Tanjung Bin & Jimah East: AWER beri tiga cadangan

PIARAPAKARAN S. | .

PERSATUAN Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengutarakan isu mengenai kelewatan dalam menyiapkan pembinaan loji jana kuasa Tanjung Bin dan Jimah East beberapa kali. Akan tetapi, Suruhanjaya Tenaga membisu mengenai perkara ini. Berikut adalah ringkasan isu-isu:

Isu 1. Kelewatan Malakoff Dalam Menyiapkan Projek Loji Janakuasa Arang Batu Tanjung Bin 1000 MW

Loji janakuasa arang batu Malakoff, iaitu loji janakuasa Tanjung Bin dijadual siap pembinaannya pada Mac 2016. Loji janakuasa Tanjung Bin dijangka mengalami kelewatan di antara 6 hingga 12 bulan. Berdasarkan pemodelan AWER, kos tambahan bahan api yang akan disalurkan kepada tarif bagi kelewatan 6 bulan adalah lebih kurang RM 321.97 juta dan untuk kelewatan 1 tahun adalah sekitar RM 643.94 juta untuk 1000 MW.

Isu 2. Kelewatan 1MDB Dalam Menyiapkan Projek Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East 2000 MW

1MDB telah membuat permohonan pelanjutan 6 bulan dalam masa setahun selepas memenangi Loji Janakuasa Arang Batu 2000 MW Jimah East.  Loji janakuasa Jimah East dijadualkan siap pembinaan pada akhir tahun 2018 (unit pertama) dan pertengahan tahun 2019 (unit kedua). Jika kita menanda aras kos tambahan bahan api disebabkan kelewatan menyiapkan Loji Jana Kuasa Arang Batu 1000MW Tanjung Bin selama 6 bulan(RM 321.97 juta), kelewatan dalam menyiapkan Loji Janakuasa Arang Batu 2000 MW Jimah East akan menyebabkan kos bahan api tambahan sebanyak RM 643.94 juta.

AWER telah memberikan tiga pilihan:

Pilihan 1: Batal Penganugerahan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East kepada 1MDB dan Laksanakan Pembidaan Kompetitif yang Baru - Untuk mengelakan gangguan jaminan bekalan elektrik yang serius, Kerajaan Persekutuan patut membatalkan penganugerahan projek Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East kepada 1MDB dan laksanakan pembidaan kompetitif yang baru untuk pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran bersepadu (CCGT) yang akan mengambil masa kira-kira 32 hingga 36 bulan untuk disiapkan.

Pilihan 2: Pastikan 1MDB Menanggung Semua Kos Tambahan yang Disebabkan oleh Kelewatan Penyiapan Pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East - Jika kerajaan meluluskan pelanjutan bagi Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East, ia juga perlu melanjutkan beberapa loji janakuasa gas lama yang akan ataupun sudah berhenti beroperasi. Maka, Kerajaan Persekutuan mesti memastikan 1MDB menanggung semua kos tambahan (kos bahan api dan caj kapasiti) yang disebabkan pelanjutan beberapa loji janakuasa gas lama.

Pilihan 3: Kos tambahan yang Disebabkan oleh Kelewatan Penyiapan Pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu Jimah East Dibayar oleh Kabinet dan Pegawai-pegawai Kementerian Yang Membenarkan Pelanjutan - Kerajaan Persekutuan boleh membenarkan permohonan pelanjutan oleh 1MDB dan hanya mengenakan penalti yang dihadkan sebanyak RM108 juta bagi setiap 1000 MW. Tetapi, segala kos tambahan (RM427.94 juta) selepas ditolak penalti (RM108 juta bagi setiap 1000 MW) perlu dibayar oleh ahli-ahli kabinet, menteri dan pegawai-pegawai kanan di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) serta pengerusi, pesuruhjaya dan pegawai-pegawai kanan di Suruhanjaya Tenaga.

Apakah Langkah Yang Patut Dilakukan Oleh Suruhanjaya Tenaga Seterusnya?

AWER juga ingin menjawab beberapa hujah menentang cadangan kami untuk membatalkan penganugerahan Jimah East dan melaksanakan bidaan kompetitif yang baru. Salah satu hujah yang memesongkan kebenaran adalah campuran bahan api penjanaan tenaga elektrik bagi gas asli telahpun mencapai 60% dan meningkatkannya adalah berisiko tinggi. Berikut adalah rasional cadangan AWER untuk mengantikan loji janakuasa arang batu dengan loji janakuasa CCGT:

(i) Campuran bahan api penjanaan tenaga elektrik pada tahun 2014 menunjukkan 52% gas asli dan 43% arang batu. Menjelang tahun 2016, campuran bahan api penjanaan tenaga elektrik akan berubah kepada 37% gas asli dan 56% arang batu. Pada tahun 2020, campuran bahan api penjanaan tenaga elektrik akan mencapai 29% gas asli dan 64% bahan api. Pembinaan CCGT yang baru tidak akan menyebabkan risiko bekalan bahan api yang lebih tinggi seperti yang di dakwa oleh pihak-pihak tertentu. Membiarkan campuran bahan api penjanaan tenaga elektrik dalam peningkatan kebergantungan 64% arang batu akan menyebabkan risiko bekalan bahan api yang lebih tinggi. Campuran bahan api penjanaan tenaga elektrik sepatutnya lebih sekata.

(ii) Loji janakuasa CCGT mengambil masa yang lebih cepat untuk disiapkan berbanding loji janakuasa arang batu. CCGT mengambil masa kira-kira 3 tahun dan loji janakuasa arang batu mengambil masa kira-kira 4 tahun untuk siap pembinaan masing-masing. Jika bidaan kompetitif dilaksanakan pada Januari 2015 dan Notice to Proceed (NTP) diberikan pada akhir Disember 2015, masih mempunyai masa yang mencukupi untuk menyiapkan loji janakuasa CCGT 2000 MW (unit pertama perlu beroperasi pada akhir 2018 dan unit kedua pertengahan 2019). Ini juga dapat mengelakan pelanjutan loji-loji janakuasa gas yang lama serta mempunyai kecekapan yang rendah iaitu perkara ini akan menyebabkan kos tambahan (kos bahan api dan caj kapasiti) disalurkan kepada tarif.

Suruhanjaya Tenaga mesti memastikan syarikat-syarikat penjanaan tenaga elektrik yang tidak kompeten patut dikenakan hukuman yang tegas (disebabkan kelewatan dalam menyiapkan loji-loji janakuasa) dan tiada kos tambahan patut disalurkan kepada tarif elektrik. Seksyen 14 (1) (b), (d), (g), (m), (n) dan (o) dari Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 bersama-sama Seksyen 4(b), (d), (e), (f) dan (m) dari Akta Bekalan Elektrik 1990 (pindaan 2001) memberikan kuasa yang mencukupi kepada Suruhanjaya Tenaga untuk bertindak ke atas syarikat-syarikat penjanaan yang tidak kompeten di samping melindungi kepentingan pengguna. Bagi isu kelewatan loji janakuasa Tanjung Bin, Suruhanjaya Tenaga hanya perlu melaksanakan keputusan yang ringkas. Suruhanjaya Tenaga mesti memastikan Tanjung Bin membayar ke semua kos tambahan disebabkan kelewatan dalam menyiapkan loji janakuasa Tanjung Bin.

Bagi isu kelewatan loji janakuasa Jimah East, AWER percaya bahawa proses tender yang baru mesti dilaksanakan tidak lama lagi bagi memastikan jaminan bekalan elektrik dicapai. Mengapa Suruhanjaya Tenaga melengahkan keputusan permohonan pelanjutan bagi Jimah East? Kelewatan dalam membuat keputusan bagi permohonan pelanjutan Jimah East akan menyebabkan masa yang tidak mencukupi untuk melaksanakan pembidaan kompetitif untuk CCGT seperti yang dicadangkan oleh AWER. Bayangkan setiap kali Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement - PPA) ditandatangani, syarikat yang memenangi anugerah ini bebas setelah hanya dikenakan penalti kecil apabila syarikat itu gagal menyiapkan projek tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan. Langkah ini bukan strategik atau inovatif. Ia hanya memperbodohkan kerangka kawal selia yang tidak cekap untuk sektor penjanaan tenaga elektrik. Sudah tiba masanya untuk Suruhanjaya Tenaga membuka mulutnya dan membuat keputusan yang tepat dan hanya menyalurkan kos yang saksama dan berpatutan kepada tarif elektrik.

Kuasa-kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Tenaga melalui Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik juga turut sama memastikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Kabinet menurut peruntukan-peruntukan dalam akta-akta ini. Kedua-dua akta ini diluluskan di Parlimen dan cadangan AWER adalah menepati peruntukkan undang-undang. Suruhanjaya Tenaga mesti mengumumkan keputusan mengenai permohonan pelanjutan oleh kedua-dua Tanjung Bin dan Jimah East sebelum atau pada 23 Januari 2015 untuk memastikan jaminan bekalan tenaga elektrik tidak terjejas dan kepentingan pengguna dilindungi. Suruhanjaya Tenaga tidak boleh teruskan "permainan bazir masa" (delay game) lagi! – HARAKAHDAILY 14/1/2015

Piarapakaran S., Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Share on Myspace