Prasyarat kemenangan kita

NASRUDIN HASSAN | .

1. Kemenangan amat bermakna bagi sebuah perjuangan. Apatah lagi perjuangan yang gigih berusaha untuk mendaulatkan syariat Allah swt. Namun ianya tidak mudah dicapai. Kemenangan adalah anugerah Allah swt. Ia dikurniakan hanya kepada yang layak dan berpotensi. Kelayakan dan potensi itu pula dinilai setelah kita berjaya menepati pra syarat sebuah kemenangan.

2. Pra syarat kemenangan ini boleh dimiliki melalui proses pembinaan dalaman dan luaran dengan sistem pentarbiyahan yang efektif dan istiqamah. Tanpa melalui proses ini, terlalu sukar untuk memiliki para syarat kemenangan tersebut, sementara tanpa pra syarat ini pula kemenangan tidak akan dapat dicapai sekalipun kita mempunyai pengaruh yang luas dan kekuatan fizikal yang hebat.

3. Ingat dan hayati apa yang telah ditegaskan melalui firman Allah swt:

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. (Surah At Taubah: 25)

 Memiliki Aqidah Perjuangan

4. Islam merupakan cara hidup yang disyariatkan oleh Allah swt kepada manusia. Ia adalah satu-satunya cara hidup yang sejahtera, adil dan tenang untuk manusia sejagat. Justeru itu Islam selayaknya dijadikan dasar dan perlembagaan hidup, samaada secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara.

5. Bertolak dari noktah inilah setiap individu muslim wajib memperjuangkan Islam sehingga ia benar-benar diletakkan pada suatu tempat yang selayaknya. Namun begitu suatu hal yang wajib disedari bahawa menganut, mengamal dan mendaulatkan Islam memaksa kita berjuang menempoh mehnah dan ibtila' (tribulasi) yang direntang oleh anasir atau agen musuh Allah swt di hadapan kita.

6. Pra Syarat ~ 1:1: Merentasi Tribulasi

Tribulasi dalam perjuangan adalah menepati ujian dari Allah swt sebagai proses saringan kelayakan untuk menyandang status seorang pejuang. Firman Allah swt:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang orang-orang yang benar-benar berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang benar-benar sabar (dalam menjalankan perintah Kami); sedang Kami tahu kedudukan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad: 31) - HARAKAHDAILY 30/1/2015

Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.

Share on Myspace