Tingkah laku kitalah yang menggagalkan perjuangan

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

PADA hari inilah dalam tahun 1303 telah tercatat satu tarikh pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu. Satu kenyataan yang tidak harus kita lupa Islam telah menjadi sistem yang berdaulat di bumi Malaysia 97 tahun sebelum pembukaan Kota Melaka oleh Parameswara.

Sejarah membuktikan sistem dan kedaulatan Islam yang telah sekian lama bertapak di bumi ini dihapuskan oleh penjajahan sedikit demi sedikit dengan cukup terancang dan sistematik. Bermula dengan penaklukan Portugis di Melaka pada 1511, Belanda pada 1641, seterusnya campur tangan Inggeris pada 1786 menyempurnakan permulaan tindakan menyahkan Islam dari system kenegaraan bumi Malaysia.

Inggeris yang datang menguasai bumi ini dengan permulaan Perjanjian Pangkor tidak sekaligus menyahkan Islam dari takhta kedaulatan. Sedikit demi sedikit dan secara halus usaha dirancang dan dilaksanakan agar dapat diterima oleh masyarakat Islam.

Sultan yang dahulunya memegang kuasa politik dan pemerintahan disogok dengan keamanan dan damai atas takhta tanpa diganggu gugat dengan syarat baginda hanya berkuasa kepada hal-ehwal Islam dalam negeri. Apa maknanya hal-ehwal Islam di mata Inggeris pada waktu itu?

Islam hanya mula dijadikan upacara rasmi kerajaan dengan Inggeris terus memelihara tulisan jawi sebagai pengantara utama. 1830 telah mula diperkenal Undang-undang Sivil di negeri-negeri selat yang kemduiannya dipaksa untuk diterima oleh negeri-negeri bersekutu pada 1937.

Urusniaga perdagangan mula dihalakan menurut cara mereka dan tidak lagi cara syariah. Pada masa yang sama telah mula diperkenal jabatan yang menjaga hal-ehwal Islam dengan harapan orang Islam merasa bangga betapa Islam ada jabatan yang menjaganya.

Islam kian diinstitusikan menurut cara pemerintah. Islam tidak lagi berada pada tahap menguasai pemerintahan sebagaimana sistem kesultanan awal sebelum penjajahan.

Itu hanya sebahagian kecil teknik dan taktik penjajah dalam usaha mereka mensekularkan Malaysia yang dulu dipanggil Tanah Melayu. Kini sistem sekular dalam perundangan telah kejap dan jitu berada pada tampuk penguatkuasaan.

Selaku umat Islam, tentunya amat malang bila kita hanya mengenang nostalgia batu bersurat Terengganu tanpa dituruti usaha yang bermatian agar Islam kembali berdaulat. Cukup terasa sayu bila mengenangkan cita-cita umat Islam ini di tengah-tengah gelora yang melanda badan siasah memperjuangkan Islam di Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia, PAS.

Cukup saya akui mana bumi yang tidak ditimpa hujan, mana laut yang tidak bergelora, mana pantai yang tidak dihempas badai. Tidak harus kita lupa juga bersama-sama kita ada Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias untuk dituruti sebagai panduan.

Kenapa kita mudah goyah dengan hujan, gelora dan badai kerana itu semua sunnah yang telah ditentukan Allah S.W.T? hujan yang mebasahi bumi, gelora menggila di lautan dan badai ombak di pantai pasti berhenti bila tiba masanya. Demikian juga setiap perselisihan dan pertikaian telah disediakan ubat penawarnya dalam kitab Allah dan tinggalan Rasul Allah S.A.W.

Terkadang saya tertanya sendiri apakah sukar bagi kita pendukung jalan jihad ini untuk kembali bersemuka kerana Allah? Merapatkan persaudaraan dan mengatur gerak bersama demi mendaulatkan Islam yang telah lama dinyah penjajahan?

Rasul Allah S.A.W. telah cukup mengajar kita dalam perjuangan besar ini. Tarbiah, dakwah dan kebajikan dirangkum bersama agar serasi untuk menaut hati-hati manusia yang diciptakan Allah Tuhan yang satu. Kenapa kita terlalu degil menerima hakikat bahawa perjuangan ini mendambakan kebersamaan gerak kerja dalam setiap langkahan?

Meletakkan Islam agar kembali berdaulat bukan sekadar retorik untuk diulang dari zaman ke zaman. Ia adalah satu tanggungjawab besar yang wajip dipikul di bawah satu kepimpinan. Kesempurnaan Islam pada hari ini bukan menunggu tahap demi tahap untuk dilaksanakan. Ia mesti digempur dari segenap sudut dan ruang di medan sebenar.

PAS sebenarnya telah punyai kekuatan untuk menguasai medan jika ketaatan difokuskan hanya pada satu arahan dan kepimpinan. Kita telah punyai tokoh ulama yang ramai dan tenaga profesional yang cukup bersedia mendokong cita-cita jihad ini. Hanya sikap enggan sahajalah yang akan terus menggagalkan usaha ini dengan keangkuhan keakuan yang ada pada setiap dari kita.

Tingkah laku kita hari ini hanya akan mengekalkan tinggalan penjajah tanpa mengubah sistem sekular dan negara. Kembalilah kepada Allah dan beristiqamahlah dengan ajaran tinggalan Rasulullah S.A.W agar pertolongan Allah akan bersama mengiringi perjuangan getir ini. - HARAKAHDAILY 22/2/2015

Share on Myspace