Saat getir, halakan muncung senapang kepada musuh

USTAZ IDRIS AHMAD | .

Ketika saat getir begini marilah sama-sama kita menghala muncung senapang kita kepada musuh, bukan sesama sendiri.

Sebagaimana pesanan Imam Hassan al-Banna "Kewajipan lebih banyak daripada waktu".

Sebenarnya kerja di dalam PAS ini banyak, tetapi kita amat kurang amilinnya (petugasnya). Orang hendak mendengar ceramah ramai, tetapi sedikit orang yang hendak mengatur ceramah.

Ramai orang hendak mengundi, tetapi sedikit orang yang bekerja untuk menarik pengundi.

Begitu juga ramai orang yang hendak mengkritik, tetapi sedikit orang yang melaksanakan apa yang dia kritik. Alangkah baiknya jika kritik disusuli dengan tindakan.

Barulah jamaah akan bergerak dengan baik. Jangan kita balun sahabat yang bekerja tanpa belas kasihan.

Sedangkan kebanyakan mereka ini bekerja kerana Allah. Biasalah sebagai manusia yang tidak maksum yang tidak sunyi daripada kesalahan dan kelemahan. Raikanlah mereka sebagai sahabat yang ikhlas bekerja.

Saya yakin mereka yang ikhlas membuat kerja jamaah tidak akan mempersia-siakan peluang dan masa. Mereka melakukan yang terbaik untuk PAS.

Pada mereka tidak ada masa untuk mencari kesalahan sahabat yang bekerja. Sepatutnya yang kita hendak marah ialah mereka yang tidak buat kerja.

Mereka yang buat kerja selalunya ada salah, kerana mereka bekerja. Manakala mereka yang tidak bekerja sentiasa selamat daripada buat salah. Umpama kereta jika sering diguna, maka ia akan rosak, berbanding dengan kereta yang tidak diguna.

Kita mesti mentarbiah diri kita menjadi rijal al-amal (orang yang bekerja), bukan rijal al-kalam (orang yang hanya bercakap).

Ahli yang produktif ialah mereka banyak bekerja, bukan banyak bercakap. Kita mesti rasa malu dengan ahli yang rajin bekerja berbanding dengan ahli yang banyak bercakap dan menjadi pengkritik tegar.

Kebiasaannya orang yang kuat mengkritik, hasilnya tidak seberapa. Paling parah sekali apabila diberi amanah dia tidak mampu menyelesaikan.

Perlu diingatkan tidak salah kita menjadi pengkritik, tetapi biarlah bersifat konstruktif (membina), bukannya meruntuh. Jamaah akan menjadi beku dan jumud jika semua ahlinya tidak berani mengkritik. Tidak ada idea baru dan tidak segar kerana apa yang dibincang masih bersifat satu hala.

Oleh itu kita diajar oleh Nabi Muhammad SAW membaca tasbih kafarah apabila hendak berpisah di dalam setiap pertemuan. Tasbih yang memohon keampunan daripada Allah, dibimbangi di dalam kita berbincang ada kritikan yang tidak sedap dengar oleh sahabat yang lain atau melanggar batasan syarak.

Begitulah juga para sahabat, mereka tidak akan berpisah kecuali setelah membaca surah al-Asr. Kerana di dalam surah ini sarat dengan tausiah (pesanan) baik untuk orang yang beriman. Antara lain bermaksud "Berpesanlah dengan kebenaran dan berpesanlah dengan kesabaran".

Faktor-faktor yang menyebabkan seorang yang hanya pandai mengkritik:

- Sombong dengan pandangan sendiri, dia merasakan dia yang bijak orang lain bodoh. Idea dia sahaja yang hebat, dan wajib diterima.

- Tidak menghargai kerja sahabat, ini satu tabiat yang buruk. Sedangkan sahabat yang bekerja sebagai satu tanggungjawab kepada jamaah yang hanya mengharap keredaan Allah SWT.

- Tabiat suka mengkritik orang lain yang sudah menjadi darah daging dan menjadi makanan hariannya. Mungkin mulutnya jadi gatal apabila tidak boleh kritik sahabat. Ia akan berusaha mencari kesalahan walau pun sekecil mana sekali pun.

- Merasa dirinya sahaja yang pandai, orang lain bodoh. Semua idea yang dilontarkan oleh ahli akan ditolak. Paling menyedihkan apabila ditanya, apa penyelesaiannya, beliau sendiri tidak tahu dan suruh orang yang mencadangkan cari sendiri formulanya.

- Tidak suka pegang jawatan kerana sangkaannya lebih baik, kerana membolehkan beliau mengkritik dari semua sudut. Pengalaman saya orang yang seperti begini tidak mampu menjalankan tugas apabila diberi amanah dalam apa lajnah sekali pun. Beliau hanya layak menjadi Pengerusi Lajnah Pengkritik.

- Paling takut sekali mereka ini ejen musuh yang menyelinap masuk ke dalam jamaah untuk membuat gangguan daripada dalam. (Nauzubillah) - HARAKAHDAILY 30/1/2015

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Share on Myspace