Kedudukan zakat suami isteri yang mencampurkan pendapatannya?

USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID | .

Saya ingin mendapatkan penjelasan bagi harta sepasang suami isteri yang bercampur. Pertamanya, jika pendapatan kami asalnya adalah berasingan, maka adakah ia perlu dicampurkan? Keduanya, jika saya dan isteri menjalankan perniagaan sampingan dan pendapatannya kami satukan, adakah ia masih dikira zakat pendapatan persendirian (individu)? Atau, adakah apabila pendapatan saya dan isteri itu sudah dicampurkan, maka kami wajib mengeluarkan zakat ke atasnya secara bersama (sebagai harta perkongsian), sedangkan ia masih zakat pendapatan? Saya keliru, kerana ada yang menyatakan zakat pendapatan itu asalnya zakat persendirian; namun ada yang menyatakan jika sudah bercampur, maka kami juga masih wajib mengeluarkannya secara bersama. Harap penjelasan pihak ustaz, terima kasih.

Terima kasih kerana bertanya. Semoga Allah SWT membantu saya dalam meraih jawapan yang benar dan saya berharap jawapan yang disediakan ini juga mampu memberikan pencerahan kepada saudara dan juga isteri saudara dalam kemelut zakat tersebut. Mudah-mudahan juga, berkat kesungguhan saudara berdua mahu menunaikan zakat, maka Allah SWT kelak sudi menambahkan keberkatan dalam pendapatan dan perniagaan sampingan yang saudara berdua jalankan, amin.

Baiklah, demi menjawab persoalan yang telah dikemukakan, maka saya ingin terlebih dahulu menjelaskan, bahawa umumnya Islam memang menetapkan bahawa perlaksanaan zakat harta adalah tertakluk ke atas individu yang tertentu. Maknanya, harta bagi si A, maka dia sendirilah yang wajib menunaikan zakatnya. Jika harta si B, maka dia sendiri jugalah yang menaksirkannya. Inilah kaedah asas bagi menunaikan zakat ke atas individu muslim.

Di dalam buku Ensaiklopedia Fiqh Wanita (Jilid 2) halaman 6, Dr. Abdul Karim Zaidan ada menukilkan: “Kaum wanita diwajibkan mengeluarkan zakat sebagaimana kewajipan yang mesti dilakukan oleh kaum lelaki apabila kesemua syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat telah dipenuhi. Jumhur fuqaha sepakat bahawasanya zakat diwajibkan terhadap wanita muslimah, merdeka, baligh dan berakal.”

Dalam perbahasan hukum fiqh juga, hanya dalam bab zakat fitrah sahaja fuqaha Islam mempunyai perselisihan pandangan dalam urusan mengeluarkan zakatnya, iaitu sama ada seseorang itu termasuklah isteri dan anak-anak wajib mengeluarkan sendiri zakat fitrah mereka ataupun ia dikeluarkan oleh wali atau penjaga.

Jumhur fuqaha menyatakan, zakat fitrah walaupun ke atas anak kecil, hendaklah dikeluarkan zakatnya dari harta anak itu sendiri (jika ada) oleh bapanya; dan sebahagian yang lain sahaja berpendapat bahawa zakat fitrah itu menjadi tanggungan si bapa ke atas anak-anaknya (rujuk Ibn Rusyd, Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 578). Cumanya amalan di Malaysia, bapa atau suami yang tampil menunaikan zakat fitrah bagi semua tanggungannya dan hal ini tidaklah bersalahan dengan hukum syarak, kerana masih ada ulama yang memperbolehkannya.

Maka, di sini penulis melihat bahawa agama Islam sedari awal telah mempertegaskan bahawa zakat itu adalah kewajipan individu yang hakiki, yang wajib dilunasi secara persendirian apabila segala syarat wajibnya telah dipenuhi.

Oleh itu, di sini penulis melihat bahawa apabila sesuatu harta itu asalnya tidak bercampur antara suami dan isteri, maka sewajarnya ia tidak disatukan. Misalnya dalam kes saudara ini, katakanlah saudara dan isteri masing-masing memang mempunyai pendapatan sendiri yang dari asalnya adalah terpisah. Katakanlah saudara bekerja di pejabat A dan isteri di kilang B, maka pastilah pendapatan masing-masing adalah terpisah. Maka, tidak perlulah ia dicampurkan.

Ini penting, kerana jika disandarkan kepada pendapatan yang berasingan itu, maka hanya pendapatan yang cukup nisab sahaja diwajibkan zakat. Jika ternyata pendapatan saudara dan isteri masing-masing berada di bawah paras nisab, maka tidaklah ia wajib dizakatkan kedua-duanya. Atau jika pendapatan salah seorang sahaja yang sudah mencukupi nisab, maka hanya pendapatan itu sahajalah yang wajib dizakatkan. Islam tidaklah bersifat menekan dengan mengarahkan kita mengeluarkan zakat jika kita memang tidak mampu menunaikannya.

Hal ini hakikatnya selaras dengan ketetapan hukum zakat itu sendiri, iaitu yang pertama, adalah perlu bagi sesuatu harta itu terlebih dahulu mencapai paras nisab untuk dikeluarkan zakatnya dan yang keduanya, ia juga perlu mengambil kira dari aspek penggunaan asasi (untuk keperluan hidup) sebelum dikirakan zakat ke atasnya.

Dalam hal ini fuqaha menjelaskan: “Syarat tersebut di atas (melebihi keperluan asasi) ditetapkan kerana, sesungguhnya harta yang masih digunakan untuk memenuhi keperluan kehidupan asas dianggap tidak ada, dan tidak terdapat zakat untuk sesuatu (harta) yang tidak ada… dan tidak menyebabkan pemiliknya dianggap sebagai orang yang kaya.” (Dr. Abdul Karim Zaidan, Fiqh Ensaiklopedia Wanita, Jilid 2, hal. 20)

Maka, bagaimana pula jika sebelum ini (tahun-tahun lalu) saudara suami isteri sudah mengamalkan menggabungkan pendapatan (dicampurkan) dan kemudian baharu digunakan semula dan ia tidak pula dikeluarkan zakatnya? Mudah sahaja, jika ia adalah dari sumber penggajian maka sudah pasti masing-masing ada penyata gajinya, maka rujuklah kepada penyata gaji berkenaan untuk menentukan sama ada pendapatan berkenaan (diri sendiri) mencapai nisab atau tidak. Jika memang masing-masing atau salah seorang sahaja yang pendapatan bergajinya mencapai nisab, maka ia hendaklah dizakatkan sebagai qada.

Seterusnya, saudara juga bertanya mengenai pendapatan hasil perniagaan yang bersifat sampingan yang saudara berdua jalankan dan hasilnya dikongsi bersama, maka apakah hukumnya masih bersifat individu atau perkongsian?

Dalam hal ini, dalam perbahasan fiqh ada disebutkan mengenai kedudukan harta yang dimiliki secara bersama. Sekali lagi sebahagian fuqaha dari jalur Syafie, al-Hassan al-Basri dan al-Sya’bi menyatakan: “Sesungguhnya harta kekayaan yang dimiliki secara bersama (berkongsi) adalah sama tarafnya dengan harta kekayaan yang dimiliki oleh seorang (diri individu). Jika harta kekayaan yang dimiliki bersama itu mencapai nisabnya, maka ia wajib dikeluarkan zakatnya, walaupun setiap orang yang bergabung itu memiliki kurang daripada ukuran nisab. Ketentuan ini berlaku untuk semua jenis harta kekayaan.” (ibid, hal. 23)

Pandangan ini dianggap kuat, kerana ia disandarkan kepada konsep harta khultah (perkongsian), yang mana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Tiadalah dikumpulkan harta yang terpisah, dan tiadalah pula dipisahkan antara harta yang terkumpul kerana khuatir mengeluarkan zakatnya. Dan tiadalah ada dua penternak yang becampur kecuali kedua-duanya kembali sama-sama berzakat.” (Dr. Yusuf al-Qaradawy, Hukum Zakat, hal. 220)

Kes ini merujuk kepada keadaan, dua penternak yang menjalankan penternakan secara perkongsian, misalnya si A mempunyai 20 ekor kambing dan si B mempunyai 20 ekor kambing, maka jika diasingkan ternakannya, maka masing-masing tidak mencapai nisab zakat ternakan kambing; namun apabila dicampurkan, jadilah ia mencapai nisab 40 ekor kambing. Maka, oleh kerana mereka memang menjalankan penternakan secara berkongsi, maka ia mestilah dikira secara bercampuran. Konsep inilah yang diaplikasikan dalam harta perkongsian yang lain.

Namun begitu, Nabi SAW juga menegah para amil pentaksir zakat agar tidak sengaja menggabungkan harta-harta yang memang asalnya terpisah-pisah, misalnya si A memang ada 30 ekor kambing dan Si B ada 20 ekor kambing yang memang diternak secara berasingan, yakni ia tidak dicampurkan kerana memang pemiliknya tidak berniat menternak secara bersama, untuk digabungkan agar mencapai nisab dan diambilkan zakat ke atasnya (ibid, 221).

Justeru itu, merujuk kepada amalan saudara yang sudah menjadikan perniagaan sampingan itu sebagai perniagaan bersama (dalam bentuk perkongsian perniagaan), maka kala itu hasilnya atau pendapatannya sudah menjadi seperti zakat harta yang bercampur seperti di atas. Maka, saudara dan isteri hendaklah mengiranya sebagai harta yang bercampur (harta khultah) dan dikeluarkan zakatnya sebagai harta perkongsian sebanyak 2.5 peratus.

Contohnya, keuntungan bersama saudara berdua daripada perniagaan sampingan (katakanlah menjalankan kelas tambahan bagi para pelajar sekolah) bagi setahun adalah RM24,000 maka dikeluarkan zakatnya sebagai zakat pendapatan sebanyak 2.5 peratus, iaitu RM600.00.  - http://www.hamizul.com

Share on Myspace