Belasungkawa mengenang Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

| .

SEWAKTU menulis catatan ringkas ini, saya tidak mampu menahan air mata kesedihan mengenangkan berpulangnya ke rahmatullah Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Apatah lagi saya tidak berkesempatan untuk bertemu TG Nik Aziz buat kali terakhir memandangkan komitmen tugas yang tidak dapat dielakkan.

Masih bugar dalam ingatan saya pada malam 20 Oktober 1990 sewaktu saya masih belajar di Darjah 4, saya berjaga semalaman bersama ayah dan abang saya mengikuti keputusan Pilihan Raya Umum 1990 yang menyaksikan PAS Kelantan di bawah pimpinan TG Nik Aziz yang bergabung di bawah Angkatan Perpaduan Ummah dengan Parti Semangat 46, HAMIM dan BERJASA, telah menyapu bersih kesemua kerusi di peringkat DUN dan Parlimen di Kelantan.

Anekdot ini yang terakam kemas hingga ke hari ini membawa kesan mendalam kerana bermula dari sinilah saya mengikuti rapat perjalanan panjang TG Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan di tengah-tengah keraguan yang ditimbulkan media dan lawan politik PAS terhadap kemampuan TG Nik Aziz seorang tok guru kampung untuk menjadi pentadbir sebuah negeri.

Meskipun saya lahir dari keluarga Umno dan ayah saya sendiri adalah pemimpin Umno tempatan, tetapi ayah saban minggu membawa balik akhbar Harakah ke rumah kami dan seawal darjah satu saya sudah mengenali sosok TG Nik Aziz selaku tokoh politik PAS pada ketika itu sebaris dengan Allahyarham Ustaz Dato Fadzil Noor dan Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang.

Kemenangan PAS menguasai Kelantan pada 1990 telah mencetuskan kegemparan politik di Malaysia dan rantau ini dan melihat betapa slogan dan retorika gelombang kebangkitan Islam sebagai Deen Wa Daulah di seluruh dunia yang bermula sejak tahun 1970-an berdepan dengan cabaran sebenar untuk dinilai dari aspek praktikal dan pengisian.

Sesungguhnya kemenangan gemilang PAS di Kelantan pada 1990 di pentas demokrasi mendahului gerakan gerakan-gerakan Islam lain di dunia dan menjadi perintis kepada kepada kejayaan-kejayaan berikutnya oleh gerakan FIS di Algeria, Refah dan AKP di Turki, PJD di Morocco, Ikhwan Muslimin di Mesir, An Nahdah di Tunisia dan lain-lain gerakan.

TG Nik Aziz seterusnya mengetuai PAS Kelantan memenangi pilihan Raya sebanyak 6 kali berturut-turut, suatu rekod yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana pemimpin politik Malaysia dari luar Barisan Nasional.

Bagi saya sumbangan dan legasi terbesar Allahyarham TG Nik Abdul Aziz ialah usaha menterjemahkan prinsip dan ajaran Islam di dalam konteks bernegara moden. Seawal pemerintahan beliau pada 1990, beliau berusaha melakukan reformasi pentadbiran dan memperkenalkan dasar dan inisiatif pro kebajikan rakyat bagi memperlihatkan keadilan dan rahmat ajaran islam kepada manusia melangkaui teriakan slogan semata-mata .

Inisiatif-inisiatif Kerajaan Kelantan di bawah TG Nik Aziz seperti peghapusan faedah bagi pinjaman kakitangan kerajaan, cuti bersalin 60 hari, pemindahan akaun kerajaan negeri ke Bank Islam, pembinaan Rumah Dua'fak utk faqir miskin, skim takaful kifaalaah dan pelbagai lagi perkara yang beliau perkenalkan yang akhirnya banyak diikuti oleh negeri-negeri lain walaupun di peringkat awal perkara-perkara ini dicemuh dan dipertikaikan. Di sebalik pelbagai tekanan dan cabaran yang dihadapi Kerajaan Kelantan di bawah teraju beliau, TG Nik Aziz berjaya mentadbir Kelantan selama lebih 20 tahun hingga Kelantan muncul sebagai sebuah negeri yang membangun dan kompetitif.

Dan yang lebih penting sudah tentulah komitmen tanpa henti beliau dalam usaha menegakkan perlaksanaan undang-undang syariah. Tidak sampai dua tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru Nik Aziz telah membentangkan rang undang-undang Enakmen Hudud di DUN Kelantan pada pada 1992 sebagai langkah pertama ke arah melaksanakan undang-undang jenayah Islam di Kelantan.

Lama sebelum dikenali sebagai ahli politik, TG Nik Aziz lebih dahulu muncul sebagai seorang ulamak dan tok guru pada tahun 1960-an sebaik beliau balik dari mendalami pengajian di India, Pakistan dan Mesir. Keunikan TG Nik Aziz ialah beliau muncul sebagai figura agama di Mesir yang memiliki pembawaan dan aliran yang berbeza dengan rata-rata majoriti tok-tok guru dan ulamak-ulamak pondok di Kelantan pada ketika itu memandangkan TG Nik Aziz dilihat beraliran progresif ala salafi sesuai dengan latar belakang pengajian madrasah ahl hadis yang beliau lalui terutama sewaktu berada di India. Meskipun timbul prasangka di peringkat awal, namun akhirnya TG Nik Aziz muncul sebagai tokoh yang dihormati oleh kesemua ulamak-ulamak besar Kelantan yang sezaman dengannya.

Dari segi politik, di sebalik perawakan dan penampilannya sebagai seorang ulamak dan tok guru, TG Nik Aziz jelas adalah seorang sosok ahli politik yang moderate, terbuka dan berpandangan jauh. Selaku Ketua Dewan Ulamak PAS, Pesuruhjaya PAS Kelantan dan seterusnya selaku Mursyidul Am PAS selama lebih 20 tahun, TG Nik Aziz adalah kuasa utama di sebalik percaturan politik PAS dalam gelanggang Malaysia yang multiracial yang memerlukan kepada PAS untuk menjangkau sokongan melewati batas agama, bangsa dan geografi. Ini terbukti dengan usaha PAS mengujudkan jaringan kerjasama dengan CCC dan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dengan masyarakat Cina dan parti-parti pelbagai ideologi menjelang Pilihanraya Umum 1996, kerjasama di dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) di dalam Pilihanraya 1990 dan 1995, kerjasama di dalam Barisal Alternatif di dalam Pilihanraya 1999, 2004 dan 2008, dan seterusnya kerjasama politik di dalam Pakatan Rakyat sejurus selepas Pilihanraya Umum 2008 dan membawa kepada kejayaan di dalam Pilihanraya Umum 2013. Begitu juga dengan keterlibatan dan hubungan PAS dengan gerakan-gerakan NGO seperti di dalam BERSIH dan PPSMI.

Tidak dinafikan TG Nik Aziz adalah watak penting di sebalik setiap kerjasama ini dan mempertahankannya hingga ke akhir hayatnya hingga beliau mendapat penghormatan tidak berbelah bagi dari tokoh-tokoh pembangkang yang lain seperti Dato Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Dr Syed Hussin Ali dan Mendiang Karpal Singh.

Tok Guru Nik Aziz juga meletakkan suatu standard integriti, kezuhudan dan etika kepimpinan yang sangat tinggi dan hampir mustahil untuk dicontoh oleh mana-mana pemimpin politik di zaman ini. Beliau memilih tinggal di rumah beliau di kampung, tidak bermewah dalam apa jua aspek dan menginfakkan peratusan yang tinggi dari gaji dan elaun beliau untuk kebajikan negeri dan urusan perjuangan parti. Beliau tidak mengambil kesempatan sebagai MB untuk memperkayakan anak isteri dan kroni, jauh sekali terjebak dengan rasuah dan korupsi.

Kesederhanaan hidup beliau sebagai pemimpin tergambar sejak dari sebelum beliau menjadi MB hinggalah ke saat-saat terakhir kehidupan beliau. Di mata TG Nik Aziz, garis pemisah di antara urusan kerajaan, urusan parti dan urusan peribadi sangatlah jelas dan terang. Saya tidak pernah mendengar sebarang episod di mana TG Nik Azir melanggar garis-garis tersebut. Sebab itu tidak keterlaluan apabila Dr Maszlee Malik (UIAM) menyatakan di dalam temubual mengenang TG Nik Aziz di Astro Awani pagi tadi bahawa TG Nik Aziz adalah 'jelmaan' Khalifah Umar Abdul Aziz di zaman moden. Subhanallah!

Inilah dia TG Nik Aziz, figura yang seakan tiada gantinya. Kini TG Nik Aziz sudah tiada. Tetapi dia meninggalkan kepada kita generasi muda dan aktivis gerakan Islam suatu legasi dan suri tauladan untuk sama-sama kita pelajari, hayati dan amalkan dalam kita mengharungi perjuangan yang berat ini. Damailah engkau wahai di sana wahai murabbi, tuan guru dan pemimpin ummat. Moga kita ketemu lagi di alam firdausi.

Mewakili seluruh warga Alumni IPU UKM/JASA, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga YB Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Al Fatihah. - HARAKAHDAILY 13/2/2015

(Penulis ialah Presiden Alumni IPU/Jasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 

Share on Myspace