Baju ayah terkena api

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Alkisah baju terbakar

Seorang bapa duduk di taman dengan sebatang lilin menyala di atas meja merenung masa depan.

Anaknya datang membawa makanan secara mengejut.

“Mengapa malam-malam kamu keluar rumah? Kan ayah dah pesan tidur awal. Besok banyak lagi kerja membersih kena buat,” kata bapa itu dalam keadaan berdiri dan marah.

Ketika itu, anak itu menjerit, “Yah, baju ayah terkena api!”

Bapa kelam-kabut cuba memadamkan api di bajunya. Anaknya menjerit menyuruh bapanya meniarap di atas lantai lalu menggunakan penyapu berdekatan memadamkan api sebelum bapanya terluka.

Bapa terus bangun dan meneruskan marahnya pada anak.

“Kalau kamu dengar kata dan tidur, semua ini tak akan berlaku!” jerit bapanya.

Anaknya tidak berkata apa-apa dan membuat pekak.

Selepas habis menengking bapanya, anaknya pula bersuara.

“Ayah dahlah mood tak baik. Lepas itu marah, lagilah mood tak baik. Bukan ke pada waktu mood tak baik, ayah tak sepatutnya marah, supaya mood jadi baik. Apa gunanya menambah benda tak baik ketika mood tak baik,” kata anaknya sebelum beredar.

Bapanya tersentak seketika dan memandang ke arah mi Maggi sup yang dibawa anaknya.

“Umi suruh kamu hantar ke?” tanya bapanya.

“Tidak. Umi dah tidur. Cuma tadi nampak ayah tak lalu makan, takut ayah kelaparan jadi saya buatkan. Saya cuma nak ambil berat pasal ayah,” kata anaknya.

Wahai anakku,

Emosi adalah kompas kamu. Tatkala ia mengarah ke negatif ia memberitahu kamu ada ribut di minda yang sedang mengganggu kamu dan bukan lesen kepada kamu untuk memberikan reaksi negatif.

Senyum. - HARAKAHDAILY 2/1/2015

Share on Myspace