PAS gabung Umno idea karut dan merapu

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

PERDAMAIAN Hudaibiyah antara Nabi s.a.w. dan musuh iaitu Quraisy pada tahun ke-6 Hijrah berlaku di saat Islam berada dalam kedudukan yang kuat dan gagah. Kesannya, selama tempoh perdamaian itu, umat Islam daripada Madinah berjaya meresap masuk ke kota Mekah dan menyebarkan Islam kepada kaum keluarga mereka di Mekah.

Selepas 2 tahun, apabila Quraisy melanggar perjanjian damai Hudaibiyah, kota Mekah diserang oleh Nabi s.a.w. tetapi baginda berjaya membuka kota Mekah secara damai tanpa penentangan dan pertumpahan darah kerana orang Mekah bersedia menerima Islam.

Merujuk kepada sirah nabawiyyah tersebut, cadangan supaya PAS bergabung dengan Umno adalah idea karut dalam keadaan Umno kuat menguasai kerusi-kerusi Melayu di Parlimen berbanding PAS yang semakin menyusut. Adatnya, kumpulan yang kuat akan menindas kumpulan yang lemah cengkamannya.

Pasca PRU ke-13, Umno memenangi 83 kerusi majoriti Melayu daripada 119 kerusi Melayu; 50 kerusi dimenangi dengan majoriti besar dan hanya 33 kerusi dimenangi secara majoriti kecil. Manakala PAS pula hanya mendapat 21 kerusi Parlimen itupun termasuk kerusi parlimen di kawasan campuran. Idea karut gabungan PAS dan Umno hanya akan meletakkan PAS bagaikan melukut di tepi gantang.

Dalam PRU 1999, PAS mendapat 28 kerusi Parlimen ketika rata-rata Melayu melakukan undi protes terhadap Umno pasca reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketika itu, DAP hanya mendapat 10 kerusi Parlimen dan PKR mendapat 5 kerusi kerana undi Cina dan India masih bersama Barisan Nasional. Kerana itu DAP sanggup keluar dari Barisan Alternatif pada 2002. Undi Melayu pula kembali kepada Umno pada PRU 2004 menjadikan BN semakin kuat.

Berbeza dengan PRU 2013, orang Cina memberikan undi hampir maksimum kepada PR sehingga PR menyapu bersih 29 kerusi majoriti Cina dan 23 kerusi campuran. Hanya yang tinggal 13 lagi kerusi Parlimen campuran untuk diperjuangkan oleh PR.

Disebabkan sokongan pengundi Cina, DAP menambah 10 kerusi Parlimen dari 28 pada PRU 2008 kepada 38 pada PRU 2013. PKR pula menyusut dari 31 kepada 30 kerusi Parlimen.

Manakala orang Melayu pula selepas memberikan sokongan kepada PAS pasca PRU 2008, pada PRU 2013 mereka kembali menyokong Umno sehingga membolehkan Umno mendapat 83 kerusi Parlimen Melayu. Umno mendapat peningkatan kerusi daripada 79 kerusi pada tahun 2008 kepada 88 kerusi Parlimen termasuk kerusi campuran.

Kerusi Parlimen PAS menyusut kepada 21. PAS dirampas kerusinya oleh Umno di 5 kerusi Melayu di Kedah iaitu Pendang, Padang Terap, Jerai, Sik, Baling dan kerusi Melayu PKR dirampas oleh Umno di Kelantan iaitu Machang, Ketereh, Tanah Merah dan Merbok di Kedah. Kerusi PAS juga dirampas di kerusi campuran Titiwangsa dan Kuala Selangor.

Namun, sokongan Melayu kepada PAS meningkat di Terengganu sehingga mendapat 14 kerusi Dun manakala Umno hanya menang tipis di peringkat negeri dengan 17 kerusi. Manakala di kerusi Parlimen, PAS merampas Kuala Nerus dan Dungun dari Umno dan mengekalkan Kuala Terengganu dan Marang di tangan PAS.

Merujuk kepada senario pasca PRU ke-13 yang menyaksikan penyusutan undi Melayu terhadap PR khususnya PAS kecuali di Terengganu, maka solusinya ialah PAS perlu bekerja keras memenangi pengundi Melayu untuk memenangi PRU ke-14. Isu-isu mendasar melibatkan Islam mesti terus dijuarai oleh PAS. Isu Hudud adalah tuntutan agama yang sangat penting untuk diperjuangkan oleh kerajaan Kelantan dalam ruang lingkup kuasa demokrasi yang ada.

Lontaran idea penyatuan oleh PAS dan Umno oleh pimpinan Umno bukan bertujuan untuk memulihkan sokongan Melayu terhadap Umno kerana sememangnya sokongan Melayu telah meningkat kepada Umno. Apa yang ada pada PAS? Sekadar 21 kerusi Parlimen dengan sebahagiannya adalah kerusi campuran iaitu Parit Buntar, Bukit Gantang, Kota Raja, Sepang dan Temerloh. Sebenarnya Umno tidak memerlukan PAS langsung. Malah Umno tidak teringinkan pun gabungan Umno dan PAS.

Kalau begitu apa tujuan Umno? Jawapannya ialah Umno hanya berhasrat memecahkan dominasi menerusi Pakatan Rakyat. Keperluan Umno sebenarnya ialah undi-undi Cina untuk kembali bersama BN. Maka, idea dan solusi terbaiknya ialah Umno memujuk PKR atau DAP yang mempunyai undi Cina bersama BN.

Kerana itulah idea gabungan PAS Umno awal-awal lagi ditolak mentah-mentah oleh Tuan Guru Presiden PAS pasca PRU ke-13 meskipun Umno berkali-kali melontarnya di media.

Apa yang perlu dilakukan oleh PAS sekarang ialah menuntut hak demokrasi yang sepatutnya dimiliki oleh PAS. Hak kerajaan Kelantan untuk mendapat pelbagai nikmat pembangunan sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan.

Itulah kebijaksanaan yang mesti digarap oleh PAS dengan memanfaatkan sebarang bentuk kerjasama "goverment to goverment" antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan PAS Kelantan untuk mengukuhkan lagi kekuatan PAS di Kelantan.

Kelantan sebagai sebuah negeri Melayu yang masih gagah dikuasai oleh PAS mesti dipertahankan. Begitu juga Terengganu sebagai sebuah negeri majoriti Melayu perlu diperkasakan untuk dimenangi pada PRU ke 14 nanti. Idea gabungan Umno dan PAS tidak menguntungkan PAS di Kelantan dan Terengganu.

Kerana itu saya katakan idea gabungan PAS Umno adalah idea karut dan merapu. Ia adalah lontaran Umno untuk menghalang PAS ke depan menguasai kembali undi pengundi Melayu. - HARAKAHDAILY 25/2/2015

DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Tarikh: 25 Februari 2015 / 6 Jamadilawal 1436H

Share on Myspace