Manusia, keadilan dan undang-undang

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Manusia sangat berhajatkan kepada undang-undang yang boleh mengawal kelakuan serta nafsunya yang tidak pernah terbatas. Undang-undang juga memberi makna dalam mengurus aturan kehidupan bermasyarakat.

Persoalan tentang keadilan tidak akan hadir tanpa kita meneliti apa bentuk undang-undang dan peraturan yang digunakan. Maknanya, keadilan itu adalah bergantung kepada bentuk undang-undang yang diaplikasi.

Islam tidak hanya terhenti kepada keimanan di dalam hati, juga tidak hanya sekadar ritual ibadat di masjid dan surau. Islam yang dianjurkan oleh pesuruh Allah سبحانه وتعالى, Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم kepada seluruh manusia merangkumi tiga rangkai yang besar iaitu ‘aqidah (kepercayaan kepada Allah, alam ghaib dan sebagainya), syari’ah (perundangan dan ketetapan hukum daripada Allah) dan nilai akhlak.

Tiga rangkai tersebut tidak mampu ditanggapi dengan baik oleh manusia, kerana itu ia diturunkan bagi memandu kehidupan.

Manusia secara umumnya tidak mampu menggunakan ‘aqal untuk menjawab persoalan ketuhanan dan perkara ghaib kerana kemampuan ‘aqal sangat terbatas. Begitu juga soal undang-undang dalam permasalahan tertentu seperti merompak, membunuh, berzina dan sebagainya. Keterbatasan ‘aqal yang ada menyebabkan manusia tidak akan dapat menentukan neraca keadilan dengan ukuran yang sebenar.

Persoalan keadilan (apa itu keadilan, bagaimana keadilan dibentuk, apakah neraca keadilan bagi sesuatu hukuman) merupakan persoalan yang masih tidak mampu ditanggapi sehingga menjadi konflik terutama dikalangan pembuat polisi (‘policy-makers’) di negara Barat. Kebanyakan dari mereka tersepit di antara dua kelompok pemikiran yang dikenali sebagai ‘naturalist’ mahupun ‘positivist’.

Kelompok ‘naturalist’ percaya undang-undang mesti bersumberkan kepada semula jadi, hak asasi semula jadi dan keadilan semula jadi. Walau bagaimanapun, istilah ‘semula jadi’ masih terbuka kepada perbahasan. Sesiapapun berhak menentukan keadilan yang dikecapi itu adalah ‘semula jadi’ ataupun tidak.

Begitu juga bagi kelompok ‘positivist’. Mereka menganggap undang-undang dan keadilan adalah ciptaan manusia dan manusia pula diberi kebebasan untuk menentukan perkara itu adil atau tidak. Maka, kedua-dua kelompok masih gagal mencari makna keadilan yang sebenar (true justice).

Akhirnya, konsep keadilan dalam undang-undang ciptaan Barat itu tidak universal dan tidak bersifat mutlak. Lahirlah pelbagai bentuk undang-undang yang tidak lebih hanya mengikut selera dan kepentingan masing-masing.

Islam sudah pasti berbeza dengan keadaan-keadaan tersebut. Keadilan bagi perspektif Islam terletak kepada undang-undang serta hukum-hukumNya yang telah ditetapkan oleh Allah. Islam menjawab segala konflik dan permasalahan yang timbul berkaitan keadilan dengan memberi suatu kata putus yang mampu menenangkan jiwa yang bertelingkah.

Keadilan itu adalah pada undang-undang ciptaan Allah SWT. Manusia tidak mampu untuk menjawab persoalan keadilan kerana keinginan dan fikiran manusia itu berbeza. Maka, di situlah syari’ah Islam datang membentuk suatu undang-undang agung yang sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan pada setiap inci penempatan makhluk yang ada di muka bumi.

Itulah matlamat PAS sejak ia ditubuhkan pada 1951, mengamalkan suatu perintah yang ditetapkan oleh agama.

Sesungguhnya, hukuman ini tidak bertujuan untuk menggalakkan berlakunya jenayah malah ia adalah pencegahan terhadap penjenayah daripada melakukan kerosakan. Hukuman ini juga bukan untuk menzalimi sesiapa dari kalangan muslim mahupun non-muslim, malah pensabitannya yang ketat menjadikan mereka yang benar-benar bersalah sahaja yang akan dihukum (mereka yang didakwa tidak juga tidak sewenangnya dizalimi). Tiada yang perlu ditakutkan kerana ini adalah undang-undang tuhan, bukan undang-undang manusia.

Tuhan inginkan keadilan di kalangan manusia, apakah manusia mampu menandingi keadilan tuhannya? - HARAKAHDAILY 25/2/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Mas.

Share on Myspace