Harakah: Beli, Baca, Beri

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS | .

KITA sebagai ahli PAS sewajibnya menyokong sepenuhnya akhbar keluaran rasmi parti iaitu Harakah selagi pimpinan tiada pengarahan untuk memboikot atau tidak menggalakkan untuk membelinya.

Harakah adalah pelopor kepada perjuangan PAS sejak puluhan tahun penerbitannya dan sesiapa pun tidak boleh menafikan bahawa akhbar tersebut telah mendekatkan PAS di mata masyarakat.

Dengan pelbagai ruangan termasuklah politik, agama, sastera dan sebagainya, Harakah telah menarik minat masyarakat untuk membelinya tidak kira lapisan, ia bukan hanya terhad dalam kalangan ahli semata-mata.

Harakah ternyata berjaya memberikan penerangan kepada masyarakat terhadap isu-isu semasa dalam negara di samping memberikan kefahaman tentang prinsip serta perjuangan PAS itu sendiri.

Dakwaan Harakah melebihkan berita pimpinan lain ternyata meleset kerana setiap keluaran lebih 80 peratus beritanya adalah berkaitan PAS.

Pimpinan PAS yang bersifat pelbagai dari segi kemahiran, kemampuan, kelulusan serta profesion telah diberikan ruang untuk berbicara dan menjawab segala isu mengikut kemampuan masing-masing.

Tidak ada lagi berlaku, ada pimpinan yang digam atau disekat untuk keluar di dalam Harakah walaupun pimpinan itu sendiri secara umum mengkritik serta menggambarkan ketidakpuashatiannya kepada akhbar tersebut.

Sememangnya ada laporan berita daripada pimpinan parti lain namun tidaklah hingga menenggelamkan pimpinan kita sendiri dan ia tidak pernah berlaku sejak daripada penerbitan pertama akhbar tersebut.

Ada kalanya berita daripada pimpinan daripada luar parti telah dijadikan 'headline', ia dipilih bukan suka-suka sebaliknya dibawa mesyuarat dalam usaha menarik minat pembaca untuk melanggan.

Ya, Harakah adalah akhbar rasmi parti, tetapi pembacanya adalah bersifat rencam daripada pelbagai lapisan termasuklah golongan atas pagar dan ahli BN itu sendiri.

Sesiapa yang melanggan setiap keluaran kita akan mengetahui strategi pendekatan Harakah dalam memacu akhbar dan parti dalam mengharungi iklim politik negara.

Akhbar ini dipimpin oleh pimpinan kita sendiri, ahli lembaga pengarahnya adalah pimpinan kita sendiri, Jawatankuasa PAS Pusat sentiasa menilai dan mengambil tahu akan pergerakan Harakah.

Saya yakin, Harakah matang untuk mendengar kritikan, matang untuk menerima pandangan daripada mana-mana pihak dengan cara yang lunak serta bertamadun. Tidak perlu untuk berkempen untuk memboikot sebaliknya membantu untuk memperkasakan akhbar rasmi parti itu.

Tekanan ini dirasai dengan sangat perit oleh seluruh staf khususnya wartawan melebihi apa yang dirasai oleh pimpinan dan ahli lembaga pengarah itu sendiri sedangkan mereka hanya melakukan tugas yang diamanahkan, kasihanilah mereka yang banyak berkorban kepada parti daripada memikirkan kesenangan mereka.

Teringat kata-kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Negeri Perak, beliau berkata, "Pembelian akhbar Harakah adalah infaq (sumbangan) kita kepada parti, belilah Harakah dengan niat nak tolong parti.

"Walaupun kita tidak sempat baca atau sudah membaca daripada sumber-sumber lain, belilah untuk tolong parti"

Harakah sememangnya bukan sumber dana rasmi parti, tetapi adalah penyumbang utama kepada parti dalam menggerakkan parti yang kita cintai ini.

Setiap keluaran jika tidak ada aral melintang, saya akan membeli dua naskah. Setiap naskah akan ditinggalkan di mana-mana lokasi yang saya berhenti, itu cara saya dan pelbagai cara kita boleh aplikasikan dalam memasyarakatkan Harakah dan dalam masa yang sama melebarkan dakwah PAS di dalam kelompok masyarakat.

Belilah walaupun tidak sempat untuk membaca atau sudah bermaklumat daripada sumber lain. Aplikasikan 3B: Beli, Baca dan Beri! - HARAKAH 19/1/2015

*Penulis adalah pembaca tegar Harakah merangkap Penolong Setiausaha Agung PAS dan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak

Share on Myspace