Penggunaan fiqh muwazanah dalam membuat keputusan

NASRUDIN HASSAN | .

MEMBUAT keputusan tidaklah semudah ungkapan atau arahan untuk mencapainya. Terkadang proses kajian dan perbincangan untuk membuat keputusan hanya berakhir dengan kebuntuan apabila ia tidak berada di atas landasan atau manhaj membuat keputusan yang baik dan betul .

Terutama keputusan yang melibatkan soal strategi dan gerak kerja amal Islami dalam Gerakan Islam. Tidak mudah kerana ia berhadapan dengan 1001 kemungkinan sementara harapan yang disandarkan dari keputusan tersebut sangat tinggi.

Justeru, kita mesti benar-benar menguasai manhaj dan mekanisme membuat keputusan agar kita mampu meminimunkan unsur kelemahan dan kekurangan dalam keputusan yang diambil, jauh sekali unsur kesilapan dan kesalahan dalam memuktamadkan sesuatu keputusan.

Saya melihat antara mekanisme yang perlu dikuasai oleh para amilin Gerakan Islam khasnya para pemimpin ialah Fiqh Muwazanah atau Kefahaman yang jelas, benar dan tepat dalam pertimbangan sebelum membuat keputusan.

Peranan Fiqh Muwazanah
Fiqh Muwazanah (Fiqh Pertimbangan) adalah satu makanisme yang sangat berkait rapat dengan Feqh al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) dalam kita mengambil sesuatu keputusan dan tindakan agar apa yang kita lakukan adalah suatu yang terbaik.

Secara garis kasarnya, Fiqh Muwazanah ialah:
* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemaslahatan dan manafaat dari berbagai-bagai kebaikan yang telah disyariatkan.
* Membuat pertimbangan antara pelbagai bentuk kemudharatan, kerosakan dan kejahatan yang dilarang atau ditegah oleh Syariat.
* Membuat pertimbangan antara maslahat (kepentingan) dan mudharat (kerosakan), antara kebaikan dan keburukan apabila dua perkara yang bertentangan ini bertemu antara satu sama lain.

PERTIMBANGAN (AT – TAWAZUN) ANTARA MASLAHAH
Kita akan dapati Maslahah (kepentingan / kebaikan) yng telah ditetapkan oleh syarak tidak berada dalam satu kategori sahaja bahkan ia terbahagi kepada beberapa kategori:
a. Dhoruriyat - ضروريات
Jika tidak memilikinya (dhoruriyat) nescaya kita tidak boleh menjalani kehidupan ini seperti agama, nyawa dan akal .
b. Haajiyat - حاجيات
Kita masih mampu hidup sekalipun tanpa memilikinya (haajiyat) tetapi kita akan mengalami kesukaran dan kesulitan hidup yang getir seperti rumah, kenderaan dan perkara seumpamanya.
c. Tahsiiniyat - تحسينيات
Suatu yang menambah keselesaan, kesenangan dan kemewahan dalam hidup kita dan ia juga sering disebut sebagai pelengkap (كماليات) seperti kenderaan kedua, rumah kedua, perabot tambahan dan lain-lain .

Keputusan yang kita hendak ambil ialah pastinya keputusan yang terbaik atau yang afdal dan yang aula 

* Maka pertimbangannya secara prinsip umum ialah mendahulukan Dhoruriyat ke atas Haajiyat demikian juga Tahsiiniyat.

Begitu pula sewajarnya kita mendahulukan Haajiyat ke atas Tahsiiniyat dalam pertimbangan yang melibat perkara dalam dua kategori tersebut .

Dhoruriyat terbahagi kepada 5:
* Agama
* Jiwa
* Keturunan
* Aqal
* Harta

Sebahagian Ulama menambah perkara yang keenam dalam senarai Dhoruriyat ini iaitu Maruah (penghormatan).

Proses membuat keputusan ialah mengambil pertimbangan dengan teliti dan meletakkan agama sebagai perkara yang terpenting daripada senarai dhoruriyat dan ia mesti didahulukan berbanding Jiwa, keturunan, akal dan harta.

Pertimbangan teliti dan cermat ke arah menghasilkan keputusan yang baik dan wajar terhadap pelbagai maslahah (kepentingan) tersebut ialah dengan menggunakan kaedah berikut:

1. Mendahulukan maslahah (kepentingan) yang sudah pasti ke atas maslahah (kepentingan) dalam jangkaan atau masih diragui kedudukannya.
2. Mendahulukan maslahah (kepentingan) yang besar ke atas maslahah (kepentingan) yang kecil.
3. Mendahulukan maslahah (kepentingan) awam berbanding maslahah (kepentingan) individu .
4. Mendahulukan maslahah (kepentingan) yang banyak berbanding maslahah (kepentingan) yang sedikit 5. Mendahulukan maslahah (kepentingan) yang berterusan dan berkesinambungan berbanding maslahah (kepentingan) yang sementara.
6. Mendahulukan maslahah (kepentingan) inti dan prinsip yang fundamental berbanding maslahah (kepentingan) yang bersifat luaran (cabang) dan tidak penting .
7. Mendahulukan maslahah (kepentingan) masa depan yang kuat, kukuh dan pasti berbanding maslahah (kepentingan) semasa yang lemah dan tidak pasti .

Iktibar dari Hudaibiyah
Sebagai contoh kita boleh melihat peristiwa Perjanjian Hudaibiyah bagaimana Nabi SAW telah mengutamakan maslahah (kepentingan) prinsip dan masa depan berbanding maslahah (kepentingan) yang bersifat cabang dan semasa .

Nabi SAW setuju memadam kalimah Bismillahirrahmanirrahim sebagaimana yang dituntut oleh Kafir Quraisy pada surat perjanjian lalu diganti dengan Bismikallahumma. Demikian juga Nabi SAW setuju memadam nama Baginda Muhammad Rasulullah lalu diganti kepada Muhammad bin Abdullah .

Tindakan yang diambil oleh Nabi SAW adalah menafikan (maslahah) kepentingan semasa yang bukan sahaja membuatkan Nabi SAW terpaksa menangguhkan umrah pada tahun itu (walau telah berihram) tetapi juga terpaksa berhadapan dengan bantahan daripada para sahabat yang merasakan bahawa mereka ditewaskan oleh kuffar Quraisy secara diplomatik.

Namun, Nabi melihat maslahah (kepentingan) masa depan dengan mewujudkan perjanjian damai atau gencatan senjata dengan musuh yang membolehkan Islam bergerak dan berkembang pesat ketika era damai itu, lalu akhirnya membawa kepada kemenangan besar bagi ummat Islam iaitu Fathul Makkah (pembukaan Kota Makkah)

PERTIMBANGAN (AT – TAWAZUN) ANTARA MUDHARAT
Mudharat (kerosakan) juga mempunyai beberapa tahap. Mudharat (kerosakan) yang memusnahkan dhoruriyat seperti agama adalah tidak sama dengan mudharat (kerosakan) yang membinasakan Haajiyat dan Tahsiiniyat seperti rumah dan perabot .

Demikianlah juga mudharat yang merosakkan harta dan jiwa tidak sama tahapnya dengan mudharat yang meruntuhkan agama dan akidah (walau dalam satu kategori iaitu dhoruriyat).

Justeru itu , para Fuqaha menetapkan beberapa kaedah untuk menangani persoalan ini:
1. Tiada bahaya (tidak boleh mencetuskan bahaya) dan tidak boleh membahayakan (diri sendiri atau pihak lain)
2. Suatu bahaya seboleh mungkin mestilah disingkirkan.
3. Suatu bahaya tidak boleh dihapuskan dengan bahaya yang serupa atau lebih.
4. Bahaya yang ringan jika dibanding dengan bahaya yang lain (lebih berat) mesti dipilih (bahaya yang ringan) dan boleh dilakukan .
5. Bahaya yang lebih ringan boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang lebih besar.
6. Bahaya yang bersifat khusus boleh dilakukan untuk menolak bahaya yang sifatnya lebih umum dan luas .

PERTIMBANGAN APABILA MASLAHAH DAN MUDHARAT BERTEMU
Apabila dalam satu perkara mempunyai maslahah (kepentingan) dan mudharat (kerosakan) secara serentak. Ada bahaya dan dalam masa yang sama ada manafaat. Keadaan ini sangat-sangat memerlukan kita menimbangnya dengan teliti, tekun dan cermat sebelum membuat keputusan.

Situasi seperti ini menuntut kita mengambil keputusan berasaskan pertimbangan yang lebih berat dan lebih banyak dengan mengabaikan yang lebih ringan dan sedikit.

Contohnya arak. Kita terpaksa mengabaikan sedikit manafaat yang terkandung di dalamnya berbanding mudharat yang lebih besar dan banyak padanya. Firman Allah SWT:

يسئلونك عن الخمر و الميسر قل فيهما إثم كبير و منافع للناس و إثمهما أكبر من نفعهما

Mereka bertanya kepadamu Wahai Muhammad mengenai Khamar (arak) dan judi, katakanlah: pada keduanya ada dosa (kemudharatan) yang besar dan manafaat bagi manusia dan dosa (kemudharatan) pada keduanya lebih banyak dari manafaat keduanya. (Surah al-Baqarah : ayat 219)

Sebaliknya jikalau dalam satu perkara itu terdapat manafaat yang banyak dan lebih besar maka perkara itu boleh dilakukan sementara kerosakan kecil yang ada padanya boleh diabaikan.

Antara kaedah penting dalam menangani perkara ini ialah:
1. Menolak mudharat (kerosakan) mestilah didahulukan ke atas pengambilan manafaat.
درء المفاسد على جلب المصالح

Kaedah ini disempurnakan oleh kaedah yang lain:

1. Kerosakan yang kecil dimaafkan untuk mendapatkan kemaslahatan yang lebih besar.
2. Kerosakan yang bersifat sementara dimaafkan demi kemaslahatan yang sifatnya berterusan/ berkesinambungan .

3. Kemaslahatan yang sudah pasti tidak boleh ditinggalkan hanya kerana ada kerosakan yang baru dijangka wujudnya.

Penutup
Sesungguhnya Fiqh Muwazanah ini mempunyai erti yang sangat besar dan penting, khususnya dalam masalah siasah syari'yah kerana ia merupakan landaan pembinaan ummah yang pemeringkatannya juga boleh dilihat sebagai Feqh al Aulawiyat.

Sewaktu kita membuat keputusan dalam menetapkan gerak kerja jamaah sebagai contoh, sering kali kita berdepan dengan dilema antara dua perkara yakni kedua-duanya dilihat baik atau paling baik seperti menentukan calon dalam pilihan raya .

Fiqh Muwazanah memainkan peranan besar dalam perkara ini. Tatkala sukar membuat keputusan, terkadang kita terpaksa mendahulukan perkara baik tanpa risiko berbanding perkara yang paling baik tetapi mempunyai risiko.

Begitu juga disaat berat kita buat keputusan, fiqh Muwazanah menetapkan cara kita membuat keputusan seperti kita terperangkap antara dua situasi "kalau berjuang mungkin kita mati tetapi kalau tidak berjuang agama pula mungkin mati" maka pertimbangannya ialah dibaca sekali dengan Fiqh Aulawiyat bahawa kita kita mesti mendahulukan agama berbanding Jiwa kita, lalu wajib kita kita turun berjuang walau risikonya mengorbankan nyawa. – HARAKAHDAILY 4/2/2015

LAMPIRAN:

BAGAIMANA MENGENAL PASTI MASLAHAT DAN MUDHARAT
Nota: 1
Asasnya, kemaslahatan yang perlu dipelihara ialah kemaslahatan akhirat demikian juga kemaslahatan dunia menurut urutannya.
Bertolak dari nokhtah itu , kita boleh mengenal pasti kemaslahatan dan kemudharatan ini melalui:
a. Ketetapan Agama (Nas Naqli)
b. Fungsi Aqal Fikiran (Nas Aqli)
c. atau kedua - duanya sekali.

Pendapat Imam Izzudin Abdus Salam dalam kitabnya: Qawai'd al-Ahkam Masholih al-Imam seperti berikut:
"Kebanyakan kemaslahatan dunia dan kerosakannya dapat diketahui dengan akal sekali gus menjadi bahagian terbesar dari syariah kerana telah diketahui bahawa sebelum ajaran agama diturunkan, orang yang berakal telah mengetahui bahawa usaha mereka untuk mencapai suatu kebaikan dan menghindar terjadinya suatu kerosakan pada diri manusia menurut pandangannya suatu yang terpuji dan baik."

Nota 2 :
" Mendahulukan sesuatu kemaslahatan yang diterima kuat (rajih) atas kemaslahatan yang tidak diterima (marjuh) juga merupakan suatu yang terpuji dan baik. Sementara penolakan terhadap kerosakan yang dianggap pasti berbanding penolakan ke atas perkara yang dianggap belum pasti juga merupakan suatu yang baik . "

Nota 3:
Konsep asal yang diambil dalam membuat pertimbangan ( tawazun ):
Tindakan yang menghasilkan kemaslahatan yang baik merupakan perbuatan yang paling mulia sedang perbuatan yang menghasilkan kerosakan merupakan amalan atau tindakan yang paling hina.

Nota 4 :
a. Kemaslahatan mempunyai tiga bahagian:
- Wajib
- Sunat
- Mubah (harus)
b.] Kemudharatan mempunyai dua bahagian:
- Haram
- Makruh

Share on Myspace