Perjalanan ke Turki (2)

DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA | .

18 Jan 2015

Selalunya sebelum konferensi utama, Jawatankuasa Eksekutif PIUC akan bertemu terlebih dahulu bagi membincang urusan pentadbiran PUIC untuk persediaan urusan yang belum beres.

Segala perbincangan dan adaptasi keputusan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang lalu di Rabat menjadi asas agenda perbincangan.

Saya hadir atas sifat keanggotaan Malaysia yang dilantik semasa persidangan di Palembang beberapa tahun yang lalu. Menjadi anggota Jawatankuasa Eksekutif bermakna mempunyai suara menentukan perjalanan PUIC dan agenda yang ingin ditetapkan.

Isu keganasan

Setiap negara yang menjadi tuan rumah akan cuba menjadi yang terbaik dan nama Istanbul itu sendiri telah memberi makna yang berprestij oleh kerana bandarayanya yang terkenal dengan sejarah Islam yang merupakan pintu masuk ke Eropah.

Mesyuarat dirasmikan oleh Speaker Parlimen Turki dan kemudiannya prosiding mesyuarat diteruskan dengan diwakilkan kepada salah seorang ahli parlimen Turki untuk mengendalikan mesyuarat. Agenda besar yang perlukan persetujuan ialah keanggotaan Nigeria, tindakan susulan resolusi Tehran dan menerima cadangan awal UAE tentang memerangi ekstrimism intelek.

Agenda utama ialah isu keganasan yang melanda dunia Islam seperti benua Afrika yang berhadapan dengan Boko Haram, negara Arab dengan IS dan rantau Asia dengan rangkaian al Qaeda yang mengambil rekrut baru.

Menarik juga ialah, bersama dengan bala keganasan ini, isu pemikiran intelek yang mempengaruhi pemikiran anak muda turut dibincangkan. Saya membawa sikap rasmi Parlimen Malaysia yang mengecam sekerasnya unsur keganasan melalui pembentangan kertas putih yang disokong sebulat suara oleh Parlimen Malaysia.

Saya juga menyebut tentang usaha Malaysia di peringkat global dengan menyertai UNAOC atau United Nation Alliance of Civilization yang antara lainnya adalah inisiatif Turki dan usaha mewujudkan GMM (Global Movement of Moderates).

Ini adalah forum-forum antarabangsa dan saya perlu membawa dasar rasmi walaupun pada perlaksanaannya di peringkat lokal negara saya boleh mengritik keberkesanannya.

Berjumpa sahabat lama

Mesyuarat ditangguh jam 1 petang dengan semua cadangan akan dibuat tindakan susulan termasuk cadangan Malaysia mewujudkan jawatankuasa susulan daripada setiap kumpulan negara terdiri dari Kumpulan Arab, Kumpulan Afrika dan Kumpulan Asia.

Ini bagi memudahkan pihak Setiausaha Agung mengumpul maklumat untuk laporan pada perhimpunan akan datang.

Hari pertama di Turki cukup istimewa kerana saya akan bertemu dengan seorang sahabat lama saya dari Turki yang pernah belajar sekali dengan saya di Mesir sekitar tahun 80an dahulu.

Menariknya ialah ia berlaku secara kebetulan kerana semasa hendak ke Turki saya meminta nombor telefon orang yang boleh dihubungi di Turki daripada sahabat saya YB Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Dr Syed Azman memberikan nombor telefon rakan dari parti Saadet bernama Hassan. Saya berjaya menghubungi Hasan sejurus sampai di Istanbul dan semasa perbualan kami, barulah kami sedar bahawa kami pernah bersama di Mesir dalam majlis-majlis pelajar.

Saya memang mempunyai ramai kenalan dari Turki antaranya Anas dan Hasan yang sering kami kunjung mengunjung antara satu sama lain.

Selesai mesyuarat kami bertemu di lobi Hotel Hilton tempat penginapan dan berlangsungnya konferensi. Hampir 20 tahun tidak bertemu, saat pertemuan dalam dakapan ukhuwah dua sahabat dari benua berbeza seolah sukar untuk dirungkaikan.

Hasan atau nama penuhnya Hasan Bitmez adalah Naib Presiden Parti Saadet yang mempunyai kaitan dengan nama besar politik Islam Turki iaitu Necmettin Erbakan.

Beliau sampai ke tahap karier politiknya hari ini menuai hasil sejak ia terlibat lebih awal lagi dengan kegiatan Pemuda. Di Mesir kami sering berbual dan bertukar pandangan tentang politik Islam dan dinamika politik Malaysia dan Turki.

Berbual perjuangan dan politik

Perbualan kami di lobi terus membawa kami ke perbualan makan tengahari bersama-sama di sebuah restoren di tepi Selat Bospherous. Saya ingin berkongsi pengalaman beliau dalam membawa diri di arus politik kepartian, bagaimana beliau melaluinya dana apakah cabaran dalaman partinya serta bagaimana cita-cita poltiknya dapat membawa partinya ke pesada kuasa. Saya bertanya demikian supaya dapat saya mempelajari sesuatu untuk memperbaiki diri saya.

Secara khulasah, kami berkongsi masalah yang sama untuk berada dalam lingkungan parti, iaitu membawa diri dengan berhati-hati menguruskan sikap dan pandangan yang berbeza dalam parti.

Bagaimana menghargai jasa dan pendapat para senior dalam parti walaupun kita mempunyai pandangan tersendiri adalah satu cabaran besar.

Kami juga bersetuju bahawa memelihara prinsip dan pada waktu yang sama menerokai peluang politik adalah satu skil kepimpinan yang halus.

Dengan kata lain mentakrifkan apa yang prinsip dan apa yang boleh berubah amat perlu supaya perkembangan parti tidak terjejas.

Beliau berkongsi asas ini melalui pengalaman Necmettin Erbakan yang padanya adalah amat fleksibel dalam menerokai peluang politik tanpa perlu hilang prinsipnya.

Erdogan atau Erbakan

Saya berseloroh dengan Hasan bahawa di dalam parti saya, saya digelar sebagai ‘puak Erdogan’ kerana sikap keterbukaan dan perubahan yang kami cuba bawa.

Beliau agak terkejut apabila gelaran Erdogan diberi disebabkan pendekatan terbuka saya, kerana bagi beliau, saya perlu digelar ‘puak Erbakan’.

Necmettin Erbakan katanya sebagai pengasas politik Islam Turki telah membawa pendekatan politik terbuka melalui kerjasama partinya dengan semua aliran termasuk komunis.

Erbakan juga dalam melebarkan strategi politik Islamnya membentuk kerajaan bersama dengan pemimpin wanita dari parti nasionalis sekular dan begitu juga pandangan Erbakan kepada kompromi kerangka negara sekular Turki dalam membawa cita politik Islamnya yang dianggap taboo oleh ideologi negara.

“Mengapa anda digelar Erdogan? Patutnya anda digelar Erbakan! ujarnya. Saya menggeleng kepala tanda kebingungan dengan perspektif baru yang dilontarkan oleh Hasan.

Bagi sesetengah orang dalam PAS keterbukaan itu seolah dimonopoli oleh pemikiran politik Erdogan yang kononnya mahu melepaskan diri dari ‘lambatnya’ langkah politik Erbakan yang hakikatnya tidak mahu melepaskan prinsip Islam yang dibawanya dalam usahanya ke pesada kuasa.

Teori ini seolah dicabar oleh Hasan dalam memahami bahawa hakikatnya Erbakan adalah lebih layak digelar terbuka dalam konteks menerjah peluang politik tanpa menggadai prinsip dan bukan Erdogan.

Apa jadi kepada Erdogan

Erdogan mengasaskan parti AK atau Parti Keadilan dan Pembangunan untuk berpisah dengan parti Refah/Fazilet pimpinan Necmettin Erbakan. Sebelum berpisah, pandangan berbeza Erdogan dengan Erbakan melahirkan perbincangan yang panas dalam Refah tentang strategi politik ke pesada kuasa.

Kemuncak polemik menyaksikan Erdogan memilih jalan untuk berpisah dan menumpukan kepada ide politik barunya untuk ke pesada kuasa.

Namun sebenarnya apakah yang berlaku?

Hasan memberikan tiga point utama yang memisahkan Erdogan dan Erbakan dan menurut pandangan Hasan, tiga point tersebut adalah persoalan prinsip yang tidak boleh dikompromi. Ia melibatkan isu hubungan Turki dengan Kesatuan Eropah (EU), hubungan Turki dengan Israel dan konsep ekonomi adil.

Dalam isu hubungan Turki dengan EU, semua sedia maklum bahawa Turki cuba untuk menempatkan dirinya dalam negara EU memandangkan kepada faedah ekonomi yang melimpah apabila ia menjadi sebahagaian dari pasaran besar Eropah.

Namun syarat kemasukan menuntut Turki memenuhi kriteria kebebasan termasuk kompromi kepada beberapa nilai-nilai perundangan Islam di Turki.

Point kedua ialah hubungan Turki dengan Israel di mana Turki mempunyai nilai perdagangan yang besar dengan Israel termasuk membeli alat persenjataan.

Point terakhir ialah agenda ekonomi adil yang cuba dibawa oleh Erbakan yang menyeru kepada ekonomi dan pinjaman bank tanpa riba. Turki hari ini tidak dapat lari daripada bank riba dan perniagaan riba yang menyusahkan rakyatnya kerana di sini tidak diamalkan perbankan tanpa riba.

Hasan menegaskan bahawa Erdogan tidak dapat menerima ketiga-tiga point ini sebagai prinsip malah menganggap perkara inilah yang menghalang parti Islam untuk ke pesada kuasa dan lantas membuat keputusan untuk berpisah dan mengasaskan parti AK.

Dengan kata lain untuk memahami bagaimana Erdogan berpisah dengan Erbakan, kita perlu memahami tiga point yang membentuk prinsip politik Erbakan yang tidak mahu Turki menggadaikan nilai keislaman dalam perundangannya untuk bersama EU, tidak mahu hubungan dengan Israel dan mengajak kepada ekonomi tanpa riba.

Akhirnya mereka terpaksa berpisah dan pertembungan ini seolah ditanggap sebagai politik lama vs politik baru.

Saya tidak mahu komen, kerana isu keterbukaan yang saya dan rakan-rakan dalam PAS cuba bawa tidak ada kena mengena dengan prinsip yang memisahkan Erdogan dan Erbakan. Lagipun konteks Turki yang totok sekularnya dan Eropah sifatnya tidak boleh disamakan dengan Malaysia yang mempunyai konteks politiknya yang tersendiri.

Terus terang saya katakan saya tidak pernah bersetuju dengan gelaran-gelaran yang diberikan termasuk jolokan nama golongan liberal dan sebagainya kerana ia menggambarkan betapa ceteknya kita dalam memahami sesuatu tindakan politik tanpa memahami terlebih dahulu apakakah ianya prinsipal atau taktikal.

Berpisah untuk bertemu lagi

Kami mengakhiri pertemuan dua sahabat dari benua berasingan di Masjid Biru (Blue Mosque), kerana Hasan terpaksa berkejar ke lapangan terbang untuk penerbangan ke Ankara dengan menaiki keretap bawah tanah. Di hadapan Masjid Biru kami berpelukan setelah berkongsi pengalaman berharga.

Melalui Hasan juga saya sempat berbual telefon dengan Anas yang kini menetap di Hamburg, Jerman. Anas kini bertugas sebagai Imam dan pengendali haji dan umrah untuk masyarakat Turki di Hamburg. Saya bertuah untuk berhubung semula dengan sahabat lama dari Turki dan di hadapan Masjid Biru juga kami berjanji untuk bertemu lagi kerana rindu berpuluh tahun belum ditagih.

Saya mendoakan Hasan Bitmez agar terus berjuang dan istiqamah dalam karier politiknya, saya tahu suasana di Turki lebih sukar tetapi Hasan yang bertubuh besar mempunyai jiwa yang besar dan kesetiannya saya perlu pelajari. Beliau katanya akan mengetuai aktiviti kempen partinya dalam pilihan raya bulan Jun ini. Saya doakan yang terbaik buat diri dan partinya.

Kelibat Hasan semakin menghilang dicelah mundar-mandir manusia di perkarangan Masjid Biru, saya pula bergegas untuk solat Asar dalam cuaca dingin Istanbul menuju ke dewan solat.

Perjalanan ke Turki

TURKI terkenal sebagai pusat pemerintahan Khalifah Islam yang terakhir. Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah adalah kubu terakhir payungan kepimpinan umat Islam. Tahun 1924 terpahat sebagai titik berakhirnya institusi Khilafah dan sekaligus menandakan hilangnya kuasa politik para khulafa yang selama ini berkuasa penuh atas urusan mengendalikan empayar Islam yang luas.

Turki juga terkenal sebagai negara pasca-Khalifah yang cuba membawa perubahan arus kemodenan yang kini diterajui oleh Eropah dan Barat. Pasca-Khalifah menyaksikan Turki mencari identiti baru sama ada untuk meletakkan dirinya sebagai negara di benua Asia atau sebuah negara di benua Eropah.

Perjalanan mencari identiti ini sepanjang sejarah moden Turki menyebabkan Turki diberi jolokan The Sickman of Europe oleh Eropah. Di dalam benua Asia yang majoritinya Islam, Turki cuba meraih gelaran negara Islam termoden dan untuk melaksanakan demikian ia menggelarkan dirinya sebagai “Penjaga Sekular Terunggul”.

Turki dan PUIC

Saya telah menghadiri beberapa konferensi Kesatuan Parlimen Negara Islam (PUIC) dan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang diadakan di Rabat, Magribi pada Ogos yang lalu, mesyuarat memutuskan untuk mengadakan Konferensi 2015 di Mali.

Mali telah mempelawa untuk menjadi tuan rumah dalam Konferensi Tehran 2014. Namun negara Afrika yang ditimpa Ebola itu terpaksa menarik diri kerana ia akan melibatkan masalah logistik kesihatan untuk sebuah persidangan besar yang melibatkan perwakilan dari puluhan negara Islam.

Setiausaha Agung PUIC yang datang dari Tuki menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah ganti sekaligus bertempat di bandaraya bersejarah Istanbul. Saya tidak terbayang untuk ke Turki bagi tujuan gerak kerja sebagai ahli PUIC yang Malaysia agak aktif di dalamnya.

Sebagai seorang ahli jawatankuasa eksekutif dan peserta yang senior saya tidak dapat mengelak melainkan terpaksa memenuhi setiap jemputan bagi mewakili Malaysia bersama dengan sahabat saya MP Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican dan MP Masjid Tanah, Puan Mas Ermieyati Samsudin.

Turki yang saya kenali

Ini bukanlah kali pertama saya ke Turki, saya pernah ke sana pada tahun 1975 semasa umur saya 11 tahun. Saya tak mungkin lupa lawatan tersebut kerana ia adalah lawatan rasmi buat pertama kalinya dilakukan oleh pembesar negara Malaysia iaitu Perdana Menteri Tun Hussein Onn.

Ayah saya Pak Yusof Rawa pada waktu itu adalah Duta Malaysia di Iran dan pada masa yang sama juga ditauliahkan untuk negara Turki dan Afghanistan. Oleh kerana tidak ada perwakilan negara di Turki, tugas Duta Malaysia di Iran adalah untuk memantau hubungan dan kepentingan Malaysia di sana. Kedatangan Tun Hussein Onn waktu itu membuka lembaran hubungan dari sudut budaya, pendidikan dan juga ekonomi.

Sebagai seorang anak yang baru mencecah belasan tahun, saya turut berbangga apabila bendera Malaysia dikibarkan dan ayah saya menjadi orang paling penting untuk memastikan delegasi PM waktu itu tercapai matlamat daripada kunjungan rasmi yang dibuat.

Saya ikut turut serta dalam rombongan ayah dari Tehran dan oleh kerana tidak ada pejabat di sana, saya masih ingat bilik hotel suite ayah dijadikan sebagai pejabat sementara untuk membuat persediaan menyambut PM kita pada waktu itu.

Turki di mata saya

Saya tidak banyak mengetahui tentang Turki tetapi sebagai anak kecil ketika itu saya sudah mengerti erti kekaguman terhadap keindahan bangunan masjid dan istananya. Turki di mata saya waktu itu memenuhi ciri sebuah alam fantasi saya tentang kemegahan istana dan masjid-masjidnya serta kehebatan raja-raja yang berkuasa.

Saya masih ingat lagi Bazar Besar yang penuh dengan barangan antik dan buah tangan yang unik melambangkan ciri tradisional Islam. Itu semua dulu dari kacamata kanak-kanak hingusan yang lebih berminat pada keseronokan dan bermain.

Kini pandangan saya terhadap Turki dibentuk dari bacaan saya kepada kebangkitan Turki pasca-Ataturk dan bagaimana Turki muncul dalam gelombang reformasi identitinya sekali lagi. Turki terkenal dengan pandangan sekularnya yang totok hasil daripada tanggapan dan rumusan Mustafa Kemal Ataturk yang menganggap agama penghalang kemajuan.

Ataturk mengalami zaman kemunduran kerajaan Khilafah yang ketinggalan dari sudut teknologi perang berbanding dengan kuasa Eropah di kelilingnya yang mulai bangkit. Jikalau dulu Eropah banyak mempelajari dari Turki-Islam, kini keengganan kerajaan Khalifah untuk mengambil teknologi Eropah dikatakan faktor yang menyebabkan Atartuk memberontak.

Pemberontakan pegawai muda tentera Khilafah telah melahirkan Young Turks dipimpin oleh Mustafa Kemal yang kemudian menggelarkan dirinya Atarturk atau Bapa Pemodenan Turki. Ia hakikatnya adalah pertembungan pemikiran ortodoksi dan arus pembaharuan teknologi yang mendesak ketika itu.

Membaca sekularisme Turki

Turki menganut sekularisme totok untuk memacu pembaharuan yang diperjuangkan. Kadar tindak balas realiti baru yang ditunjukkan oleh kerajaan Khilafah waktu itu tidak memberangsangkan malah zaman kemalapan Khilafah dikaitkan dengan kemunduran.

Lebih buruk representasi kemunduran seolah diwakili Islam dan suasana rumit yang dilalui semasa detik kejatuhan Khilafah menjadikan ide perlu bebas dari cengkaman agama untuk maju mudah ditelan ramai.

Mustafa Kemal sebagai peneraju pembaharuan tidak sukar untuk mendapat sokongan apatah lagi segala aparatus institusi Khilafah dijangkiti wabak kelemahan, ortodoksi dan keegoan. Ini tidak termasuk keadaan ekonomi yang merudum di celah kemewahan segelintir pembesar-pembesar dan golongan elit Khilafah.

Mustafa Kemal menjadikan sekularisme sebagai ‘agama negara’ menggantikan Islam. Ini bermakna semua lambang dan amalan yang terkait dengan agama dihapuskan, mungkin juga Mustafa Kemal berbuat demikian untuk mendiamkan suara sentimental untuk mengembalikan kerajaan Khilafah yang tertegak atas kekuatan Islam.

Tetapi apa pun kesan pembaharuan Mustafa Kemal telah melahirkan fahaman ideologi negara Turki yang dikenali sebagai Kemalisme. Turki adalah sebuah negara umat Islam totok sekular dan itulah terpahat dalam persepsi saya selain gelombang pembaharuan pasca-Kemalisme yang mula terbentuk dalam suasana yang amat sukar dan rumit gara-gara cengkaman elit tentera yang menjadi hulubalang Sekularisme-Kemalisme.

Necmettin Erbakan

Kebangkitan gerakan Islam moden sering dikaitkan dengan gelombang Turki. Sebagai negara yang berbangga dengan kerajaan Khilafah, sentimen Islam tidak mungkin dipisahkan dari masyarakat Turki.

Di sebalik tekanan sekularisme totok, desakan dan mobilisasi umat untuk kembali kepada penghayatan Islam semakin ketara di awal 80-an. Turki seolah mahu kembali pada jatidiri Islamnya kerana Kemalisme kini dipersoalkan dalam bentuk sokongan rakyat kepada parti yang tertonjol keislamannya.

Parti Refah pimpinan Necmettin Erbakan akhirnya menang majoriti dalam pilihanraya tahun 1996 dan perlantikan Erbakan sebagai Perdana Menteri pertama dari parti Islam dalam sejarah moden Turki membuka mata para elit tentera.

Namun Erbakan tidak lama di tampuk kekuasaan sehinggalah dipenjarakan dan diharamkan untuk berpolitik beberapa tahun kerana didakwa melanggar Kemalisme yang mengharamkan unsur agama dalam berpolitik.

Recep Tayyib Erdogan

Dalam suasana Turki yang totok sekularnya maka tidak hairan pandangan untuk membawa politik Islam akan terdedah kepada kerencaman ide dan ijtihad politik. Erbakan dan partinya parti Refah/Fazilet mula dicabar pandangannya dalam membawa cita-cita politik Islam.

Sekelompok anak didik Erbakan yang diketuai oleh Recep Tayyib Erdogan melihat cara politik Refah/Fazilet perlu diberi nafas dan pendekatan baru. Islam perlu memberi tumpuan kepada kerajaan yang bersih, khidmat yang terbaik dan ekonomi yang mantap.

Ini bukan bermakna Erbakan tidak ada agenda tersebut tetapi sikap dan langkah Erbakan pada pandangan Erdogan masih ‘lambat’ dalam usahanya ke pesada kuasa.

Erdogan dan rakan-rakannya terpaksa membuat pilihan sukar untuk berpisah dengan gurunya Erbakan apabila menubuhkan parti baru untuk meneruskan usaha gelombang reformasi pasca-Kemalisme. Maka lahirlah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) sehingga mereka berjaya menguasai kerajaan Turki hari ini.

Teruja

Saya banyak mengikuti pengalaman politik Islam di Turki dan dinamika ijtihadatnya dalam suasana sekular totok yang menguasainya. Malah dalam PAS kelompok yang mahukan perubahan seperti saya dan beberapa rakan lain dilabel sebagai kelompok Erdogan.

Adakah Erdogan kerana ijtihad politik menentang arus tradisi atau Erdogan kerana ide politik baru dalam kerangka negara sekular di mana banyak konsesi terpaksa dibuat tanpa perlu hilang prinsip?

Jawapannya mungkin panjang dan pelbagai.

Namun sebagai kelompok yang dilabel sebagai Erdogan dalam PAS sudah pastinya saya teruja untuk ke negara yang Erdogan adalah Presiden dan partinya adalah parti pemerintah.

PUIC menemukan hasrat saya dan semoga dapat saya mengutip pengalaman untuk meneruskan cita-cita perubahan yang kini diperjuangkan.

Istanbul aku datang.

Catatan ini dibuat semasa berada di dalam pesawat BA 767 London-Istanbul pada 17 Jan 2015.

 

Share on Myspace