Moga ceria pada Tahun Baru Cina

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

TERLEBIH dahulu kepada mereka yang meraikan Tahun Baru Cina di Parlimen Kuala Nerus khususnya dan di seluruh negara umumnya saya ucapkan:

新年快乐
Xin Nian Kuai Le

恭喜发财
Gong Xi Fa Cai

Wishing you a prosperous year, 'goat' health and happiness for you and family.

Dengan kemeriahan ‘Reunion Dinner’, gantungan lampu merah, bunyi mercun, nyalaan bunga api dan angpau merah, diharapkan Tahun Baru Cina yang disambut pada tahun ini menjadi detik-detik terindah buat anda semua bersama ahli-ahli keluarga beberapa generasi yang berhimpun untuk meraikannya.

Keluarga adalah antara nikmat yang perlu dihargai dan dinikmati kerana ia adalah antara asas kepada kebahagiaan dan kegembiraan hidup. Hargailah ia sementara masih ada.

Semangat hubungan kekeluargaan ini perlu dikembangkan merentas kaum dan bangsa supaya dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat dalam kalangan kita. Sikap bersopan-santun, bersimpati, baik hati dan keadilan yang dikaitkan dengan Tahun Kambing Kayu dalam Kalendar Cina perlu menjadi teras pembinaan interaksi antara kaum di negara ini. Ia juga selaras dengan ajaran Islam seperti yang dianjurkan oleh Allah SWT berikut :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
(Surah al-Hujuraat : 13)

Perpaduan yang kita bentuk ini adalah sangat penting untuk berhadapan dengan pelbagai ancaman pemikiran sempit perkauman yang ditiupkan oleh setengah pihak dan juga berhadapan dengan kecelaruan pengurusan kewangan negara sehingga mengakibatkan ketidaktentuan dalam prestasi ekonomi negara.

Saya percaya, peringatan supaya berhati-hati dengan krisis kewangan semasa Tahun Kambing Kayu, akan menjadikan seluruh kaum Tiong Hwa sentiasa bersama dengan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara berkebajikan, aman, makmur dan sejahtera. - HARAKAHDAILY 18/2/2015

Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus

Share on Myspace