Dua budi Tok Guru kepada rakyat Malaysia

MAJDAN DAGANG | .

TUAN Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggalkan kita untuk kembali kepada penciptanya. Saya antara yang bertuah sebab sempat bertemunya ketika hidupnya. Ada orang yang dapat mendampingi setiap masa, ada sekali seumur hidup. Saya termasuk dalam kategori yang kedua itu, macam juga Siti Nurhaliza yang pernah sekali berjumpa Tuan Guru.

Saya bertemu Tuan Guru di Masjid Pulau Melaka. Naik satu kereta dengan bos dan Datuk Tamrin Ghafar. Ketika itu Almarhum baru sahaja melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Datuk Ahmad Yaakob. Itulah yang pertama dan terakhir. Sebelumnya hanya melihat dan membaca kisahnya dalam media sahaja.

Kalau diikutkan banyak perkara dan jasa yang mahu dinukilkan tentang Tuan Guru terutama perjuangan menegakkan Islam dan membetulkan salah faham orang Melayu dan bukan Melayu tentang Islam, tetapi ada dua perkara yang saya ingin sebut di sini supaya anak cucu saya tahu tentangnya.

Yang pertama tentang cuti dua hari seminggu dan keduanya cuti bersalin 60 hari.

Sejak saya lahir hampir setengah abad yang lalu, setahu saya orang yang kerja pejabat bekerja dari hari Isnin hingga Sabtu. Sesetengah negeri hari hujung minggunya berbeza dengan negeri kelahiran saya. Tetapi hari Sabtu kerja setengah hari dan hari Ahad hari cuti hujung minggu – macam dialog P Ramlee dalam filem Ali Baba Bujang Lapok – “...ini hari hari Sabtu setengah hari, esok hari minggu (Ahad), holiday....”.

Pada tahun 1982, Tun Mahathir melancarkan Dasar Pandang ke Timur dan pada tahun 1991 Wawasan 2020 diperkenalkan. Kedua-dua dasar ini mahukan rakyat negara ini maju dan perlu bekerja kuat macam orang Jepun jika mahu maju dan setaraf dengan negara maju yang lain.

Dalam PRU ke-8 pada tahun 1990, Kelantan kembali dikuasai oleh PAS dan kali ini golongan ulama menjadi pencetus kejayaan. Ditakdirkan Tuan Guru Nik Aziz menjadi MB daripada PAS di Kelantan.

Selepas menang, Tuan Guru membuat beberapa perubahan termasuk menukar hari bekerja kepada lima hari seminggu sahaja, yakni Ahad hingga Khamis. Hari Jumaat ialah hari beribadat dan mencari ilmu sementara hari Sabtu menjadi hari bersama keluarga. Cuti bersalin juga ditambah menjadi 60 hari berbanding sebelumnya hanya 42 hari dengan gaji penuh.

Maka riuhlah satu Malaysia mengkritik tindakan kerajaan Kelantan itu. Kalau dikumpulkan cemuhan, sindiran dan kritikan mungkin boleh dibuat buku yang tebal. Antara yang mengkritik dan mencemuh itu termasuklah mereka yang kini sudah tidak ada lagi dalam Umno-BN pada hari ini. Mereka dah buat parti baru dan lawan Umno-BN balik.

Mereka kata, Tuan Guru tidak tahu ekonomi, tidak tahu mentadbir dan macam-macam lagi. Kalau buat macam itu nanti macam mana mahu maju macam orang Jepun! Bagaimana wawasan 2020 boleh dicapai. Setakat mengajar di masjid dan surau bolehlah, mana pandai perintah negeri. Kerja ulama hanya tukang bagi nasihat. Pendek kata semuanya buruk belaka.

Segala macam media digunakan untuk mengkritik tindakan itu. Berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun.

Kemudian, apabila PAS menang di Terengganu dalam PRU ke-10 pada tahun 1999, dasar ini turut digunakan pakai, namun kritikan dan cemuhan tidak lagi seteruk kita mula-mula dilaksanakan di Kelantan.

Dalam PRU ke-11 Umno-BN merampas kembali Terengganu daripada PAS tetapi cuti dua hari seminggu dan cuti bersalin dikekalkan.

Akhirnya, pada 2005 Kerajaan Persekutuan melaksanakan cuti dua hari seminggu di seluruh Malaysia, selepas hampir 15 tahun dilaksanakan oleh Tuan Guru di Kelantan.

Benar, apa salahnya tiru perkara yang baik. Tetapi setelah bergantang-gantang cemuhan dan kecaman dilemparkan, Umno-BN terpaksa tunduk. Untuk menutup supaya tidak dikatakan meniru “orang tua” yang tidak tahu ekonomi dan tidak tahu memerintah itu, maka kajian mereka mendapati bahawa salah satu kebaikan cuti ini ialah meningkatkan pelancongan domestik.

Begitulah, budi Tuan Guru terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya. Yang menyokong atau yang mencemuh – semuanya dapat manfaat. Biarpun hanya ada kuasa di Kelantan, tetapi rahmatnya untuk satu Malaysia. Jika Tuan Guru tidak memulakannya dahulu mungkin hari ini kita masih lagi bekerja separuh hari pada hari Sabtu dan cuti bersalin hanya 42 hari.

Hari ini, Tuan Guru telah pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya, namun budi dan legasinya kekal dinikmati oleh sekalian rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 18/2/2015

Share on Myspace