Menjawab hujah G25 tentang Kanun Jenayah Syariah

MOHAMED HANIPA MAIDIN | .

SEBENARNYA sudah lama saya ingin menjawab kenyataan G25 tentang perlaksanaa Kanun Jenayah Syariah (popular disebut hudud) di Kelantan. G25 iaitu kumpulan golongan atasan dan intelektual Melayu , melalui jurucakapnya iaitu Datuk Noor Farida Ariffin telah antara lain menyatakan bahawa pedofil (golongan yang menjadikan kanak kanak sebagai pemuas nafsu seks mereka) akan berkerumun di Kelantan jika Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan di Kelantan.

Alasan yang Datuk Noor Farida berikan adalah Kanun Jenayah Syariah di Kelantan menolak bukti keterangan atau bukti sainstifik seperti DNA atau bukti cap jari bagi membuktikan kes jenayah khususnya bagi kesalahan zina. Beliau juga dilaporkan berkata "mereka (PAS/Kelantan) menggunakan keterangan kurun ke-12 untuk buktikan kesalahan zina dan mengenepikan bukti saintifik. Mereka menegaskan itu sahaja cara membuktikan keterangan jenayah zina, ini tidak masuk akal."

Beliau juga menambah meskipun pemimpin PAS naik kereta dan kapalterbang tapi menolak bukti saintifik. Datuk Noor Farida menyimpulkan pesalah laku seksual kanak kanak akan berkerumun di Kelantan kerana di sana mereka boleh rogol kanak kanak atau orang dewasa. Beliau menyatakan bahawa itulah “hudud PAS”.

Kenyataan Datuk Noor Farida itu dikeluarkan oleh beliau semasa forum anjuran IDEAS bertajuk "Malaysia, kebebasan ekonomi dan globalisasi" di Kuala Lumpur pada 7 Februari 2015. Kenyataan beliau dilaporkan oleh portal Malaysian Insider.

Sebagai parti yang memperjuangkan pelaksanaan syariah dalam negara ini termasuk undang undang jenayah syariah kita tidak perlu panik dan resah dengan kritikan tersebut. Kita juga seharusnya mengelak dari menghukum mereka yang mengkritik undang undang hudud itu dengan sebarang label atau gelaran jauh sekali mempertikai keislaman seseorang itu. Itu bukan tugas kita .

Tugas kita adalah menjawab sebarang keraguan itu dengan seberapa baik yang boleh agar keraguan sipengkritik itu dapat dikurangkan jika tidak dilenyapkan sama sekali. Itulah yang saya cuba lakukan di sini. Mudah-mudahan membantu sedikit para pembaca.

Pertamanya, saya sehingga kini tidak mendengar G25 atau Datuk Noor Farida mengkritik undang undang drakonian seperti Akta Pencegahan Jenayah yang kembalikan hukuman tanpa bicara atau undang undang SOSMA sepertimana beliau mengkritik pedas Kanun Jenayah Syariah yang masih belum berkuatkuasa di Kelantan. Kita harap tiada kritikan terpilih di sini.

Saya percaya alasan Datuk Noor Farida bahawa Kelantan akan dikerumun dengan pedofil adalah satu hujah yang amat meleset dan tidak bermerit. Hujah tersebut berpremiskan anggapan bahawa jika pedofil melakukan kesalahan zina dengan kanak kanak di Kelantan pesalah itu akan diputuskan tidak bersalah lalu terlepas dari hukuman.

Hujah beliau juga nampaknya berasaskan anggapan jika pedofil ingin lakukan jenayah zina mereka seolah olah akan mencari jalan untuk lakukan di Kelantan meskipun pelaku jenayah itu dan mangsa tinggal di luar Kelantan.

Di sinilah , bagi saya, kesilapan asas beliau. Saya percaya Datuk Noor Farida sendiri setuju seorang penjenayah tidak akan berfikir sedalam Datuk Noor Farida berfikir sehinggakan jika pesalah laku seks itu ingin lakukan zina dengan kanak-kanak ia akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan kesalahan zina dilakukan di Kelantan meskipun pesalah dan mangsa beliau tinggal misalnya di Wilayah Persekutuan.

Atau yang lebih hebat lagi pedofil yang tinggal di luar Kelantan akan bersedia menangguhkan masa bagi memuaskan hawa nafsunya meskipun simangsa berada di depan matanya dan sedia untuk “dikerjakan" dan penangguhan itu terpaksa dilakukan kerana penjenayah dan mangsa perlu ke Kelantan untuk melakukan jenayah di sana.

Begitulah yang akan berlaku jika kita terima hujah Datuk Noor Farida. Jika tidak bagaimanakah beliau boleh simpulkan Kelantan akan dikerumuni oleh pedofil jika Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan di negeri itu.

Ya, kita boleh terima hujah yang menyatakan bagi kesalahan seperti kesalahan zina secara relatifnya agak sukar untuk dibuktikan kerana standard pembuktiannya yang amat tinggi, maka atas dasar itu mungkin Datuk Noor Farida membuat anggapan mana-mana pedofil yang lakukan kesalahan zina di Kelantan pasti akan dibebaskan oleh Mahkamah sekaligus ia akan meningkatkan statistik jenayah pedofil di Kelantan. Oleh itu mungkin Datuk Noor Farida berfikir di mana salahnya hujah beliau jika beliau menyatakan pedofil akan ramai berkerumun di Kelantan.

Jawapan saya begini. Sekali lagi saya ingin katakan hujah Datuk Noor Farida ini juga berpremiskan anggapan semata-mata. Beliau beranggapan sebaik sahaja Kelantan laksanakan hudud ia akan memberi inspirasi dan motivasi baru kepada pedofil untuk "menggiatkan" lagi aktiviti mereka di Kelantan. Dengan lain perkataan, pedofil bersedia untuk menguji kesalahan mereka di bawah undang-undang baru kerana yakin dengan hujah Datuk Noor Farida bahawa di Kelantan pedofil akan pasti terlepas hukuman. Sekali lagi Datuk Noor Farida beranggapan pedofil akan berfikir secara rasional dan yakin mereka akan terlepas dari hukuman jika lakukan zina di Kelantan.

Kalau Datuk Noor Farida beranggapan bahawa setiap pesalah pedofil akan lebih suka dan seronok melakukan zina di Kelantan kerana undang undang zina di bawah hudud akan melindungi mereka maka kita juga boleh buat anggapan pedofil di Kelantan akan berfikir beribu kali untuk lakukan jenayah zina di di Kelantan jika hudud dilaksanakan kerana ketakutan mereka kepada hukuman berat yang pasti menanti mereka jika mereka dihukum bersalah oleh Mahkamah. Sudah tentu pedofil akan berfikir beribu kali jika mereka tahu mereka akan disebat 100 rotan di khalayak ramai atau direjam sampai mati jika mereka adalah pedofil yang telah berkahwin.

Kedua-dua anggapan yang saya nyatakan di atas adalah mungkin maka atas dasar itu kita tidak sewajarnya membuat satu kesimpulan yang muktamad hanya berasaskan kemungkinan atau andaian semata mata. Kalau begitu cara kita berfikir maka kita akan berhadapan dengan kesukaran untuk laksanakan apa sahaja undang-undang sama ada undang-undang manusia atau undang-undang Islam.

Datuk Noor Farida mempertikaikan undang-undang empat orang saksi bagi membuktikan kesalahan zina yang bagi beliau ia adalah undang-undang keterangan kurun ke-12 . Secara tersiratnya beliau seolah-olah ingin nyatakan keterangan empat orang saksi bagi membuktikan jenayah zina adalah tidak sesuai di zaman ini dengan wujudnya undang-undang saintifik seperti DNA atau cap jari.

Dengan hormat mungkin kita patut bertanya adakah jenayah zina oleh pedofil atau sesiapa pun adalah jenayah moden dan hanya wujud pada abad ini . Dengan lain perkataan zina seolah-olah tidak wujud sebelum ini atau pada kurun ke-12. Sudah tentu beliau tidak akan katakan begitu.

Jika jenayah zina itu suatu yang usang dan antik namun masih wujud sehingga kini maka menolak undang-undang keterangan kurun ke-12 hanya kerana ia adalah usang dan antik adalah, dengan hormat, satu hujah yang gopoh dan tidak konsisten.

Keduanya-undang undang keterangan empat orang saksi bagi kesalahan zina suatu yang dinyatakan di dalam al-Quran maka selagi al-Quran terpakai sehingga berakhirnya dunia ini maka jika Datuk Noor Farida ingin menolak keterangan yang ditetapkan oleh al-Quran maka kita mungkin berminat untuk dengar dan lihat hujah-hujah beliau kenapa ayat al-Quran berkenaan isu keterangan tersebut tidak lagi relevan dan sesuai di zaman ini.

Sudah tentu sebagai seorang intelektual yang hebat beliau tahu apa yang beliau katakan dan bersedia untuk membawa dalil naqli dan aqli bagi menyokong hujah beliau. Sebagai seorang yang terpelajar dalam bidang undang-undang sudah tentu beliau tahu setiap hujah perlu dalil .

Jika kita ingin tolak begitu sahaja ayat al-Quran tentang keperluan empat orang saksi bagi membuktikan jenayah zina atas alasan tidak sesuai maka adakah kita juga nanti akan bersedia melebarkan hujah itu dalam perkara perkara lain pula. Adakah kita akan nanti berhujah solat jumaat juga tidak sesuai meskipun wujud perintah itu dalam al-Quran hanya kerana di zaman moden kebanyakan cuti umum adalah hari ahad maka kita perlu sesuaikan pula hukum solat jumaat tersebut ? Adakah itu cara kita menanggapi perintah Tuhan di dalam al-Quran ?

Saya kadangkala keliru dengan hujah golongan yang kritikal tentang Kanun Jenayah Syariah ini. Hujah mereka bersimpang siur. Kadangkala mereka berhujah bahawa Kanun Jenayah Syariah tidak sesuai kerana hukumannya keras, drakonian dan tidak bertamadun. Apabila kita katakan pada golongan ini bahawa oleh kerana kesalahan seperti zina adalah jenayah berat dari perspektif Islam dan jika bersalah akan dikenakan hukuman keras justeru itu kaedah pembuktiannya sangat teliti dan tahap pembuktiannya sangat tinggi, golongan ini akan segara berpindah kepada hujah lain.

Mereka akan hujah pula oleh sebab cara buktikan kesalahan zina itu amat sukar maka penjenayah akan mudah lepas dan bebas. Oleh itu jika Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan maka berkerumunlah penjenayah zina termasuk pedofil di Kelantan.

Untuk golongan ini sayugia saya ingin katakan tentukan hujah mana yang anda ingin pilih supaya kredibiliti anda tidak akan dipertikaikan. Seperti mana orang Inggeris katakan anda tidak sewajarnya "blow hot and cold water" secara serentak. – HARAKAHDAILY 25/2/2015

Share on Myspace