Banjir, catatan takdir dan pengurusan bencana

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

2014 meninggalkan kita dengan hamparan ibtilak yang sangat menguji kesabaran dan keimanan . Banjir yang telah menenggelamkan Pantai Timur dan juga sebahagian negeri Pantai Barat adalah antara yang terbesar dalam tempoh 100 tahun ini. Selain daripada tahun 1926, 1967, kali ini juga merakamkan sejarah dengan bandar -bandar yang tenggelam, kemusnahan seperti tsunami kecil, serta jumlah kerugian yang besar melibatkan prasarana serta premis awam.

Benar, banjir ini mungkin tidak seteruk tsunami, gempa bumi, krisis peperangan, namun bencana banjir juga membawa kepada kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyat negara ini bahkan kebijakan kerajaan dalam menguruskan bencana yang dipertikaikan rakyat. Semenjak hari pertama yang menyaksikan susun atur plan strategik keselamatan negara yang sangat lemah.  

Benar, kenaikan air adalah secara mendadak namun banjir pada musim tengkujuh adalah sebahagian daripada sketsa bencana rutin negara. Sepatutnya pihak kerajaan di bawah selia atur Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah begitu profesional dan terarah dalam pelan pemindahan penduduk, sistem amaran banjir, pengumuman awam yang efektif, penggunaan aset negara seperti ATM, bot, hospital medan, klinik bergerak, generator dan juga sinergi pelbagai pihak jaringan  sivil dalam operasi sokongan bantuan banjir.

Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat. Peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah. PAS sendiri sebagai gerakan Islam telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar. Walau tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.

Mangsa banjir amat berterima kasih dan terpanar dengan kelibat "tentera merah" atau anggota Unit Amal yang semenjak awal terus membantu mangsa, bahkan ada yang ditimpa kemalangan semasa bertugas. Anak muda berfikrah Islam ini dengan dilatari pelbagai latar belakang sosio ekonomi menjadi benteng paling hadapan dalam mana-mana bencana negara ini. Mereka menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, upah mahupun pujian manusia. Guratan wajah penat namun terukir senyuman yang paling indah daripada anggota amal sehingga mampu mengharumkan gerakan Islam yang bukan sahaja berpencak di medan siasah yang bermusim tetapi bersiaga disetiap masa untuk menyelami kejerihan rakyat.

Saya berada di pusat operasi bantuan banjir Muslim Care di thibbun Nabawi Shah Alam, melihat keghairahan relawan mengangkat barang, menyusun pelbagai barang dan menghantar barang ke lokasi banjir. Ratusan anak muda berpendidikan tidak menghiraukan rasa penat terus bekerja seolah-olah merayakan pesta besar. Mereka juga mendengar tazkirah para selebriti tanah air seperti Ustaz Ahmad Dasuki, Ustaz Syed Qader al-Joofree, menyempurnakan misi perjalanan dengan membaca doa. Anak-anak muda ini tidak peduli dengan bajet 800 juta pihak kerajaan yang kononnya dicurah kepada mangsa banjir, kerana mereka menjadi saksi mata di lapangan, bagaimana mangsa banjir yang trauma, berselimut dengan kelaparan.

Pengalaman di lokasi banjir di Temerloh, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas dengan relawan NGO ini memahamkan saya, bahawa muncul kesedaran tinggi untuk membantu mangsa tanpa mengira ideologi politik. Rakyat menjadi muak dengan kerenah ahli politik penguasa yang ingin mengutamakan jenama bantuan berbanding bergegas membantu. Perut yang lapar, tulang-temulang yang sejuk, juga rumah yang robek berantakan tidak mampu lagi untuk mereka menyerap kerenah birokrasi yang muncul. Relung hati kita semua akan basah melihat anak kecil meringgis kelaparan, bersarung baju kumuh dengan daki tebal dileher.

Pelbagai NGO hadir memesrai masyarakat termasuk relawan dari luar negara seperti Palestin, Thailand, Bangladesh, Singapura. Pertama kali rasanya bencana banjir di Malaysia telah berjaya menghimpunkan ratusan NGO dan membentuk fenomena 'third force', menyerap kelemahan pengurusan bencana pihak kerajaan yang sangat lemah. Banjir adalah bencana yang dijangka, maka pihak berkuasa sewajarnya mempunyai kemahiran tinggi berdepan dengan situasi ini. Bukannya masa untuk pihak kerajaan bermain politik dan meraih keuntungan politik jangka pendek, tetapi mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat yang tersentak dengan banjir besar dalam milenea baru ini. Kerajaan BN wajib belajar daripada negara lain tentang pengurusan bencana, bahkan kita malu untuk dibandingkan dengan Jepun, bahkan indonesia,sekali pun. – HARAKAHDAILY 9/1/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Timbalan Pengerusi Lujnah Kebajikan Pusat)

Share on Myspace