Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulamak

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

Firman Allah SWT, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan dengan berkata: "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang benar, akan turunlah malaikat kepada mereka seraya berkata "Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat: 30)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakan kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah SWT diatas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita semua dalam memperjuangkan agama-Nya di atas muka bumi ini. Sempena Multaqa Ulama Se-Malaysia yang di anjurkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada tahun ini, saya mengajak seluruh hadirin dan hadirat untuk mengingati kembali penglibatan awal kita ke dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS. Jadikanlah intima kita dalam PAS adalah semata-mata untuk mardhatillah dan buka selainnya.

Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulamak dipilih sebagai tema kepada Multaqa Ulama Se-Malaysia kali ini adalah sebagai menyahut seruan Presiden PAS yang terkandung dalam ucapan dasar beliau Terus Beristiqamah. Tuntutan beristiqamah ini amat bersesuaian dan tepat memandangkan cabaran dan tribulasi perjuangan PAS pada hari ini semakin mencabar dari luar dan dalam. Hanya mereka yang istiqamah mampu menghadapinya dengan tenang. Berapa ramai pejuang terdahulu dalam PAS yang telah meninggalkan kita dan mereka berjuang dengan penuh istiqamah dan kita pada hari ini ditegaskan agar terus beristiqamah diatas dasar perjuangan yang telah ditetapkan.

Baharu 10 hari lepas kita dikejutkan dengan pemergian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sememangnya kita amat memerlukan beliau dalam mengharungi mehnah perjuangan ini, namun Allah terlebih sayangkan kepada beliau. Kita telah kehilangan sosok pejuang dan murabbi ummah yang agung dalam PAS. Beliau telah istiqamah sehingga ke akhir hayat perjuangan dan Allah telah anugerahkan husnul khatimah yang semua mata menyaksikannya. Sama-sama kita berdoa semoga Allahyarham Tok Guru ditempatkan di Syurga Firdaus yang paling tinggi, insya-Allah.

اللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَدْخِلْهُ الجَنَّةَ يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ

Tuntutan beristiqamah ini adalah suatu yang utama dan ia adalah sahutan kepada seruan Nabi SAW setelah kita beriman kepada Allah SWT. Dinyatakan dalam sebuah hadis:
عَنْ سُفْيَانِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قال: قُلْتُ یَا رَسُولَ الله قُلْ لِّيْ فِي الإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ قال : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
Daripada Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah, Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (Riwayat Muslim)

Kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma Ulama dan Qiyas. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, sama ada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini.

Perjuangan suci demi mendaulatkan agama Allah adalah sebuah perjuangan yang tidak bermusim dan tidak juga bertepi. Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu dan persoalan semasa sebagai landasan utama untuk kita berjuang akan tetapi persoalan aqidah adalah teras dan dasar perjuangan PAS.

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya. Dasar dan pegangan PAS tidak lain adalah memperjuangkan lslam. Dasar ini tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang. PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 ini mempunyai matlamatnya yang telah jelas iaitu:

i. Menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan serta berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah.

ii. Bercita-cita melaksanakan hukum Allah di dalam pemerintahan dan seterusnya mendirikan Daulah Islamiah.

Dalam perlembagaan PAS sudah dinyatakan hal ini, iaitu dibawah tajuk Tujuan PAS dalam FASAL 5 ceraian 1 berbunyi: memperjuangkan wujudnya dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Sementara dalam FASAL 6 ceraian 2 nas yang berbunyi: memperjuangkan islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

Dengan tujuan itulah, kita telah bersepakat untuk menegakkan hukum Allah supaya ia tertegak dalam Negara kita. Apabila Negeri Kelantan ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang telah sekian lama diluluskan di Dewan Undangan Negeri, maka ini adalah agenda utama PAS untuk memberi sokongan yang padu terhadap usaha menegakkan perundangan Allah yang sudah termaktub dalam perlembagaan PAS ini.

Baru-baru ini, rakyat berhadapan dengan keputusan kes liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penghakiman tersebut tidak berlaku berlandaskan prinsip keterangan undang-undang jenayah Islam. Maka sudah sampai masa rakyat dan Negara kita kembali kepada prinsip perundangan Islam dan kaedah keterangan undang-undang jenayah Islam. Keadaan ini menguatkan lagi betapa pentingnya Kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan patut disokong oleh semua pihak termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Tuntutan kita dalam PAS pada hari ini ialah membina kekuatan diperingkat anggota parti dan kita pasti tidak dapat bertahan dalam berhadapan dengan gelombang dan arus yang mencabar sekiranya kesatuan amal dan kesatuan fikrah (wahdatul fikri wa wahdatul amal) tidak wujud di kalangan ahli-ahli peringkat bawahan dan pimpinan yang mengemudi bahtera ini. Oleh yang demikian, perkara ketaatan kepada pimpinan merupakan suatu yang utama untuk diberi perhatian dalam PAS. Dalam soal ketaatan ini Allah telah menyatakan dalam firmanNya:

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum di antara mereka ialah ucapan, “kami mendengar, dan kami patuh”, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Surah Al-Nur ayat 51)

Sementara dinyatakan dalam sabdaan Nabi SAW:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan kepada setiap muslim dalam perkara yang dia suka atau tidak, selagi dia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat (Riwayat Muslim)

Hadis ini menekankan ketaatan kepada pemimpin selagimana tidak disuruh melakukan maksiat. Oleh itu keputusan pemimpin dalam situasi dimana pemimpin atau Presiden kita melaksanakan hak prerogatifnya perlulah diterima dan janganlah mudah menyalahkan Presiden sekiranya seseorang individu itu tidak berpuashati. Kita dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furu (cabang), tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, maka tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan tersebut, walaupun mungkin bertentangan dengan pendapat sendiri.

Ketokohan YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS dalam hubungan luar dan rangkaian kerja gerakan Islam sehingga dilantik sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia patutlah menjadi contoh. Taraf Tuan Guru Presiden adalah taraf Ustaz Mursyid yang tertinggi dari sudut Hiraki Harakah Islamiyah yang sukar dijumpai dimana-mana. Kepimpinan Dewan Ulama PAS khususnya dari kalangan ulama pelapis perlulah berjiwa besar untuk menjadi penerus kepada kecemerlangan rangkaian yang telah dibentuk oleh YB Tuan Guru Presiden ini.

Akibat tidak taat kepada keputusan pimpinan tertinggi bermakna seseorang itu telah menempah dosa kerana telah melanggar baiah yang telah diikat antara dirinya dan Allah SWT. Ia juga dikira sebagai pengkhianatan kepada parti. Soal ketaatan ini bukan untuk memperbodohkan ahli bawahan dan mendewakan pimpinan. Jika dinilai dari sudut keputusan ketua dan pimpinan parti Islam, maka setiap keputusan itu sebenarnya bukanlah satu keputusan yang keluar mengikut hawa nafsu tetapi ia mempunyai fiqahnya yang tersendiri. Ini bersandarkan dalil-dalil syarie untuk menjaga survival parti dan dasar serta hala tuju parti daripada kerosakan dan kemusnahan yang bakal menimpa sekiranya masing-masing merasakan dirinya paling bijak dan mahu membuat keputusan sendiri sesuka hati. Oleh yang demikian, soal ketaatan bukanlah soal yang remeh kerana ia adalah perkara yang bersifat معلوم من الدين بالضرورة

Sabda Rasulullah SAW dalam hal ini:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya dilantik Pemimpin itu adalah untuk diikuti. (Riwayat Bukhari)

Merujuk kepada apa yang berlaku mutakhir ini, PAS sebagai parti politik dalam masa yang sama sebagai harakah islamiyah, mendokong konsep السمع والطاعة dengar dan patuh kepada kepimpinan tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulamak (MSU) dan Presiden parti. Ia merupakan persoalan asas dan adab yang tertinggi dalam PAS yang wajib difahami dan di amalkan oleh semua anggota parti. Selain itu dengan adanya Majlis Syura Ulamak, ia memandu perjalanan parti kita agar tidak tersasar dijalanan. Majlis Syura Ulamak diberi kuasa pemutus dalam perkara ijtihadi dan ia adalah badan tertinggi parti serta keputusannya adalah wajib diikuti. Hal ini kerana MSU adalah penghurai kepada dasar PAS yang empat iaitu Quran, Sunnah, Ijma dan Qias.

Maka, perjuangan yang dibawa berlawanan dengan MSU tersebut, dasar tidak puas hati dan tidak mematuhi kepimpinan akan melenyapkan matlamat asal kita. Di sini, kita mesti beristiqamah dengan segala arahan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat dan juga Majlis Syura Ulamak (MSU) serta penegasan daripada Presiden PAS sendiri. Sebarang pelanggaran arahan MSU dan keputusan Presiden adalah satu kesalahan mandatori dalam undang undang PAS walau apa jua alasan dan sebab yang diberikan serta jawatan yang disandang.

Merujuk kepada NGO Pasma yang secara terang-terangan masih bergiat aktif sedangkan MSU termasuklah Presiden PAS sendiri telah mengeluarkan arahan kepada mana-mana ahli PAS agar tidak terlibat dengan NGO ini, jelas ia adalah satu usaha untuk merosakkan PAS dan menghancurkannya dari dalam serta memecah-belahkan PAS. Ini dapat disaksikan apabila banyaknya kenyataan-kenyataan ahli Pasma jelas menyerang dan melanggar dasar PAS bahkan yang lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata menghina ulama dan Presiden PAS sendiri.

Hari ini, berlaku serangan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah apabila saya dengan tegas menyatakan bahawa insya-Allah Kerajaan Negeri akan membuat pelaksanaan undang-undang islam ini pada 2015. Nada yang dimainkan oleh golongan yang tidak berpuas hati ini sama seperti nada juhala Umno dan orang bukan islam yang menentang pelaksanaan hudud. Ini tidak lain hanya kerana pemikiran liberal yang merosakkan akidah semakin menular di kalangan ahli PAS yang menyokong Pasma dan mereka sanggup memberikan wala mereka kepada pemimpin parti lain tetapi tidak kepada Presiden PAS.

Keputusan Majlis Syura Ulama dan Presiden agar ahli-ahli PAS menjauhi Pasma dan tidak terlibat dengan segala aktiviti mereka mempunyai banyak asas. Antaranya ialah wujud aliran pemikiran songsang dalam individu-individu yang terlibat dengan Pasma yang bersetuju dengan ajaran liberalisme atau Islam liberal. Ini sebenarnya telah wujud apabila suara-suara untuk mengetepikan pelaksanaan syariat Islam demi mencapai kemenangan dalam pilihanraya menjadi inti ucapan mereka. Aliran pemikiran tajaan barat ini dilihat bertapak dalam PAS yang membuatkan sebilangan anggota PAS telah tersasar matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan syariat Allah SWT.

Golongan ini mencari kemenangan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai Allah berdasarkan kaedah-kaedah syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun caranya berlawanan dengan Panduan Al-Quran dan Hadis. Dengan cara ini mereka berharap memperolehi kekuatan dan kemuliaan, padahal kekuatan dan kemuliaan tersebut hanyalah milik Allah SWT dengan melaksanakan manhaj Islam yang asli. Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa aliran Islam liberal sebenarnya ingin mencipta manhaj tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas perjuangan agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Diharap ahli-ahli PAS walaupun seorang tidak terlibat dengan anutan sesat yang merosakkan ini.

Bagi memastikan anasir-anasir perosak ini tidak lagi mengambil kesempatan daripada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, Dewan Ulama PAS Pusat menggesa kepada pihak Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin agar mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan Pasma.

Baru-baru ini kita turut dikejutkan dengan satu isu berkaitan akuan berkanun yang mendakwa terdapatnya gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden yang terdiri daripada kalangan pemimpin PAS Pusat serta ahli kumpulannya yang berada di dalam sebuah kumpulan yang menggunakan Whatsapp sebagai medium komunikasi mereka. Merujuk kepada akuan berkanun tersebut terdapat gerakan yang cuba menjatuhkan Presiden dengan cara yang tidak syarei.

Sekiranya benar dakwaan tersebut, pihak Dewan Ulama PAS meminta kepada pihak yang membuat dakwaan supaya membuat laporan disiplin bagi memastikan isu tersebut tidak berlarutan dan berpanjangan supaya satu siasatan dalaman boleh dilakukan. Sekiranya tiada laporan disiplin dibuat, ia akan mengundang budaya tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan.

Setelah laporan disiplin dibuat, pihak Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat agar menyegerakan siasatan di bawah Jawatankuasa Disiplin ataupun ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bukan dianggotai oleh AJK PAS Pusat untuk menyiasat berkenaan laporan dakwaan tersebut sama ada benar atau sebaliknya. Pihak kami memandang serius terhadap dakwaan tersebut kerana ia melibatkan persoalan wala dan akhlak yang boleh merosakkan imej parti yang berasaskan Islam.

Antara aspek yang diberi tumpuan oleh PAS setelah perkara tarbiyah, dakwah ialah aspek politik ataupun pemerintahan. Dalam aspek ini, ianya memerlukan seni dan juga strategi yang menatijahkan matlamat yang baik demi kebaikan seluruh masyarakat. Namun, di sebalik strategi yang diatur, ianya tidak boleh melanggar perkara yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sepertimana yang dipetik daripada kata Imam Syafie Rahimahullah:

لَا سِيَاسَةَ اِلَّا مَا وَافَقَ الشَّرْعُ

Maksudnya: “Tidak boleh lakukan gerak kerja politik itu melainkan apa yang menepati syarak”.

Justeru, setiap perencanaan politik yang dilakukan perlu mengikut garis panduan syarak yang ditetapkan. Sekiranya strategi tersebut bercanggah dengan syara, maka perkara tersebut perlu ditolak walaupun memberi kebaikan kepada parti dan masa depan PAS.


Pendekatan Tahaluf Siyasi yang direncanakan oleh kepimpinan politik mutakhir ini merupakan strategi yang diharuskan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Namun, pendekatan ini bukanlah merupakan sebuah matlamat asas yang mesti dicapai, akan tetapi sebagai satu strategi dan wasilah sahaja supaya Islam dapat ditegakkan. Dalam meneliti konsep tahaluf islam ini, Allah membenarkan pihak islam untuk meleraikan tahaluf yang telah dirosakkan oleh pihak rakan tahaluf lain. Ini disebabkan pengkhianatan dalam tahaluf adalah jalan kepada kemusnahan kekuatan tahaluf dan tiada lagi manfaat kepada tahaluf itu. Hal ini adalah bersandarkan kepada ayat:

وإِمَّا تَخَافَنَّ مِنْ قَوْمٍ خِيَانَةً فَانْبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ

Maksudnya: “Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat. (Surah Al-Anfal: 58 )

Kalimah Fanbiz ilaihim adalah kenyataan arahan yang membawa erti tinggalkan perjanjian yang dipersetujui. Pada hari ini PAS telah memutuskan tetap bersama dengan tahaluf siyasi dengan rakan-rakan dari kompenan parti lain, jadi kita mesti meneruskan keputusan ini.

Namun janganlah ada pihak yang menyelar tindakan Dewan Ulama PAS Pusat yang mengadakan perbincangan tentang tahaluf serta membuat kajian baru ke atasnya. Pembatalan tidak berlaku dengan kajian ini, dan kajian ini dibuat boleh jadi terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mencantik dan melengkapkan lagi tahaluf kita. Dalam hal ini persoalan ukhuwwah dan lapang dada amat perlu dititik beratkan oleh semua kompenan Pakatan Rakyat. Perlu diingat oleh ahli PAS, dikala kita bertahaluf jangan sampai ada berlaku wala kepada rakan tahaluf, kita bekerjasama untuk mencapai tujuan yang disepakati tanpa mengenepikan dasar PAS. Jangan sampai berlaku prinsip-prinsip islam dibiarkan tidak dipertahankan demi menjaga tahaluf siyaasi. Dewan Ulama PAS Pusat selaku Dewan yang berperanan sebagai penasihat kepada perjalanan parti akan sentiasa memantau perkara ini dan memberi nasihat daripada semasa ke semasa.

Perlu diingat juga bahawa kemenangan dalam perjuangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi halatuju dalam setiap perjuangan parti. Tidak kira perjuangan itu benar atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.

Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah SWT menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.

Setiap pejuang Islam dalam PAS perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Allah boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan. Maka jangan ada dikalangan anggota parti yang mahu kemenangan segera atau hanya yakin kemenangan dicapai dengan ramai bilangan ahli dan dengan perancangan jentera kita yang hebat. Kemenangan adalah hak Allah maka dengan laksana hak Allah baharu kemenangan diperolehi.

Alhamdulillah, PAS telah membuktikan ketabahannya dalam menghadapi apa juga cabaran dan rintangan. PAS telah mentarbiyah ahli dan penyokongnya supaya mengutamakan kepentingan parti daripada yang lain-lain serta terus beristiqamah, berakhlak mulia dan sentiasa mencerminkan syakhsiyah lslam. PAS mestilah tetap dengan identitinya disamping berkewajipan pula menyatu dan meningkatkan lagi penyatuan hati di kalangan ahli dan penyokong-penyokongnya. Dengan kesepaduan sokongan daripada ahli-ahli dan penyokong, PAS bukan sahaja mampu menghadapi lawan dengan mudah, malah boleh mengalahkan mereka.

Sebagai parti yang mempunyai sikap dan prinsip tersendiri, perjuangan PAS tidak mungkin boleh dijual beli. Atas sebab-sebab itu, maka PAS tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak sekiranya ia boleh menjejaskan dasar dan identiti PAS. Harapan kita, agar semua ahli PAS bermula daripada pimpinan tertinggi sehinggalah kepada akar umbi terus bekerja mengikut apa yang telah diputuskan oleh pimpinan tertinggi dan jangan istijal untuk menang serta suka mengguna pemikiran tersendiri apatah lagi bekerja dengan sikap keindividuan. Bersabarlah dengan sesuatu keputusan yang telah diputuskan khususnya dalam situasi masa kini, semuanya menguji kesabaran kita, perkara-perkara sebegini amat perlu kita tekankan dalam parti demi meraih keredaan Allah.

Firman Allah SWT, maksudnya: Dan bersabarlah kerana tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah. Janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Nahl: 127-128) - HARAKAHDAILY 21/2/2015

Ucapan Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob pada Multaqa Ulama Se-Malaysia 2015, 21 Februari 2015 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor.

Share on Myspace