Jom berdamai, jangan tunggu muktamar!

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

LAUTAN mana tidak ditimpa gelombang, bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Demikianlah lumrah dalam kehidupan, apatah lagi dalam melayari sesebuah organisasi.

Demikianlah apa yang sedang dihadapi kebanyakan badan siasah di negara pada hari ini. Ia tidak terlepas dari parti yang kita sayangi, Parti Islam SeMalaysia, PAS.

Biar apa reaksi dari dalam atau luar, pemerhati penuh minat mengikuti gerakan dan ombak-ombak kecil dalam parti yang sedang berlaku. Tak perlu kita nafi guna menutup kelemahan atau menidakkan krisis. Al-Quran dan Sunnah telah cukup untuk memandu kita bagi mendepani apa yang berlaku.

Bukankah Allah SWT pernah berfirman yang bermaksud:

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Hujuraat 9)

Siapa pun kita dalam jemaah ini, kita punyai peranan. Tentunya peranan yang perlu dipikul oleh mereka yang berada dalam saf kepimpinan tidak serupa dengan peranan yang dipikul oleh penyokong yang mendokong perjuangan PAS di kampung-kampung.

Jika mereka yang berada di kampung-kampung boleh sekadar bersikap perhati, tunggu dan lihat, sikap yang serupa perlu dijauhi oleh seluruh pimpinan pada pelbagai peringkat. Apa yang diistilahkan sebagai “play safe” bukan lagi sesuai demi memastikan perjuangan Islam yang menunjangi PAS hilang fokus.

Saranan dari surah al-Hujuraat sebagaimana maksud di atas cukup jelas:

1.   Sikap orang beriman tidak akan membiarkan pertelagahan sesama mukmin berterusan.
2.   Sedaya dapat, perlu diusahakan setiap apa jua pertelagahan diharmonikan dan didamaikan.
3.   Kekerasan hanya boleh diteruskan apabila ada yang degil, menolak kedamaian atau keharmonian.
4.   Kesudahan dari pertelagahan adalah terus bersikap adil pada setiap waktu dan pada semua pihak.

Perbezaan pendapat dan pendekatan pelbagai kelompok dalam PAS bukan lagi rahsia. Perbezaan yang mengundang pelbagai ketidakselesaan sesama pimpinan dan penyokong telahpun diketahui dan dirasai oleh semua.

Justeru, apakah setiap dari kita hanya ingin bersikap sekadar tunggu dan lihat? Tentunya dengan saranan al-Quran sebagaimana telah saya nyatakan, bukan itu pilihannya.

Mereka yang berada dalam kepimpinan utama perlu segera mengorak langkah agar kekeruhan yang ada segera dijernihkan. Jangan bersikap serahkan pada ahli kerana pada masa ini kalianlah yang diamanahkan untuk melayari bahtera besar ini.

Harus diingat, fokus Negara berkebajikan yang kita gagaskan sejak 2011 masih jauh dari sasaran. Usah beralasan kita belum menawan Putrajaya untuk tidak berusaha menjadikan gagasan kita itu suatu realiti.

Kita punyai al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias untuk dijadikan panduan. Kita punyai kepakaran pelbagai bidang untuk Islam dijelmakan.

Jangan kerana kekecohan yang ada, kita alpa dengan fokus sebenar yang telah kita sendiri cetuskan. Islam itu sempurna dan terpulanglah kepada kita untuk menyerlahkan kesempurnaannya bagi dirasai oleh setiap insan dan disebarkan ke segenap alam. – HARAKAHDAILY 4/2/2015

Share on Myspace