Penuhi tanggung jawab kepimpinan, kukuhkan Pakatan

USTAZ AHMAD AWANG | .

SAYA mengikuti dengan penuh kehairanan dan kebimbangan, perkembangan mutakhir hubungan antara anggota parti-parti Pakatan Rakyat (PR). Kelihatan seolah-olah perbalahan di antara ketiga-tiga parti lebih diutamakan pemimpin-pemimpin tertentu berbanding dengan berbalah dengan Umno/BN!

Sedangkan Umno/BN adalah musuh bersama (common enemy). Untuk menghadapi mereka, Pakatan Rakyat dibentuk.

Saya tidak tahu sama ada perbalahan bersama ini ditimbulkan atas sebab adanya agenda tertentu mereka yang berbalah, atau atas sebab mereka menganggap, perbalahan adalah cara terbaik untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Sekiranya mereka berbalah dengan penuh kesedaran bahawa perbalahan ini akan merosakkan PR, maka saya anggap mereka telah gagal memenuhi tugasan mereka sebagai pemimpin yang bijak dan berhemah.

kukuhkan Pakatan Rakyat

Sebagai pemimpin, tanggung jawab dan kewajipan utama kita - dalam suasana politik semasa - adalah untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana usaha membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman Umno/BN akan hanya mampu dilaksanakan melalui Pakatan Rakyat. Buat masa ini PR adalah entiti gabungan politik yang mampu mencabar Umno/BN.

Kekuatan PR tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak dan ianya diakui Umno/BN sendiri. Dan membawa perubahan pemerintahan adalah bukan sekadar harapan dan kehendak tetapi ianya merupakan keperluan rakyat yang amat mendesak.

Saya menyeru kepada semua pemimpin PR untuk menumpu kepada usaha mengukuhkan PR dan melalui itu menjadi pembela nasib rakyat. Rakyat sentiasa dilaga-lagakan oleh Umno/BN melalui fahaman perkauman mereka sehingga rakyat sentiasa dihantui oleh ancaman perbalahan kaum dan ketidakamanan.

Pada tahun 1999 apabila majoriti orang Melayu inginkan perubahan, Umno/BN tanamkan ketakutan di kalangan bukan Melayu dan kekal berkuasa melalui sokongan majoriti bukan Melayu. Pada 2008 dan 2013, apabila yang bukan Melayu pula inginkan perubahan, Umno/BN pula menakut-nautkan orang Melayu sehingga melalui perasaan ketakutan ini, Umno/BN sekali lagi mengekalkan kekuasaan. Ini merupakan bukti bahawa soal kaum hanya merupakan alat dalam percaturan politik Umno/BN.

Kebebasan dari cengkaman Umno/BN akan membebaskan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang beragama Islam, dari minda 'assobiyyah kaumiyyah' yang ditolak Rasulullah s.a.w..

Inilah sebabnya PAS selama ini mahu menjatuhkan Umno/BN. Supaya politik orang Islam tidak lagi berasaskan politik Melayu yang memperalatkan Islam tetapi sebaliknya berasaskan politik Islam yang membela nasib Melayu dan seluruh kaum di negara kita!

Oleh itu, amatlah pelik sekiranya ada yang menganggap PR tidak menguntungkan PAS dan perjuangan politik Islam. Sebaliknya saya beranggapan bahawa demi menyemarakkan kefahaman politik Islam di kalangan umat Islam, maka PAS adalah pihak yang paling beruntung dengan kekalahan Umno/BN.

membebaskan rakyat dari cengkaman BN

Pada masa yang sama, pembebasan dari cengkaman Umno/BN akan juga bermakna segala kerosakan yang menimpa negara dari sudut politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan segala-gala sektor yang lain akan akhirnya dapat dibanteras dan diatasi. Ianya tidak dapat diatasi selagi mana Umno/BN memerintah kerana mereka melaksanakan dasar-dasar yan membawa kerosakan ini.

Maka saya menyeru kepada pemimpin PR dan pemimpin PAS khususnya, untuk mengutamakan penyelesaian masalah rakyat dengan menggandakan usaha mengukuhkan PR. Rakyat bakal ditimpa kos kehidupan yang semakin mencengkam dengan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Mereka akan terus kehilangan berbilion-bilion ringgit melalui dasar-dasar kronisme dan rasuah amalan Umno/BN sehingga ekonomi yang sepatutnya memecut pantas membangun ditimpa bebanan yang menyebabkan ianya hanya mampu berjalan terhingguk-hingguk.

Rakyat akan ditimpa sistem perundangan yang semakin mencekik kebebasan dan hak melalui penggunaan sewenang-wenangnya akta hasutan dan akta antikeganasan. Sambil campur tangan eksekutif dalam urusan kehakiman menjadi semakin ketara hingga Malaysia dijadikan bahan lawak dunia!

Rakyat tidak mahu melihat harapan mereka untuk perubahan ini berkecai dan mereka tidak akan memaafkan kita yang diamanahkan sebagai pemimpin sekiranya tindak tanduk kita merupakan sebab utama PR berpecah atau hilang keyakinan rakyat.

Mereka semakin bosan dengan perbalahan dan percanggahan antara pemimpin parti-parti PR yang seolah-olah tidak lagi mengutamakan penyelesaian masalah rakyat. Sebaliknya hanya sanggup mengutamakan perbalahan dan percanggahan demi politik jangka masa pendek.

Ini yang paling menyeronokkan Umno/BN dan tidak hairanlah bagaimana Umno/BN masuk campur dan berperanan untuk melaga-lagakan kita satu sama lain.

fahami awlawiyyat

PAS sepatutnya menjadi parti yang memahami awlawiyyat atau keutamaan politik dan menzahirkannya kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat. PAS sepatutnya menjadi rakan yang pertama mengenepikan perbalahan dan sengketa sampingan demi mengutamakan persoalan yang perlu diutamakan.

Zahirkan kebijaksanaan politik Islam supaya terus membina kekuatan pengaruh dalam PR dan di kalangan rakyat seperti mana dilakukan selama ini sejak dekad 1990-an! Melalui kebijaksanaan mengenali awlawiyyat atau keutamaan ini, PAS telah berjaya berada di arus perdana politik Malaysia dan tidak lagi berperanan hanya di kawasan Pantai Timur semata-mata.

Pada masa yang sama, saya ingin menyeru pemimpin PAS untuk membina kembali kesatuan dan semangat ukhuwwah dan persaudaraan di dalam PAS itu sendiri. Tidakkah pemimpin menyedari bagaimana perbalahan dalaman PAS semakin meruncing sehingga menghasilkan suasana berpuak-puak dan saling benci membenci sesama ahli?

Perbalahan dalaman PAS ini akan melemahkan PAS dan apabila PAS lemah maka PR akan turut terjejas. Apabila PR terjejas maka rakyat akan merasai bahawa PAS adalah punca mereka gagal diselamatkan daripada penindasan dan penganiayaan Umno/BN.

Pada masa yang sama kelebihan Islam yang mengutamakan ukhuwwah sesama Islam tidak mampu dizahirkan oleh PAS. PAS seolah-olah telah menjadi parti yang memperjuang ‘Islam dan syariatnya’ tetapi tanpa adanya akhlak yang mulia di kalangan ahli-ahlinya.

Amalan ‘adabul ikhtilaf’ serta ‘berlemah-lembut dan kasih sayang’ antara orang-orang yang beriman akan hanya menjadi ungkapan kosong yang tidak mampu dihayati. ‘Islam tanpa akhlak’ sebegini tidak akan mampu memikat hati manusia dan sebaliknya akan menjadi penghalang kepada manusia lain mengenali kebenaran Islam.

Saya harap pemimpin PAS akan bertindak segera membetulkan suasana ini dan mengembalikan akhlak jemaah Islam seperti mana yang pernah wujud dulu. Keadaan ini adalah hasil dari kemasukan budaya asing yang meresapi masuk selepas 2008. Pengaruh perosak ini perlu dibendung oleh pemimpin PAS supaya PAS boleh terus maju mengikut perancangan seperti mana ditetapkan oleh pemimpin terdahulu, khususnya Almarhum Ustaz Yusuf Rawa dan Almarhum Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Matlamat dan wawasan mereka untuk menjadikan PAS sebuah jemaah Islam yang kukuh, bersatu padu dan berperanan di tengah-tengah masyarakat membela seluruh rakyat perlu sentiasa diusahakan.

Hanya dengan itu akan pengaruh PAS bertambah kukuh dan PAS menjadi parti yang dihormati dan disegani. Kehormatan dan kedudukan mulia di mata masyarakat perlu diusahakan, diperjuangkan, bukan dituntut.

Saya dengan ini menyeru pemimpin PAS untuk memenuhi kewajipan mereka terhadap PAS dan masyarakat jelata dengan penuh keikhlasan dan bertanggung jawab. Saya juga menyeru semua pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya pemimpin PAS, untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membina kembali kesatuan dan kekuatan PR demi membela keadilan dan kepentingan rakyat. - HARAKAHDAILY, 10/2/2015

-------------
Penulis ialah mantan Naib Presiden PAS, mantan Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan bekas Pesuruhjaya PAS Perak.

Share on Myspace