Algeria selepas dua dekad rampasan kuasa tentera

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

ALGERIA merupakan sebuah negara yang terletak di utara Afrika yang telah melalui susur galur sejarah yang panjang. Negara ini pada asalnya di bawah naungan Khilafah Islam Turki, namun ia telah ditakluki oleh kuasa Perancis pada tahun 1830. Pendudukan Perancis telah disambut dengan gerakan jihad yang dipimpin oleh ulama besar Algeria yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Jazair. Perjuangan umat Islam ini telah mengorbankan sejuta orang syuhada sehingga Algeria dijoloki sebagai negara sejuta syuhada. Malangnya walaupun golongan Islam berjuang menentang penjajah yang memungkinkan kemerdekaannya pada tahun 1962. Kelompok sekular telah memegang tampuk kekuasaan negara.

Algeria menjadi sebuah negara sekular dan dipimpin oleh Ahmad Benbela daripada parti FLN (Front Liberation National). Peranan Islam telah disempitkan hanya kepada persoalan solat dan puasa sahaja. Ahmad Benbela telah digulingkan oleh Menteri Pertahanannya pada tahun 1965 iaitu Kolonel Hawari. Usaha pendakwahan terhadap masyarakat terus digerakkan oleh tokoh-tokoh dakwah dan juga para masyaikh yang masih bergiat melalui Persatuan Ulama Algeria.

Angin kebangkitan Islam itu telah bermula secara perlahan-lahan di Algeria sekitar tahun 1978. Ia bermula dengan kumpulan-kumpulan usrah di beberapa masjid, khususnya di pusat-pusat bandar seperti Algeis, Wahran (Oran), Sidi Bel Abbes, Laghout dan sebagainya. Dalam masjid yakni terlepas daripada kawalan Menteri Hal Ehwal agama, seluruh perbincangan bukan lagi tertumpu kepada soal-soal solat, puasa dan seumpamanya malah perbincangan terus menjangkau isu-isu seperti cara untuk hidup dalam sebuah negara Islam, kegiatan ekonomi dan kepincangannya serta lain-lain masalah yang mencengkam Algeria apabila peranan Islam dipinggirkan.

FIS merupakan gerakan Islam yang ditubuhkan hasil manifestasi kebangkitan Islam di Afrika Utara yang dilatari oleh keterpurukan ekonomi Algeria serta kemunduran sosial. Anak-anak muda yang berpendidikan, golongan kelas menengah, golongan Jihadis yang pernah berjuang di Afghanistan telah menganggotai gerakan ini. Kampus-kampus universiti di Algeria menjadi tapak semaian kader-kader FIS, juga kerana faktor masjid-masjid yang tidak dikawal oleh kerajaan telah memainkan peranan untuk mengajak masyarakat kembali menghayati ajaran Islam yang syumul. FIS menjadi pilihan bagi menterjemahkan citra dan nuansa politik Islam.

FIS cukup diminati oleh anak-anak muda di mana kelas masyarakat paling ramai di negara ini ialah kelompok di bawah umur 40 tahun kerana ramai orang tua telah meninggal dunia dalam pemberontakan menentang penjajah Perancis dalam dekad 50-an dan 60-an. Anak muda terkesan dengan gerakan kebangkitan Islam yang sedang menjadi fenomena sejagat dan mereka mencari identiti diri setelah fahaman sosialis mulai suram daya tarikannya.

Golongan dakwah telah mengambil kesempatan dengan keterbukaan ini dan menubuhkan FIS dengan matlamat untuk menegakkan kerajaan Islam di Algeria dan mereka percaya kemunduran serta krisis yang dialami adalah kerana pemerintah yang tidak melaksanakan syariat Islam. Dalam pilihan raya tempatan, dalam bulan Jun 1990 calon-calon FIS telah menang dengan cemerlang dan menampilkan perkhidmatan yang meyakinkan rakyat terhadap Islam dan politik Islam yang terasing jauh daripada rasuah. Kesannya dalam pilihan raya peringkat kebangsaan pusingan pertama pada 26 Disember 1991 rakyat memberikan sokongan yang besar kepada FIS.

FIS dalam pilihan raya pusingan pertama ini telah memperoleh 167 kerusi atau 81 peratus undi popular, jauh meninggalkan pesaing-pesaingnya yang lain. Laungan takbir telah memenuhi ruang angkasa Algeria menyambut kemenangan ini dan Barat terutama Perancis mula memasang konspirasi terhadap bekas tanah jajahannya ini.

Pemimpin-pemimpin utama FIS telah mendekam di kem-kem tahanan politik yang panas di gurun padang pasir. Malah secara biadap tentera telah menyamar sebagai aktivis Islam dengan memakai janggut palsu melepaskan tembakan terhadap orang awam supaya menimbulkan rasa benci dan marah rakyat terhadap gerakan Islam.

Presiden Boudiaf telah mengambil kuasa pada 4 Februari 1992 juga mempunyai kecenderungan untuk menghancurkan kekuatan FIS di mana pada 9 Februari 1992 gerakan Islam ini telah diharamkan. Pejabat pusatnya telah ditutup oleh pihak tentera menyebabkan berlakunya rusuhan dan pertempuran bersenjata yang menyebabkan kematian di pihak pejuang Islam dan tentera. Masjid-masjid serta himpunan berunsur agama dikawal dengan ketat, akhirnya menatijahkan suasana yang tegang diantara regim dan rakyat yang cintakan Islam.
Arab Spring yang melanda Afrika Utara dan juga Timur Tengah pada penghujung tahun 2010 dan awal 2011 tidak menjadikan Algeria turut bergolak seperti mana negara-negara yang lain. Parti An-Nahdah di Tunisia contohnya, dihidupkan kembali tetapi tidak terjadi kepada FIS. Simbahan kebangkitan Islam seolah agak perlahan, namun akhirnya lima buah parti berorientasikan dakwah dan islah telah ditubuhkan, antaranya HAMAS ( Parti muwwajahah silmy) yang ditubuhkan oleh Sheikh Mahfuz Nahnah, Parti an-Nahdah Algeria dan lain-lain lagi.

Pengkaji Asia Barat dan gerakan Islam memberikan pandangan bahawa pembunuhan hampir 200,000 jiwa di Algeria selepas peristiwa kudeta 1992 telah memberikan impak yang besar terhadap gerakan Islam negara itu. Pemenjaraan kepada tokoh-tokoh FIS serta pelumpuhan secara sistematik terhadap FIS telah menyebabkan organisasi itu hampir lumpuh.

Kerajaan tentera Algeria telah mengawal masjid, sekolah-sekolah agama dan kampus yang selama ini menjadi tempat pembenihan kepada FIS. Tokoh besar seperti Abdul Kader Hachani telah dibunuh secara kejam dan ini menyebabkan organisasi FIS dapat disurutkan kekuatannya oleh pemerintah. Terkini , Dr Abasi Madani mendapat suaka politik di Qatar, manakala Sheikh Ali Benhaj dikenakan sekatan terhad. Beliau hanya mengajar disebuah masjid yang berhampiran kediamannya dan berulang alik ke balai polis jika ada sedikit kenyataannya yang mengugat regim.

Kerajaan Algeria terkini juga sedang membina masjid terbesar di benua Afrika iaitu masjid itu mampu menampung seramai 200 000 jemaah. Usaha ini dilihat untuk mengendurkan pertembungan dan asakan oposisi. Termasuk juga membenarkan 13 stesyen tv milik oposisi untuk berfungsi, manakala kegiatan pendidikan tinggi Islam juga semakin tumbuh dan meranum seperti  Universiti Amir Abdul Qader yang terletak di Constantin. Yakinlah, diatas kejerihan dan kepayahan yang pernah gerakan Islam lalui selama ini, cahaya Islam akan bangkit bersinar kembali di negara sejuta syuhada itu. - HARAKAHDAILY 27/2/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, baru pulang daripada misi ke Algeria)

Share on Myspace