Al-Quran braille, sokongan anda kami perlukan

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SERING kali saya dan rakan-rakan didatangi dengan pelbagai tawaran termasuklah tajaan Al-Quran untuk OKU penglihatan miskin dengan jumlah-jumlah tertentu.

Saya amat berharap catatan ini dapat diambil manfaat oleh seluruh umat Islam terutamanya mereka yang amat prihatin tentang keperluan OKU penglihatan. Setidak-tidaknya kami dari Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) terus mampu membantu meningkatkan keupayaan menguasai Al-Quran di kalangan OKU penglihatan dengan apa jua cara sekali pun.

Pertamanya buat masa ini, Pertis telah diberikan kebenaran oleh Kementerian Dalam Negeri KDN untuk menerbitkan Al-Quran Braille bagi kegunaan OKU penglihatan di Malaysia khususnya, dan lain-lain negara umumnya. Sebelum kebenaran ini kami perolehi dari KDN, pelbagai peringkat pembetulan Al-Quran Braille cetakan berkomputer ini telah kami lalui untuk tempoh yang agak lama.

Kedua, agihan Al-Quran Braille kepada OKU penglihatan adalah dibuat secara percuma tertakluk kepada keupayaan kami menerbitkan set-set Al-Quran dari semasa ke semasa.

Untuk makluman semua, satu mesin cetak Braille yang disebut “emboser” bagi penerbitan Al-Quran Braille berharga sekitar RM20k. bayangkanlah cabaran yang perlu kami depani dengan kos yang tinggi ini. Buat masa ini dengan sumbangan pelbagai pihak, kami hanya punyai enam unit mesin emborser yang digunakan secara sepenuh masa untuk penerbitan bahan-bahan Braille Islam termasuklah Al-Quran Braille.

Dalam masa terdekat, kami memerlukan sekurang-kurangnya empat unit lagi mesin emborser memangdagkan kami perlu bersedia untuk proses penyelenggaraan setiap unit dari semasa ke semasa.

Itu baru berkaitan mesin emborser dan belum lagi proses penjilidan Al-Quran Braille. Justeru, untuk setiap set Al-Quran Braille disiapkan, kos keseluruhannya adalah sebanyak RM200.

Justeru, kami mengedarkan Al-Quran Braille kepada OKU penglihatan yang memerlukan secara percuma memandangkan tidak mudah untuk OKU penglihatan memiliki naskah Al-Quran ini yang begitu berbeza dengan naskah Al-Quran biasa.

Selain penerbitan Al-Quran Braille, kami juga menerbitkan set Tafsir Al-Quran pimpinan Al-Rahman Braille kepada OKU penglihatan yang memerlukannya. Bagi tujuan ini, kami hanya mampu menawarkan separuh harga kepada mereka yang memerlukan dengan kadar RM400 setiap set. Kos keseluruhan penerbitan Tafsir Al-Quran Braille ini adalah sebanyak RM800.

Buat masa ini, kami amat perlukan sokongan pelbagai pihak untuk kami menggiatkan usaha-usaha ke arah kefahaman OKU penglihatan kepada ilmu Al-Quran. Antara langkah yang sedang dijalankan dan dirancang termasuklah:

1.   Menggiatkan kelas pengajian Al-Quran Braille dengan disediakan alaun-alaun khas kepada setiap peserta. Untuk makluman semua, kami perlu mengadakan alaun-alaun khas tersebut memandangkan hamper seluruh peserta yang terlibat perlu menyara keluarga. Dengan mengikuti sesi pengajian tersebut, mereka kurang berpeluang menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi.

Program seumpama ini sedang giat dijalankan terutamanya di Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

2.   Kami berharap program seumpama ini dapat kami perluaskan ke tempat-tempat lain dengan sumbangan dan sokongan berterusan dari seluruh pihak.

3.   Seterusnya kami juga bercadang mewujudkan sebuah pusat sumber Braille Islam memandangkan tempat yang sedia ada kini kian sempit dengan pelbagai urusan.

Kami mengalu-alukan tajaan awam untuk kami mendapatkan premis yan gsesuai dengan kelengkapan yang sewajarnya.

4.   Bagi mendekatkan pihak awam kepada OKU penglihatan dan Pertis khususnya serta OKU umumnya, saya mempelawa mereka yang prihatin untuk berkunjung di premis kami di alamat: No. 32A, Jalan 6/21D, Taman Ibu Kota, 53100 Gombak, Kuala Lumpur Malaysia. Tel: (pejabat) +603-40212631, pada setiap hari khamis, minggu pertama setiap bulan.

Sesungguhnya saya amat bersyukur dengan izin Allah kami disibukkan dengan urusan Islam dalam dunia yang penuh pancaroba pada hari ini.

Moga catatan ringkas ini membuka hati sekalian sahabat pembaca untuk terus iltizam bersama kami membantu agama Allah agar Islam terus dekat kepada OKU penglihatan khususnya dan OKU pelbagai katagori umumnya.

Bersua di lain waktu, dengan izin Allah SWT.

Mohammad Faizal Che Yusof,
Yang Dipertua Pertis,
Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia.

Share on Myspace