Faqih adalah prasyarat utama ketua dalam Islam

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

Dasar PAS adalah Islam. Rujukannya ialah al-Quran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Untuk mentafsirkan dasar Islam yang dipegang oleh PAS mandat diberikan kepada Majlis Syura Ulamak yang mempunyai keanggotaan seramai 17 orang kalangan Alim Ulamak.

Apabila tafsiran dan huraian Majlis Syura Ulamak dipertikaikan berkaitan dasar dan prinsip Islam maka bermulalah kerosakan dalam perjuangan.

Ketaatan kepada Ulil Amri  yang menghuraikan Islam dapat difahami menerusi firman Allah:

﴿ يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴾

"Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri kalangan kamu. Maka apabila kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat." (Surah al-Nisa': 59)

Ulil Amri bermaksud yang memiliki arahan dan memegang urusan. Ulil Amri ditafsirkan oleh sahabat Nabi iaitu Ibnu Abbas dan juga Tabi'in seperti Mujahid, Ata', Hasan Basri dan Abu al-Aaliyah merujuk kepada Ahli Fiqh dan Agama.

Imam Ibnu Kathir pula mentarjihkan, Ulil Amri merujuk kepada semua yang memiliki perintah iaitu para pemerintah dan Alim Ulamak. (Tafsir Ibni Kathir, juz 1, ms 568, Dar al-Khair 1991).

Para pemerintah wajib ditaati kerana mereka memerintah dengan perintah Allah. Ulamak pula ditaati kerana mereka menjelaskan perintah Allah.

Ayat ini juga mengisyaratkan bahawa keutamaan untuk menjadi ketua ialah kombinasi 2 sifat iaitu 'sifat kepimpinan' dan 'sifat faqih' kerana di saat itu pada  dirinya terdapat 2 sebab ketaatan iaitu 'ditaati sebagai pemerintah yang memerintah dengan perintah Allah' dan 'ditaati sebagai Ulamak yang menjelaskan perintah Allah'.

Apabila membincangkan tentang kuasa ketua dalam Islam, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Aam kepada Majlis Syura Ulamak berhujah dengan firman Allah:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِين

"Dan hendaklah kamu bermesyuarat dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila kamu wahai Muhammad telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah kepada Allah".

Bertekad ertinya membuat keputusan. Menurut pandangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ayat ini mengarahkan ketua bermesyuarat.
"Dan hendaklah kamu (wahai ketua) bermesyuarat dengan mereka".

Setelah bermesyuarat dengan mereka yang layak dibawa untuk bermesyuarat, ketua akan membuat keputusan lalu Allah berfirman: "maka apabila kamu (wahai Muhammad) telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah /berserah dirilah kepada Allah".

Allah tidak menyatakan "apabila kamu semua (ahli mesyuarat) bertekad" tetapi Allah menyebut "apabila kamu (wahai seorang ketua) bertekad". Maka, dalam konteks amalan Islam setelah mesyuarat dijalankan maka tanggungjawab ketua untuk membuat keputusan.

Oleh kerana ketua berperanan membuat keputusan selepas mendengar pandangan ahli mesyuarat maka ketua mestilah mempunyai ilmu dan kefahaman yang membantunya untuk membuat keputusan yang sejajar dengan kehendak Islam. Apatah lagi dalam pentadbiran sebuah negara berlandaskan Syariat Islam kedudukan seorang ketua yang memahami Islam dengan mendalam sangat diperlukan.

Kerana itulah sarjana-sarjana Fiqh Siyasah / Fiqh Tatakenegaraan menegaskan SYARAT KEUTAMAAN selain daripada syarat sah kelayakan untuk menjadi Khalifah dan ketua kerajaan dalam Islam ialah seorang yang Faqih mampu berijtihad dalam perkara-perkara semasa dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah. 'Faqih' itu adalah satu kelebihan dan lambang keilmuan. Namun majoriti ulama daripada mazhab Syafie, Maliki dan Hambali meletakkan faqih sebagai syarat sah bukan hanya syarat keutamaan.

Imam al-Maawardi (hidup pada tahun 370-450 H) dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan 7 syarat yang mesti diambilkira untuk menjadi Ketua Negara iaitu adil, ilmu yang membolehkan dirinya berijtihad dalam perkara semasa dan hukum-hakam, sempurna pancaindera, selamat anggota badan daripada kekurangan yang menghalang untuk bergerak, mempunyai kebijaksanaan yang membolehkannya mengurus rakyat dan mentadbir maslahat, keberanian dan kemampuan yang membantunya untuk berjihad menghadapi musuh dan nasab yang baik iaitu daripada kalangan Quraisy. (Al-Ahkam al-Sultaniyaah; ms 32 cetakan Dar al-Kitab al-Arabi 1990)

Kata Imam al-Haramain (meninggal 478 H); antara sifat yang diraikan pada ketua negara ialah ilmu dan kewarakan.

فأَما العلم فالشرط أَن يكون الإِمام مجتهدا بالغا مبلغ المجتهدين مستجمعا صفاة المفتين ولم يؤثر في اشتراط ذلك خلاف والدليل عليه أَن أمور معظم الدين تتعلق بالأئمة ....
فلو لم يكن الإمام مستقلا بعلم الشريعة ، لاحتاج إلى مراجعة العلماء في تفاصيل الوقائع وذلك يشتت رأيه

"Adapun ilmu, maka syaratnya ialah ketua negara itu seorang mujtahid yang mencapai tahap para mujtahidin dengan menggabungkan sifat para mufti. Dan tidak ditemui sebarang perselisihan Ulamak tentang syarat ini. Dalilnya ialah urusan sebahagian besar agama berkaitan dengan pemerintahan...Sekiranya ketua negara tidak memiliki ilmu Syariat secara bersendiri tentulah berhajat kepada merujuk kepada para Alim Ulamak dalam memperincikan setiap situasi dan ini mencelarukan pandangannya." (Rujuk Ghiyaath al-Umam, ms 94, cetakan Dar Dakwah 1979)

Syarat Mujtahid dan Faqih sebagi syarat keutamaan ini juga dijelaskan oleh Ibnu Khaldun, al-Baghdadi, al-Jurjani, al-Nawawi, al-Aamidi, al-Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibn al-Humam.

Namun, apa yang menariknya Imam Syatibi pernah menyatakan bahawa para Alim Ulamak menukilkan kata sepakat bahawa ketua negara tidak sah melainkan bagi orang yang mencapai tahap Mujtahid dan Fatwa dalam ilmu Islam.

Namun, Imam Syatibi sendiri berpandangan bahawa ilmu kefaqihan adalah satu kelebihan yang diraikan dalam menentukan perjawatan ketua negara.

Perbahasan ini menunjukkan bahawa syarat Faqih keilmuan tentang Islam di samping warak untuk seorang yang menjadi ketua negara adalah sangat penting.

Hal ini kerana negara wajib ditadbir dengan prinsip dan dasar Islam. Pemimpin yang faham dan Faqih Islam diperlukan untuk memerintah dengan cara Islam.

PAS berjuang untuk mendapat kuasa memerintah negara dengan Islam. Dalam konteks hari ini, PAS diketuai oleh Presiden yang mempunyai kemampuan berijtihad dan Faqih yang telah diiktiraf dunia. Keadaan ini meletakkan PAS berada di landasan yang betul dari sudut kelayakan keutamaan sebagai pemimpin tertingi dalam Islam.

Ada segelintir pimpinan telah membuat kenyataan terbuka bahawa Presiden PAS tidak semestinya di kalangan ulamak. Apakah tujuan di sebalik kenyataan ini?

Tentu ia bermaksud membuka gelanggang kempen terbuka untuk menukar Presiden yang ada di kalangan Alim Ulamak dan Faqih kepada bukan Ulamak. Maksudnya, berkempen daripada sesuatu yang afdhal dan utama dalam Islam iaitu Ketua Utama di kalangan Alim dan Faqih kepada sesuatu yang kurang afdhal iaitu Ketua bukan daripada kalangan Alim dan Faqih.

Sekiranya dilihat dengan lebih jauh lagi, ada pemimpin yang ingin memulakan gelanggang jawatan Presiden perlu ditandingi atau ingin berkempen bahawa terdapat individu yang lebih baik lagi untuk menjadi Presiden PAS berbanding Tuan Guru Presiden.

Dengan merujuk kepada Islam yang menjadi dasar PAS, Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa KEUTAMAAN untuk menjadi Presiden mestilah daripada kalangan Fuqaha yang faqih dan mujtahid.

Disediakan oleh:

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 7 Jamadil Awal 1436 H / 26 Februari 2015

Share on Myspace