Skimpas, pelan takaful berkelompok untuk ahli PAS

| .

ANTARA sikap orang beriman itu termasuklah saling memperkukuh antara satu sama lain. Mereka bergandingan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran. Mereka bahu membahu dalam melaksanakan apa jua tuntutan Islam sekaligus berusaha sehabis daya meninggalkan setiap larangan.

Demikianlah antara pengajaran yang dapat diambil dari firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. [At-Taubah, 71]

Kemuncak pengharapan bagi orang yang beriman tiadalah lain selain redha Allah. Redha Allah lah yang memastikan setiap jiwa yang beriman dirahmati dan dikasihani khususnya pada hari pembalasan kelak.

Menyedari impian dan harapan itulah, kami di Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan Parti Islam Se-Malaysia (LKKP) Pusat terus berikhtiar menjadikan agenda berkebajikan yang digagaskan oleh PAS sejak 2011 diperbaharui dan dipertingkat dari semasa ke semasa. Berkebajikan yang bermakna mengejar redha Allah bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat terus diusahakan agar Islam sebagai rahmat benar-benar mampu dirasai.

Atas prinsip bertolongan dan saling membantu di kalangan umat Islam umumnya dan ahli-ahli PAS khususnya, suatu pelan takaful berkelompok telah dicipta melalui lajnah ini. Skim yang dinamai Skim Kifaalah Ahli PAS atau ringkasnya Skimpas adalah satu skim takaful yang dicipta khusus buat manfaat pendokong dan ahli-ahli PAS seluruh negara.

Skim yang dihasilkan dengan kerjasama pihak Syarikat Kifalah Sdn Bhd milik kerajaan Kelantan tersebut akan dilancarkan pada 14 Mac 2015 di Dewan Besar KUIZM, Taman Melawar, Kuala Lumpur.

Pelbagai manfaat telah dirangka bagi setiap ahli-ahli PAS yang mencarum secara tahunan dengan Skimpas. Kadar caruman telah mengambilkira kemampuan umum kebanyakan ahli dan pendokong PAS.

Antara manfaat utama Skimpas termasuklah kepada ahli waris pencarum yang meninggal dunia secara biasa ataupun kemalangan. Selain itu Skimpas telah dirangka untuk disertai oleh mereka yang berumur antara 18 tahun ke 59 tahun tanpa mengambilkira status kesihatan.

Selain itu Skimpas telah dirangka sebagai usaha pihak parti melalui lajnah ini bagi membantu setiap pendokong dan ahli parti yang selama ini cukup iltizam meletakkan agenda Islam dalam perjuangan.

Bagi pihak lajnah, amatlah tinggi harapan kami agar setiap pendokong dan ahli PAS menyertai Skimpas sebagai persediaan awal bagi menghadapi saat-saat sukar yang di luar pengetahuan kita. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

(Mohammad Faizal Che Yusof ialah Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS Pusat)

Share on Myspace