Monopoli ekonomi: Boikot Umno BN, bukan peniaga

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

 

1. Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang menyarankan para pengguna agar memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barangan walaupun harga minyak telah diturunkan sebanyak dua kali bermula Disember tahun lalu, saya ingin menyatakan bahawa yang lebih wajar untuk diboikot dalam hal ini adalah Kerajaan kerana sistem pengurusan ekonomi Kerajaanlah punca pada permasalahan ini . – Soal kenyataan beliau yang menimbulkan pelbagai reaksi itu saya serahkan sahaja kepada pihak PDRM untuk menyiasat bagi diambil tindakan sewajarnya.

2. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pula mengulangi lagi penegasan beliau untuk mengenakan tindakan keras ke atas mana-mana peniaga yang tidak menurunkan harga barangan mereka menerusi Akta Kawalan Bekalan, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Persaingan. Gesaan itu dibuat dengan para peniaga diminta untuk mencontohi Kerajaan yang sanggup menangguhkan kenaikan tarif elektrik sebagai usaha mengurangkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

3. Walaupun Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menyatakan kesediaan untuk melancarkan kempen boikot besar-besaran terhadap peniaga atau syarikat yang menjual barangan pada harga yang tinggi dan saya juga dengan ini ingin menyatakan sokongan 100% terhadap usaha ini, namun alasan para peniaga khususnya pada peringkat pengeluar atau pengilang dan pemborong ada munasabahnya dan harus diambil kira.

4. Mereka tidak dapat menurunkan (bahkan terpaksa menaikkan) harga barangan kerana berikutan kejatuhan nilai Ringgit, ia menambahkan lagi kos pengeluaran mereka khususnya untuk tujuan pembelian bahan mentah.

5. Peliknya apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengulas berkenaan penyusutan nilai Ringgit ini dengan berkata bahawa ia adalah positif untuk negara. Dengan beberapa huraian dikemukakan, beliau berkesimpulan bahawa keadaan itu akan dapat meningkatkan penggunaan barangan buatan tempatan dalam kalangan rakyat serta dapat mengembangkan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

6. Dalam penjelasan beliau itu, tidak pula dinyatakan secara jelas dan pasti apakah punca kejatuhan nilai ringgit, bagaimana negara boleh terjejas dengan keadaan itu dan bagaimana pula Kerajaan akan mengatasinya? Bahkan, dengan berkeyakinan penuh terhadap kenyataannya itu, beliau menegaskan bahawa keadaan masih tidak membimbangkan dan tiada keperluan untuk melakukan semakan terhadap KDNK.

7. Keyakinan beliau itu akhirnya disanggah sendiri oleh Semakan Bajet 2015 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. Dalam semakan itu, KNDK baru yang digariskan ialah 4.5% – 5.5% berbanding 5% - 6% seperti yang disasarkan dalam Bajet 2015 yang dibentangkan pada Oktober 2014 lalu; dan defisit fiskal pula ialah 3.2% berbanding 3% seperti yang disasarkan sebelum ini.

8. Ini membuktikan bahawa negara sebenarnya sangat terjejas dengan kejatuhan harga komoditi dan nilai Ringgit walau apa juga aspek positif seperti apa yang diberitahu oleh Datuk Ahmad Maslan.

9. Keadaan harga barangan yang tetap naik ketika harga petrol naik dan turun boleh sahaja difahami dengan mudah melalui teori ‘demand-pull inflation’ atau ‘cost-push inflation’; termasuklah isu etika atau sikap peniaga. Ia hanya sekadar persoalan sampingan yang dibisingkan oleh Kerajaan untuk mengalih perhatian awam terhadap permasalahan yang lebih besar.

10. Sebenarnya yang berlaku ialah ‘economic circulation’ dalam negara kita sedang bermasalah dan Kerajaan pula tidak dapat menanganinya dengan berkesan. Kita berhadapan dengan MONOPOLI kekayaan sebagaimana peringatan Allah dalam al-Quran

ِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
bermaksud: "agar harta kekayaan tidak berlegar antara orang-orang kaya kamu sahaja"

11. Berdasarkan data kepenggunaan isi rumah (household consumption) bagi tempoh 2000 – 2009 yang dikeluarkan oleh Bank Negara, perbelanjaan ke atas makanan dan minuman bukan beralkohol adalah yang tertinggi iaitu 23% daripada jumlah perbelanjaan isi rumah (household expenditure), diikuti oleh perbelanjaan ke atas perumahan dan utiliti (18.9%); pengangkutan (13.4%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (12.8%); dan restoran dan hotel (7.5%). Kelima-lima komponen perbelanjaan ini adalah mewakili 75.6% daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan isi rumah.

12. Perbelanjaan ke atas perumahan dan utiliti (18.9%); pengangkutan (13.4%); komunikasi (6.3%); dan pendidikan (1.6%) yang berjumlah 40.2% daripada perbelanjaan isi rumah yang menjadi keperluan semua orang pada ketika ini, adalah di bawah kawalan Kerajaan. Masalahnya, samada rumah atau pengangkutan atau telekomunikasi semuanya sedang dikawal oleh kuasa MONOPOLI yang anti persaingan dan akibatnya harga kurang kompetitif kepada pengguna. Lebih teruk, syarikat-syarikat berkaitan ini dimiliki oleh kroni kepada parti pemerintah.

13. Inilah masalah utama dan sebenarnya dalam persekitaran ekonomi negara kita sehingga mengakibatkan para pengguna iaitu rakyat berdepan dengan tanggungan kos sara hidup yang melambung tinggi. Malangnya, Kerajaan cuba mengalihkan beban untuk meletakkan kesalahan 100% ke atas para peniaga demi memastikan kelangsungan kuasa mereka.

14. Oleh itu, sekali lagi saya tegaskan bahawa yang lebih wajar untuk diboikot dalam hal ini adalah Kerajaan; Umno dan BN yang menggunakan sistem yang salah dalam urustadbir ekonomi negara dengan membiarkan monopoli ekonomi berlaku. - HARAKAHDAILY 6/2/2015

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Share on Myspace