kemenangan, apatah lagi kalau parti itu mendukung perjuangan Islam, maka sudah pasti kemenangan akan membolehkan syariat Islam ditegakkan.

Kemenangan atau kejayaan disebutkan sebagai "al-falah" dalam istilah Islam. Inilah seruan yang saban hari dilaungkan oleh mauzzin (bilal) yang sentiasa mengajak manusia kepada kejayaan dan kemenangan yang hakiki atau al-falah. Al-falah adalah kata tunggal dari kata falaha-yaflahu yang memberi maksud mengolah dan membajak. Kebanyakkan ulamak tafsir menyatakan al-falah memberi makna memperolehi apa yang diinginkan atau mencapai kebahagiaan. Sheikh Ahmad Mustafa al-Maraghi mengatakan al-falah bermaksud tercapainya tujuan yang dicita-citakan hasil daripada ketaqwaan kepada Allah. Dalam bentuk lain, kata al-falah juga disebutkan sebagai faa-izun yang membawa erti kemenangan.

Dalam suasana semua orang mengejar kejayaan dan kemenangan, ramai pula orang terkeliru apakah sebenarnya yang dicita-citakan oleh mereka. Apakah mereka mahu melihat Islam tertegak atau sekadar mahu menguasai Putrajaya? Untuk apa sesebuah parti politik menguasai Putrajaya jika mereka tidak dapat menegakkan ideologi yang menjadi dasar mereka? Saya yakin jika Parti Komunis yang menguasai Putrajaya, pasti mereka mahu melaksanakan dasar-dasar komunisnya, seperti mana kelompok sekular kebangsaan melakukannya sekarang ini. Maka, mengapa orang yang berada dalam perjuangan Islam boleh terkeliru tentang tujuan untuk apa kita menguasai Putrajaya. Mana mungkin PAS akan menegakkan dasar liberal atau bersama dengan dasar sekular yang dianut oleh parti-parti lain, sedangkan dasar PAS ialah Islam.

Kemenangan yang disasarkan jika sekadar memenangi pilihan raya, ia adalah satu kefahaman yang sangat dangkal bagi ahli-ahli politik walau dari parti mana sekali pun mereka. Pilihan raya hanyalah alat untuk mencapai matlamat, ia bukan tujuan. Bukankah setiap daripada parti politik itu ditubuhkan dengan tujuan, dan mahu menjadikan keyakinan mereka terhadap ideologinya sebagai sesuatu yang diterjemahkan? Tidak ada parti yang meletakkan sasarannya hanya untuk menang pilihan raya. Begitu juga PAS! Mencapai kemenangan yang dihitung semata-mata dengan memenangi pilihan raya ertinya matlamat perjuangan kita sangat singkat dan terhenti di pelabuhan dunia. Kita tidak akan mencapai apa-apa kejayaan atau kemenangan sekiranya kita tidak dapat melaksanakan dasar dan tujuan sebenar kewujudan parti kita, apatah lagi tujuan penciptaan kita!

Apakah erti sebenar kemenangan bagi sebuah perjuangan Islam? Dalam al-Quran sering kali Allah SWT menyebutkan "Itulah kemenangan yang agung" (as-Saff: 12) dan "Itulah kemenangan yang besar" (al-Buruj: 11) yang menjelaskan konsep kemenangan mengikut jendela al-Quran. Islam memberikan satu garis optimis tentang kemenangan kepada para pejuang agama dengan langsung tidak mengambil kira pencapaian material keduniaan, tetapi bersandarkan kepada keupayaan mempertahankan iman, ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya serta kemampuan untuk beristiqamah di atas jalan yang benar. Jika kita berjaya mencapai tiga bentuk kemenangan ini, itulah kemenangan hakiki untuk kita. Ada pun kemenangan pilihan raya hanyalah bonus untuk kita menambahkan amal soleh dan melaksanakan segala perintah agama.

Ukuran kemenangan dalam Islam bersandarkan kepada tiga aspek. Pertama, kejayaan kita mempertahankan iman pada setiap masa yang kita diuji oleh Allah SWT. Allah SWT menguji kita dengan pelbagai ujian sehingga dengan nyawa. Dalam kisah Ashabul Ukhdud, Allah SWT mengisytiharkan kemenangan yang besar kepada pemuda-pemuda yang mengorbankan nyawa masing-masing ke dalam parit api kerana mempertahankan iman. Nah! Itulah kemenangan yang besar walaupun terkorban di mata manusia. Kedua, kejayaan kita mentaati apa sahaja perintah Allah dan rasul-Nya serta meninggalkan larangan-Nya adalah kemenangan bagi orang yang beriman. Allah memberi kita dua jalan pilihan - taat atau kufur. Apabila kita memilih untuk taat, itulah satu kemenangan yang besar. Allah SWT berfirman yang bermaksud "Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mencapai kemenangan dengan kemenangan yang besar." (al-Ahzab:71)

Ketiga, kemenangan sebenar akan dicapai oleh setiap orang yang beriman apabila dia istiqamah dengan keimanannya. Iman kita sentiasa diuji, kerana itu kita diperintah supaya beristiqamah dalam mentaati Allah dan rasul-Nya. Apakah itu istiqamah? Istiqamah adalah berkekalan di atas jalan yang benar dengan mentaati Allah dan rasul-Nya sehingga akhir hayat kita. Apabila kita mati dalam keadaan menyerah diri kepada Allah, ertinya kita telah mencapai kemenangan. Allah SWT berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya orang-orang yang berkata Tuhan kami ialah Allah, dan dia beristiqamah dengannya, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan 'jangan kamu merasa takut dan janganlah bersedih, dan bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan Allah kepadamu." (Fussilat: 30) - HARAKAHDAILY 12/1/2017

Share on Myspace