Jika inginkan pelangi, bersedia harungi hujan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

Wahai anakku,

Ketika aku melihat pada ciptaan, aku teringat setiap manusia ada manusia yang dicintainya yang tidak dapat dibawa apabila kematian datang mengunjung. Oleh itu, aku berterus melakukan kebaikan kepada mereka yang kucintai agar kebaikan itu terus kekal biarpun aku sudah tiada.

Wahai anakku,

Apabila aku terbaca firman Allah (An-Naazi’aat:40) maksudnya: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu”, aku bertekad untuk melawan nafsuku agar aku dapat sentiasa patuh pada Allah.

Wahai anakku,

Aku selalu melihat jika manusia ada sesuatu yang berharga padanya, mereka akan bermati-matian mempertahankannya. Apabila aku terbaca surah Al-Nahl: 96, “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”, segala apa yang bernilai buat aku, aku kerjakan untuk-Nya supaya ia kekal berada di sisi Allah untukku.

Wahai anakku,

Melihat mereka yang mengejar kekayaan, pangkat dan gelaran lalu aku teringat kata-kata Allah (al-Hadiid: 20), “(Bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat)”, aku terus berasa benda-benda tersebut tidak lagi penting buatku.

Wahai anakku,

Aku melihat manusia cemburu antara satu sama lain dan aku melihat firman Allah bermaksud (Az-Zukhruf: 32), “Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain”, lalu aku terus meninggalkan tabiat mencemburui orang lain.

Wahai anakku,

Melihat mereka yang bergelumang dalam permusuhan, aku teringat pesanan Allah (Faatir: 6), “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.” Lalu aku meninggalkan permusuhan dan hanya menjadikan syaitan sebagai satu-satunya musuh yang bagiku.

Wahai anakku,

Tatkala aku berasa sedih melihat manusia hilang arah kerana mengejar rezeki, aku teringat pada firman Allah (Hud: 6) bermaksud, “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)”, lalu aku berdoa agar aku dapat menyibukkan diri dengan tanggungjawabku terhadap Allah dan membiarkan hartaku di tangan-Nya.

Wahai anakku,

Melihat manusia yang bertukar gantungan mereka kepada perniagaan, harta dan kesihatan, aku terfikir surah (At-Thallaq: 3), “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)”, lalu aku tidak mahu menjadi seperti mereka kerana cukuplah bagi aku untuk hanya terus beriman dengan Allah.

Ingatlah wahai anak kesayanganku,

Jika kamu inginkan pelangi, bersedialah untuk harungi hujan yang datang dengannya. Senyum Ahad. - HARAKAHDAILY 25/1/2015

Share on Myspace