Mendobrak fahaman pluralisme agama

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Fenomena ini seperti sedang menaufan negara yang kita cintai, seperti sebuah arca ketololan namun disangka seperti sikap toleransi beragama, bahkan dicanang untuk merapatkan jurang intergrasi antara kaum dan etnik. Pemimpin politik yang jahil memposisikan diri sebagai jaguh liberal, anak muda pula dengan bangga mempamerkan poster menyokong keharmonian beragama dalam cara yang salah, bertentangan dengan aqidah Islam.

Fahaman Islam liberal dan pluralism agama sedang mengambil tempat di negara ini, iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka, menuju kearah kebenaran. Bagi kelompok ini, Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan sebagai wasilah untuk mencari ketuhanan. Negara jiran kita, Indonesia telah lama menjadi lubuk kepada kebejatan fahaman sesat ini.

Seorang tokoh kelompok ini, juga pimpinan Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002 menyatakan : "Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran". Ajaran ini berakar semenjak zaman Soekarno, bahkan sehingga membawa pemenjaraan kepada ulama besar Indonesia, iaitu Buya HAMKA. Almarhum ,seorang daie dan ulama yang tegar menjaga akidah umat Islam, terpaksa mendekam di penjara Cipinang Jakarta kerana menentang pluralis agama.

Gencar fahaman ini membadai Indonesia, maka lahirlah ideologi Pancasila di Indonesia. Bermula dengan galakan penguasa maka penganut fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan "menuju ke shurga". Perkahwinan antara agama sememangnya telah diamalkan puluhan tahun di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di negara kepulauan tersebut. Pasca reformasi 1998 di Indonesia, fahaman ini semakin mendapat ruang yang selesa dengan munculnya berbagai ormas , NGO yang menggalang serta menyuburkan fahaman sesat itu. Selain itu galaknya amalan kongsi raya, kongsi rumah ibadah, kongsi tanah pemakaman dan sebagainya.

Di Malaysia pula, penularan fahaman Pluralisme agama dapat dihidu dalam kes-kes berikut.

a) Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan para Ulamak dalam Muzakarah Ulamak 2006 pada 13 Jun 2006. Muzakarah memberikan resolusi kongsi agama sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan para ulama tersebut bahkan menuduh agamawan itu sebagai jumud, kolot dan konservatif.

Astora Jabat dalam tulisannya di dalam Majalah Al-Islam (bulan Ogos 2006) telah melabelkan agamawan yang menghadiri Muzakarah tersebut sebagai merapu kerana mengeluarkan fatwa haramnya Kongsi-Raya tersebut. (Lihat artikelnya dalam majalah tersebut di halaman 3 yang bertajuk "Ulama Jangan Merapu").

b) Kerana terpengaruh dengan fahaman Pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim daripada parti kerajaan dan sebuah NGO muslim (iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001.

Pluralisme agama ini jika tak dikawal dan diberikan pencerahan, akan mengambil ruang besar masyarakat negara ini atas alasan toleransi beragama dan menjaga kerukunan antara etnik. Anak-anak muda paling teruk diterjah dengan idea-idea kebebasan, menyokong aliran liberal, tidak terkongkong dengan nilai-nilai agama, bahkan menganggap pihak autoriti agama sebagai polis moral yang mengekang idea-idea kebebasan.

Menganggap semua agama adalah benar dan betul amat bercanggah dengan aqidah Islam. Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa agama yang benar di sisi Allah hanya satu iaitu Islam. Firman Allah, maksudnya: "Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam". (Ali Imran: 19)

Firman Allah, maksudnya: "Dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi". (Ali Imran: 85) - HARAKAHDAILY 8/2/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan Timbalan Pengerusi Lujnah Dakwah Pusat.

Share on Myspace