Langkah segera MB Kelantan semasa dan pasca banjir

MOHD ASRI MAT DAUD | .

BANJIR di Negeri Kelantan yang meninggalkan kesan menyayat hati bermula sejak pertengahan bulan disember 2014 telah di ambil perhatian yang segera oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan. Bermula 15 hingga 17 Disember 2014 hujan telah turun tanpa berhenti dalam kadar biasa sehingga mengakibatkan berlaku banjir pada 18 Disember. Air mulai surut pada 19 hingga 20 Disember dan hujan kemudiannya turun dengan lebat sehingga Jabatan Meteorologi meramalkan hujan peringkat jingga dan merah pada tarikh 21 hingga 24 Disember. Ternyata pada 22 Disember air semakin naik di Kuala Krai dan Bandar Gua Musang lama telah tenggelam.

Kerajaan Negeri melalui GLC (Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesihatan (UPWKK), Tabung Amanah Tok Kenali (TATOK), Jabatan Amal Negeri, Majlis Sukarelawan Rakyat (MESRA) dan Nisa) telah menggerakkan bantuan seawal 18 Disember 2014 ke seluruh jajahan terjejas iaitu di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Tumpat pada masa itu.

Bantuan tersebut berterusan dan Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pengkalan Hadapan Khairat Banjir dan dua Pengkalan Hadapan Khairat utama pada masa itu ialah di bangunan PKINK (kemudian berpindah ke Kelantan Trade Center (KTC) dan bangunan Majari akibat banjir) dan di Syabab Point (berpindah ke Wisma Imam di Pasir Tumboh setelah Syabab Point juga dinaiki air). Pada 25 Disember 2014 Kerajaan telah membuka sebuah lagi Pangkalan Hadapan Khairat di Tunjong dan penyelarasan bantuan di buat oleh pasukan bomba dan tentera untuk disalurkan bantuan ke pusat-pusat pemindahan.

YAB Menteri Besar Kelantan telah mengambil langkah segera semasa awal banjir berlaku dengan turun ke pusat-pusat pemindahan dengan menghantar bantuan segera dan sememangnya YAB Ustaz Datuk sendiri tidak menang tangan turun ke Dun beliau dan kawasan-kawasan lain sejak dari berlaku banjir pada 18 Disember lagi sehingga beliau lebih banyak masanya bersama rakyat di pusat pemindahan. Aktiviti beliau boleh dilihat dilaman facebook rasmi beliau: https://www.facebook.com/DatukAhmadYakob

Tarikh 21 Disember sehingga 27 Disember 2014 adalah tarikh air naik secara mendadak dengan membawa arus deras. YAB Menteri Besar Kelantan telah membuat pengumuman dan beberapa arahan melalui dua belas kenyataan media beliau, lima kenyataan semasa banjir dan tujuh kenyataan pasca banjir. Beberapa kesegeraan beliau melalui kenyataan media tersebut ialah:-

Kenyataan Media Pada 23 Disember 2014 (Selasa):

-YAB Menteri Besar Kelantan mengarah Jabatan-Jabatan Negeri dan Persekutuan untuk turun membantu mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan.

-Mengeluarkan arahan rasmi agar solat hajat dan munajat diadakan di seluruh masjid-masjid Negeri Kelantan bagi memohon keselamatan akibat banjir.

Kenyataan Media Pada 24 Disember 2014 (Rabu):

-YAB Menteri Besar Kelantan mengarahkan agar bekalan makanan yang mencukupi dihantar kesemua pusat-pusat pemindahan dan pengkalan hadapan khairat.

-Menggerakkan 40 buah dapur rakyat bagi membekalkan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan dan mereka yang masih belum berpindah.

-Arahan segera dikeluarkan pada tarikh tersebut agar penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai dan kawasan tanah rendah dipindahkan sebelum maghrib kerana air didapati naik secara mendadak.

Kenyataan Media Pada 26 Disember 2014 (Jumaat):

-YAB Menteri Besar Kelantan mendengar taklimat banjir bersama YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang disampaikan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara bagi beberapa tindakan segera.

-Meninjau dengan pengangkutan udara keadaan banjir di beberapa tempat dan bergegas balik ke Dun beliau sendiri bagi membantu mangsa banjir yang terperangkap kerana air naik dengan cepat dengan itu beliau meminta YB Timbalan Menteri Besar agar mewakili beliau menyambut YAB Menteri Besar Selangor yang berkunjung ke Kelantan dengan membawa sumbangan berjumlah RM1 juta.

Kenyataan Media Pada 27 Disember 2014 (Sabtu):

YAB Menteri Besar Kelantan telah mengeluarkan kenyataan secara rasmi bahawa tarikh 28 disember 2014 adalah hari cuti peristiwa di Negeri Kelantan.

YAB Menteri Besar Kelantan meminta agar diselaraskan bekalan yang dihantar melalui kenderaan darat kerana banyak yang terhalang akibat air sudah melimpah ke beberapa jalan utama dan bantuan terpaksa dihantar dengan pengangkutan udara.

YAB Menteri Besar Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa Sidang Dun Khas pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2014 ditangguhkan bagi memberi keutamaan kepada operasi menyelamat serta menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Kenyataan Media Pada 29 Disember 2014 (Isnin-air mulai surut): YAB Menteri Besar Kelantan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir bagi menyelaras semua gerak kerja serta mengistiharkan sebuah tabung bagi membantu mangsa banjir ditubuhkan iaitu Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan.

Kenyataan Media Pada 31 Disember 2014 (Rabu):

- YAB Menteri Besar Kelantan ke Kuala Krai meninjau dan membawa bantuan segera ke Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Guchil, Sungai Durian dan Kampung Bukit Kajang serta mendapat taklimat terperinci daripada Panglima 8 Briged, Janeral Datuk Azmy Yahya.

- YAB Menteri Besar Kelantan telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mangsa banjir di Kelantan.

Kenyataan Media Pada 3 Januari 2015 (Sabtu): YAB Menteri Besar Kelantan menyangkal tuduhan bahawa pembalakan di Kelantan yang tidak terurus menyebabkan banjir besar yang berlaku dan menyeru semua pihak agar sepakat membantu mangsa banjir tanpa mencemaskan suasana.

Kenyataan Media Pada 5 Januari 2015 (Isnin): YAB Menteri Besar Kelantan telah mengumumkan inisiatif dan langkah segera kerajaan pasca banjir dengan:

»Mencari penempatan sementara dan menyediakan rumah transit untuk mangsa banjir yang rumah mereka musnah seratus peratus (total loss).

»Meluluskan bantuan segera sebanyak RM50 ribu kepada semua PBT bagi mengambil tanggungjawab pembersihan segera di lokasi yang dilanda banjir.

»Meluluskan RM 50 ribu bagi bantuan persekolahan untuk disalurkan kepada mangsa banjir melalui YAKIN dibawah bantuan kemiskinan dan persekolahan.

Kenyataan Media Pada 6 Januari 2015 (Selasa): YAB Menteri Besar Kelantan menafikan tuduhan yang menyatakan Kerajaan Kelantan tidak memerlukan bantuan NGO luar dan beliau merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang membantu mangsa banjir Kelantan dan mengalu-alukan bantuan mereka.

Kenyataan Media Pada 7 Januari 2015 (Rabu): YAB Menteri Besar Kelantan mengalu-alukan anak-anak Kelantan yang memasuki persekolahan sesi baharu setelah terpaksa ditunda sesi persekolahan ekoran banjir dan memberi semangat agar bersabar serta jangan berputus asa atas musibah banjir yang menyebabkan banyak kemusnahan harta benda.

Kenyataan Media Pada 21 Januari 2015 (Rabu): YAB Menteri Besar Kelantan mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan membina dalam kadar segera rumah kekal secara percuma sebanyak 600 unit kepada mangsa banjir yang kediaman mereka musnah keseluruhannya.

Dua belas kenyataan media beliau dalam tempoh dua minggu semasa banjir dan beberapa hari pasca banjir sebagaimana dinyatakan di atas yang mengandungi arahan serta pengumuman segera adalah langkah-langkah kesegeraan YAB Menteri Besar Kelantan dalam menangani situasi banjir yang mencemaskan baru-baru ini.

Kenyataan media dan arahan segera yang hampir setiap hari ini adalah tindakan cepat dan berhikmah beliau dalam mengurus situasi banjir yang tragis. Beliau telah menjalankan amanah dan gerak kerja dengan sebaiknya dengan mengenepikan semua ungkapan negatif yang tidak bertanggungjawab ditujukan kepada beliau semasa banjir berlaku. - HARAKAHDAILY 8/2/2015

Penulis ialah Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.

Share on Myspace