Awas, terma ulama vs profesional panah beracun musuh PAS

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Terma "Pertembungan antara Ulama dan Profesional" adalah saraf beracun musuh khususnya Umno meskipun ia diungkapkan oleh pimpinan PAS tanpa sedar atau tidak.

Sejak penubuhan PAS 1951, Umno dan Barisan Nasional gagal menggugat keutuhan PAS meskipun menjadi pembangkang dalam negara kerana kekuatan pegangan Islam dan ulama yang menjadi teras kepada perjuangan Islam dengan paduan golongan aktivis dan profesional yang menjadi pemimpin dan ahli di pelbagai peringkat.

Sejak PAS ditubuhkan sehinggalah ke era Kepimpinan Ulamak dijadikan teras dalam perlembagaan pada tahun 80-an, kepimpinan PAS adalah terdiri dari pelbagai golongan sama ada ulama, profesional atau aktivis.

Pemimpin PAS sama ada ketua cawangan, pengarah MTD, YDP Kawasan, Pesuruhjaya Negeri dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat terdiri di kalangan ulama, profesional dan aktivis tanpa ada sebarang pertembungan.

Konsep Kepimpinan Ulamak tidak bererti hanya ulama menjadi ketua di semua peringkat kecuali Ketua Tertinggi parti kerana Islam memberikan kredit kepada mereka yang faqih dan mampu berijtihad merujuk kepada al-Quran dan Sunnah untuk menjadi ketua tertinggi dalam Islam.

Hakikatnya para ulama dalam PAS tidak pernah bertembung dengan profesional atau sesiapa sahaja daripada kalangan aktivis dan ahli dalam PAS yang mengikut dasar PAS iaitu al-Quran, Hadis, Ijma dan Qiyas.

Ulama tidak bertembung dengn mana-mana ahli atau pemimpin PAS yang merujuk kepada Islam, beraqidah dengan aqidah Islam dengan kefahaman ahlu sunnah wal jamaah, bersyariat dengan Syariat Islam dan berakhlak dengan Akhlak Islam serta tidak khianat kepada amanah kepimpinan atau melanggar baiah dengan Ketua Syarie.

Dulu, kini dan selamanya ulama sama ada yang berada dalam Dewan Ulamak atau Majlis Syura Ulamak atau mana-mana entiti parti adalah penasihat dan juru pandu kepada PAS agar sentiasa berada di landasan Islam dalam setiap pergerakan dan strategi perjuangan.

Sejak awal penubuhan PAS sehingga sekarang para ulama menjadi Tuan Guru dan Ustaz yang membimbing ahli di kalangan profesional dan aktivis untuk beriman dan beramal dengan al-Quran dan Sunnah, untuk mencari redha Allah dalam kehidupan bukannya redha manusia, berjuang untuk menegakkan Islam dan pemerintahan berasaskan sistem Islam, menentang kemungkaran sistem pemerintahan Umno dan Barisan Nasional yang berasaskan perkauman sempit dan sekuler memisahkan agama daripada politik, menolak semua pemikiran songsang samada sekuler, sosialis, demokratis, liberalisma dan kapitalisma dalam berekonomi.

Untuk itu, mana mungkin ulama bertembung dengan profesional kerana profesional atau aktivis adalah anak-anak murid mereka dalam memahami Islam. Mereka adalah sasaran dakwah para ulama di masjid, surau, markaz PAS menerusi kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah asar dan kuliah maghrib.

Mereka anak didik ulama dalam usrah, tamrin dan mukhayyam. Hasil didikan dan ilmu yang diberikan oleh ulama maka lahirlah pemimpin-pemimpin di kalangan profesional dan aktivis yang mampu memimpin PAS berasaskan Islam berpandukan wahyu al-Quran dan Hadis.

Hasil tarbiyah mereka maka umat bangkit menentang kemungkaran politik dan ekonomi Umno dan Barisan Nasional.

Namun, pertembungan akan berlaku antara ulama dan profesional atau aktivis yang mula lari daripada asas perjuangan Islam yang digariskan oleh al-Quran dan Rasul.

Pertembungan berlaku dengan mereka yang hanya merancang strategi kemenangan parti dengan akal tanpa panduan wahyu dan sirah Rasul s.a.w.

Pertembungan berlaku dengan mereka yang berakidahkan kemenangan kerana manusia ramai yang menyokong bukan kerana Allah yang membuka hati mereka.

Pertembungan berlaku antara ulama dengan profesional atau aktivis yang cuba mentafsirkan sendiri al-Quran dan Hadis dengan akal atau pembacaan sendiri tanpa merujuk huraian ulama muktabar menerusi karya-karya agung yang memerlukan kefaqihan dan penguasaan bahasa Arab yang tinggi untuk memahaminya.

Ulamak akan bertembung dengan profesional dan aktivis yang meletakkan walak kesetiaan kepada parti lain melebihi Parti Islam Se-Malaysia PAS yang memperjuangkan Islam.

Ulama akan bertembung dengan profesional yang mula berdolak-dalik dalam usaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam kerana ingin menjaga hati rakan-rakan PR iaitu DAP dan PKR dan bimbangkan sokongan bukan Islam akan beralih.

Ulama akan bertembung dengan profesional yang mula mencerca atau memaki Ketua Syarie dalam PAS iaitu Presiden PAS sama ada berdepan atau di belakang dan menjadi syaitan manusia yang menghasut dan mencocok ahli mempertikaikan Majlis Syura Ulamak yang diberikan kuasa dan kepercayaan oleh perlembagaan untuk menghuraikan Islam.

Ulama akan bertembung dengan pimpinan profesional atau aktivis yang lupa kewajipan taat dalam perkara makruf yang dinikmati oleh seorang ketua dalam Islam selagi dia tidak melanggar al-Quran dan Hadis.

Malah ulama akan bertembung juga dengan mana-mana Asatizah yang juga berfikir hanya dengan akal tanpa panduan wahyu jika ada dalam PAS.

Kepada profesional dan aktivis yang faham Islam, yang bersedia tunduk kepada panduan al-Quran dan Hadis dalam perjuangan, yang memahami konsep walak HANYA kepada Parti Islam dalam keadaan negara belum diperintah berlandaskan Islam dan taat kepada Presiden, yang berakhlak tidak menghentam para ulama maka persilakanlah menjadi sebahagian kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia PAS kerana PAS adalah milik semua yang berjuang berlandaskan Islam. - HARAKAHDAILY 23/2/2015

Yang menjalankan amanah peringatan,

Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Isnin 4 Jamadilawal 1436 H / 23 Februari 2015

Share on Myspace