Krisis hutang 1MDB: Bank Negara perlu bertindak

RAFIZI RAMLI | .

Laporan terbaru Bloomberg bahawa 1MDB sekali lagi memohon menanggungkan pembayaran hutang RM2 bilion kepada bank-bank Malaysia mengesahkan bahawa syarikat itu sedang berhadapan dengan masalah aliran tunai. Ini adalah kali ketiga 1MDB memohon penangguhan pembayaran.

Perkembangan ini juga menimbulkan tanda tanya ke manakah wang yang kononnya telah dibawa balik dari Pulau Cayman seperti yang dinyatakan oleh CEO baru 1MDB iaitu Arulkanda Kandasamy. Jika benar semua dana yang berjumlah sekitar RM7 bilion itu telah dibawa pulang, seharusnya 1MDB tiada masalah untuk membayar tunggakan hutang RM2 bilion kepada Maybank dan RHB itu.

Saya kira rakyat Malaysia keseluruhannya menerima hakikat bahawa 1MDB adalah satu syarikat yang mempunyai masalah kewangan dan membawa risiko tinggi kepada sistem kewangan negara dan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Yang lebih penting, hakikat ini perlu juga diterima oleh badan-badan kerajaan yang bertanggungjawab menyelia sistem kewangan negara dan sistem perbankan iaitu Bank Negara Malaysia. Saya faham bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz  mungkin berada dalam keadaan serba salah kerana 1MDB dinaungi dan didokong hebat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi sudah sampai masanya beliau bertindak bebas demi menjaga kepentingan rakyat.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Bank Negara Malaysia tidak membenarkan penangguhan pembayaran tunggakan RM2 bilion sekali lagi kerana ia memberi isyarat yang berbahaya kepada pasaran di saat matawang Malaysia terus jatuh. Penangguhan pembayaran RM2 bilion oleh 1MDB ini akan memberi isyarat bahawa risiko keberhutangan 1MDB kepada kestabilan sistem kewangan dan perbankan negara adalah tinggi dan menyebabkan pelabur asing terus menarik balik pelaburan mereka dari sistem kewangan dan perbankan kita. Ini akan menjatuhkan lagi nilai matawang ringgit.

Tanggungjawab Bank Negara Malaysia yang paling utama adalah untuk mempastikan nilai terbaik bagai matawang ringgit dan menjaga kestabilan sistem kewangan dan perbankan negara; bukannya melindungi sebuah syarikat bermasalah seperti 1MDB. Selama ini saya cuba sedaya upaya untuk tidak melibatkan Bank Negara Malaysia kerana saya sedia maklum kesulitan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang menghadapi tekanan akibat masalah 1MDB; tetapi masanya sudah tiba untuk beliau membuat keputusan yang tegas.

Dengan kuasa yang ada pada Bank Negara Malaysia di bawah Akta Anti Penggubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act), saya juga menyeru supaya Tan Sri Zeti Akhtar Aziz secara terbuka mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa dana yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion yang dilaporkan sudah dibawa balik dari Pulau Cayman oleh 1MDB benar-benar telah kembali dan telah memasuki sistem perbankan Malaysia;

2. Nyatakan di institusi kewangan mana wang berjumlah RM7 bilion itu dipegang untuk membuktikan bahawa dana RM7 bilion itu benar-benar telah dibawa pulang;

3. Bahawa 1MDB mempunyai dana yang cukup untuk melangsaikan tunggakan hutang sebanyak RM2 bilion kepada Maybank dan RHB yang telah dua kali tertangguh.

Jika Bank Negara Malaysia tidak mampu mengesahkan soalan-soalan mudah ini, ia menguatkan spekulasi bahawa dana RM7 bilion dari Pulau Cayman itu mungkin tidak pernah dibawa pulang ke Malaysia.

Jika penarafan negara (sovereign rating) jatuh akibat 1MDB, Bank Negara Malaysia perlu mengambil tanggungjawab juga kerana tidak tegas dan telus dalam menyelesaikan risiko yang dibawa 1MDB kepada sistem perbankan dan kewangan negara.

Memandangkan keadaan ini menjadi lebih rumit dengan permohonan penangguhan yang terbaru ini, saya memohon agar Tan Sri Zeti Akhtar meluangkan masa dalam tempoh dua minggu akan datang untuk bertemu dengan delegasi Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi mendengar sendiri pandangan kami mengenai 1MDB.

Naib Presiden/Setiausaha Agung PKR
Ahli Parlimen Pandan
28 Januari 2015

Share on Myspace