Jenayah dan kebanjiran warga asing: Salah siapa?

IZWAN ABDUL HALIM | .

ANCAMAN luar yang menggugat keamanan dan keselamatan negara pada masa kini menuntut pelaksanaan serius dalam usaha mengekangnya. Tragedi di Lahad Datu hingga menyebabkan anggota keselamatan negara terkorban menjadi iktibar penting buat semua.

Umumnya, keselesaan yang dinikmati mungkin penyebab betapa rakyat kurang mengambil tahu situasi di sempadan-sempadan negara. Bahkan, pihak kerajaan memerintah juga seakan alpa untuk memberi perhatian sewajarnya terhadap tahap perkembangan semasa. Hanya apabila berlaku tragedi, barulah kita diumpamakan “Sudah terhantuk, baru tengadah”. Maka terfokuslah segala keperluan, aset, pembiayaan, penyusunan anggota hingga diwujudkan pelbagai polisi, pengezonan dan segala usaha kawalan.

Dalam realiti perkembangan dunia hari ini yang semakin pantas dan rencam serta perkasanya kemudahan teknologi, ia sememangnya menjadi cabaran besar kepada pasukan keselamatan negara. Tetapi bebanan itu tidak harus sedia terpikul di bahu mereka sahaja atau dengan hanya meningkatkan keperluan-keperluan untuk membendung segala kemungkinan. Sebaliknya integriti terhadap sistem dan mekanisme berkaitan juga perlu diperhalusi semula dari kemungkinan kelemahan dan penyelewengan.

Misalnya di sempadan negara antara Malaysia – Thailand yang selama ini membengit isu penyeludupan barang-barang keperluan harian seperti beras, gula, tepung dan lain-lain. Tetapi beberapa dekad ini isu yang berbangkit kian rencam termasuk merentasnya kegiatan jenayah. Kebimbangan mula wujud apabila disebalik pelbagai persoalan terhadap keupayaan kawalan sempadan, bukti nyata terserlah apabila warga asing sudah mampu ‘menawan’ ibu kota negara, Kuala Lumpur termasuk pemilikan premis dan kegiatan harian.

Kes gaduh hingga pembunuhan di kalangan warga asing tidak sedikit dilaporkan dan ia mula membibit kegelisahan besar kepada rakyat negara ini. Bukan sekadar dominasi pekerjaan, tetapi terbitnya kegiatan jenayah seperti samun, rompakan bersenjata, menggodam mesin wang (ATM), pemalsuan identiti, keldai dadah, wang gelap, pemerdagangan dan penyeludupan manusia, penjualan bayi serta banyak lagi. Bermakna mereka tidak lagi hanya meraih dan membawa pulang pelbagai nikmat dari negara ini secara ‘rompakan sah’, tetapi juga menimbulkan beban sosial dan jenayah serta membawa pelbagai gugatan keamanan dan keselamatan.

Segalanya berlaku dengan keupayaan atau kemampuan yang agak luar biasa dari sudut kecekapan atau kepakaran, peralatan atau teknologi canggih digunakan berupa senjata, peranti atau komunikasi, selain jumlah wang sangat besar dimiliki. Malah, menimbulkan curiga terhadap upaya lolos dan membolosi kawalan negara yang berlapis tapisannya. Seakan wujud kolaborasi kerana sebegitu mudahnya perkara-perkara itu berlaku, di mana pada hakikatnya juga turut mencalar maruah semua pihak yang dipertanggungjawabkan terhadap kawalan sempadan.

Sudah banyak laporan dan luahan pihak tertentu terhadap perkara ini, malangnya bagaikan tiada penyelesaian jitu dari pihak kerajaan. Misalnya kemasukan kenderaan Thailand ke negara ini di pintu masuk sempadan negara. Seolah-olah tanpa penguatkuasaan, kenderaan Thailand masuk secara berleluasa menjalankan pelbagai aktiviti komersial, sekaligus ‘merampas’ hak rakyat negara ini.

Dari pemerhatian umum dilakukan, dapat dilihat kenderaan-kenderaan persendirian Thailand membawa masuk barangan jualan tanpa sebarang sekatan atau pemeriksaan. Seperti ada ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada kenderaan persendirian Thailand menggunakan ‘Laluan Hijau’ (Green Lane) tanpa sekatan atau pemeriksaan walaupun laluan itu dikhaskan untuk kenamaan, tentera dan polis sahaja.

Malah, banyak kenderaan Thailand yang masuk itu menggunakan cermin gelap, selain dapat dilihat secara umumnya bergerak di merata tempat dalam negara ini hingga ke Johor Bahru termasuk menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan popular seperti restoran tomyam dan urutan badan selain bekerja di ladang-ladang.

Begitu juga pemerhatian di stesen-stesen minyak berhampiran pintu sempadan, kenderaan-kenderaan tersebut kelihatan mengisi minyak di negara ini dengan kadar meragukan dan dipercayai kebanyakan kenderaan tersebut membuat pengubahsuaian tangki untuk tujuan mengisi petrol dalam jumlah besar sebelum dijual semula di Thailand.

Walaupun dikawal oleh agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Imigresen, Unit Pencegah Penyeludupan, Pasukan Gerakan Am, Polis Sempadan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Tentera Regimen Sempadan, tetapi banyak pihak mengadu pemeriksaan kemasukan di pintu sempadan dilihat sangat longgar dan berjaya dikaburi.

Sekadar sekatan jalan raya, tinjau-tinjau dan pemeriksaan ala kadar tidak lagi memadai. Mekanisme lebih konkrit pemeriksaan termasuk penggunaan alatan canggih perlu khususnya menghadapi bawaan dan kemasukan melibatkan kenderaan besar seperti lori dan kontena. Imbasan dilakukan seperti yang diaplikasi di pintu-pintu masuk laluan udara di lapangan terbang, mesti segera dilaksanakan di pintu sempadan darat dan laut.

Dakwaan awam bahawa wujud pemberian dan penerimaan rasuah di pintu-pintu sempadan negara juga menuntut semakan semula terhadap semua jabatan dan agensi serta anggota penguatkuasaan terbabit. Tiada guna kerajaan meningkatkan keupayaan dari sudut penambahan jumlah anggota dan kewangan serta kemahiran menangani isu-isu sempadan, ketika sama wujud pihak yang curang dan khianat terhadap negara sendiri.

Perlakuan tidak amanah mereka seperti itulah sebenarnya satu jenayah yang seterusnya membiakkan sebegitu banyak jenayah lain hingga mengancam kestabilan negara. Jika sekiranya kawalan di sempadan Malaysia – Thailand itu sudah menyusunkan sebegitu banyak isu dan kecurigaan, maka sewajarnya penelitian terhadap bahaya yang wujud di seluruh sempadan negara diperteguhkan agar tidak rapuh dirempuh sewenang-wenangnya. – HARAKAHDAILY 4/2/2015

Share on Myspace