‘Pembohongan’ ibuku

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Wahai ibuku,

Semasaku kecil, keluarga kekurangan serba-serbi dan makanan sentiasa tidak cukup, kamu selalu membahagikan nasi yang ada di pinggan kamu kepadaku dan adik-adik. Lalu kamu berkata, “Makanlah cepat wahai anakku. Bonda tak lapar.” Itu pembohongan kamu yang pertama kerana kamu merelakan diri lapar daripada melihat anak-anakmu lapar.

Wahai ibuku,

Setiap kami kamu pulang dari kerja, kamu selalu ke kawasan sawah untuk menjala ikan untuk dijadikan lauk dan sup. Setiap kali makan, kamu pula hanya sekadar menghisap tulang-tulang dan sirip ikan tanpa menikmati dagingnya.

Sayu melihat kamu hanya memakan tulang ikan yang ditinggalkan adik-adik, aku cuba berkongsi sebahagian ikanku kepada kamu. Akan tetapi, kamu cepat-cepat memberi baliknya kepada aku lalu berkata, “Wahai anakku, cepatlah makan. Bonda tak suka makan ikan.” Kiniku dewasa, baru aku sedar itu adalah pembohongan kedua kamu kerana kamu ingin tinggalkan yang terbaik untuk anak-anakmu.

Wahai ibuku,

Ketika aku mula bersekolah, kamu memperbaiki baju yang rosak sebagai kerja sambilan. Pada satu tengah malam ketikaku bangun kerana tidak sihat, aku terlihat kamu masih menjahit baju lantas aku memujukmu, “Wahai bondaku. Tidurlah. Besok bonda kena bangun awal untuk kerja.”

“Bonda tak penat,” begitulah jawab kamu. Kiniku dah dewasa, baru aku tersedar itu pembohongan ketiga kamu supaya aku tidak berasa bimbang.

Wahai ibuku,

Ketika aku menghadap SPM, kamu mengambil cuti datang menghantarku makanan dan sup. Berdiri di bawah panas terik dan berpeluh-peluh dan kelihatan bibirmu yang kekeringan, aku menyuruh kamu minum sup dahulu. Akan tetapi, kamu lantas menjawab: “Cepat minum, bonda tidak dahaga!” Itu adalah pembohongan keempat kamu kerana kamu ingin memastikan aku mendapat makanan yang sebaiknya sebelum peperiksaan.

Wahai ibuku,

Ketika aku mula-mula bekerja di kota, kamu secara senyap-senyap mengambil kerja sambilan waktu malam di sebuah kedai runcit 24 jam untuk menyara hidup. Apabila aku mendapat tahu berita tersebut, aku cuba mengirimkan duit balik kepadamu. Akan tetapi, setiap kali aku balik kampung menjengukmu, kamu akan memulangkan segala duit yang dikirim lalu berkata: “Bonda cukup duit…” lalu mengusap kepalaku bagaikan anak kecil. Rupa-rupanya, itu pembohongan kelima kamu kerana kamu tidak ingin menjadi beban kepadaku.

Wahai ibuku,

Ketika hidupku bertambah baik di luar negara, aku cuba menjemputmu untuk datang tinggal bersama menikmati kehidupan yang lebih baik. Namun kamu berkata, “Bonda tak dapat sesuaikan diri.” Sekarang aku baru sedar, itu ada pembohongan kamu yang keenam kerana kamu hanya tidak mahu menganggu kehidupan peribadiku.

Wahai ibuku,

Ketika kamu dimasukkan ke hospital kerana sakit, aku pulang menjengukmu. Kelihatan kamu menjadi lebih tua, dan bagaimana kamu terpaksa menahan kesakitan menyebabkan mata airku mengalir. Bagaimanapun kamu masih sempat berkata: “Jangan menangis. Bonda tak rasa susah.” Barulah aku sedar itu adalah pembohongan kamu yang terakhir kerana kamu tidak sanggup melihatku susah hati keranamu.

Wahai ibuku,

Aku baru sedar segala pembohonganmu adalah sekadar alasan untuk menutup pengorbanan murnimu atas kesayanganmu pada anak-anakmu. Wahai ibuku, maafkan anakandamu yang lambat tersedar ini.

Senyum Ahad. Kongsilah jika ia menyentuh kalbu kamu.

Share on Myspace