Maaf, saya mohon untuk menyokong Tuan Guru Presiden PAS

NASRUDIN HASSAN | .

1. Islam menggariskan kriteria khusus untuk melantik pemimpin, namun tidak menetapkan secara tetap kaedah pelantikannya. Kita tidak perlukan pilihanraya kerajaan tempatan sebaliknya pihak berkuasa negeri boleh memainkan peranan bijak dan pintar untuk melantik individu-individu yang kompeten dan berintegriti bagi mengurus tadbir hal ehwal masyarakat setempat.

2. Kerajaan negeri boleh memanfaatkan peruntukan undang-undang semasa dan proses konsultansi bersama masyarakat untuk memilih pihak berkuasa tempatan. Paling utama ialah penyampaian khidmat kepada masyarakat dapat dilakukan dengan lebih efisyen dan efektif tanpa terlalu banyak berpolitik.

3. Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat selayaknya menunjukkan praktis terbaik pihak berkuasa tempatan. Dari aspek pemilihan, koordinasi, kerjasama dan tadbir urus yang baik antara kedua-dua pihak. Jika ini dapat dipenuhi, maka ruang memanipulasi sistem pilihanraya untuk kepentingan sempit pihak tertentu dapat dielakkan.

4. Politik bukan sekadar demokrasi dan demokrasi bukan hanya berpilihan raya. Politik adalah mekanisme bagi memastikan negara ditadbir dengan adil untuk mencapai kemaslahatan agama dan rakyat.

5. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, perpaduan dan keharmonian rakyat perlu diutamakan. Apatah lagi, dalam situasi sekarang, gerakan rasis sering dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, kebimbangan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS serta faktor sejarah juga perlu diambil perhatian.

6. Saya meneliti pandangan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS menerusi artikel asal beliau berkait isu ini yang bertajuk: "Pembangunan Bandar Bermasyarakat Madani", saya rumuskan seperti berikut:

a] Beliau menyeru supaya masyarakat majmuk dalam negara ini dijalin dengan baik termasuk Melayu, India, Orang Asal, Cina dan komposisi kaum lain justeru petualang negara hanya mencari peluang untuk meniup api perkauman.

b] Beliau tidak mahu sebuah kemenangan politik dan pemilikan kuasa ekonomi oleh satu pihak, pula menjarakkan jurang masyarakat desa dan bandar. Justeru ia menafikan keadilan sosial serta mencacatkan keharmonian dan kedamaian bermasyarakat.

c] Beliau tegas menolak faham perkauman dan memberi peringatan agar tidak bermain di sempadan api perkauman. Kebimbangan yang dicetuskan adalah supaya ketegangan hasil elemen perkauman itu tidak berlaku. Beliau bukan menuduh atau mensabitkan sesiapa dengan label perkauman. Peristiwa 13 Mei disebut sebagai satu kebimbangan agar ia tidak berulang dek kerana wujudnya ketidakseimbangan dan bara api perkauman ini boleh dihidupkan pada bila-bila masa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

d] Bermula dengan membawa falsafah pembinaan tamadun Ibnu Khaldun, beliau menyentuh soal pembangunan manusia, bandar dan pentadbirannya dengan peranan federal, sosio ekonomi dan komposisi kaum secara luas dan saksama. Saya melihat pandangan yang dibawa oleh beliau sangat halus, tinggi dan menyeluruh. Tidak terperangkap dalam jalur fikir yang sempit.

Maka tidak selayaknya Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS diseret dalam kancah politik sempit dan tidak matang dengan hanya beliau mengemukakan kebimbangan agar tidak berulang tragedi malang negara itu.

7. Saya melihat penumpuan utama yang perlu difokuskan adalah penyelarasan serta peningkatan kualiti di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Contohnya apabila wujud pertindanan dasar dan peranan untuk membangun kawasan-kawasan tertentu, maka proses perundingan mesti dilakukan secara bersama dan saling menghormati. Ia adalah mekanisme terbaik bagi memastikan pembangunan seimbang dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

8. Musibah banjir telah mengajar kita bahawa kepentingan rakyat mesti diutamakan. Rakyat telah memilih wakilnya di peringkat negeri dan persekutuan supaya mereka dapat memberikan khidmat yang terbaik. Tanpa mengira fahaman politik, ras dan agama, seluruh rakyat berganding bahu, saling membantu dalam tujuan yang satu. Saya amat mengharapkan agar efisiensi di peringkat kerajaan tempatan dapat dipertingkatkan, dan agenda politik keterlaluan dapat dihapuskan.

Sekian, terima kasih.

AJK PAS Pusat|Ahli Parlimen Temerloh
26 Januari 2015|4 Rabi’ul Akhir 1436

Share on Myspace