Benchmark baru kepimpinan

| .

 

KEADAAN tubuh yang masih lesu, tidak banyak pergerakan yang boleh saya lakukan. Sekadar berehat dan membaca. Alhamdulillah, berkat doa sahabat handai kini saya semakin pulih. Tidak sabar rasanya untuk kembali memacu kuda hitamku ke medan juang. Terasa sunyi lama di pembaringan begini.

Semalam saya sempat menonton Belasungkawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang disiarkan Astro Oasis. Seketika membawa saya kembali mengenang Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Saya mula mengenal almarhum sejak berusia 15 tahun iaitu pada tahun 1985. Minat saya kepada almarhum Tuan Guru tertumpu kepada pendekatan dan kaedah penyampaian ilmunya. Sangat unik dan segar. Kaya dengan bidalan klasik dan perumpamaan kontemporari. Kuliah ilmu dan ceramah politiknya hidup. Membangun minda dan menyegarkan jiwa. Jauh dari maki hamun dan kata - kata kesat sekalipun kepada lawan politiknya.

Saya tertarik dan sangat bersetuju dengan pandangan ringkas Datuk Hussamuddin Karangkraf yang turut dimuatkan dalam rencana Belasungkawa Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Astro Oasis semalam.

Kata beliau, kepimpinan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dikenali sebagai sangat rajin membaca dan tekun melazimi al-Quranil Kareem menjadi benchmark baru kepimpinan selepas ini.

Sesiapa yang mahu menjadi pemimpin, kena rajin baca al- Quran, tadabbur al-Quran 30 juzuk dan mempraktikkan ajaran al-Quran dalam kepimpinan dan hidupnya.

Satu pandangan yang sangat bermakna. Justeru pemimpin bukan sekadar terhenti pada urusan dirinya dengan orang yang dipimpin tetapi terus bersambung dengan Allah Azza wa Jalla.

Terutama pemimpin kepada gerakan Islam, terlebih wajar menjadikan penguasaan al Quran dan keupayaan mentadabburnya sepanjang masa sebagai benchmark baru kepimpinan. Manakan tidak, Al Quran adalah Nur dan kalamulLah yang membekalkan petunjuk dan berkat.

Pemimpin yang mendapat petunjuk dan diberkati Allah swt akan berjaya serta selamat di dunia dan akhirat.

Benchmark ini akan meletakkan pemimpin gerakan Islam berkualiti tinggi. Bukan hanya pada kepintaran berpolitik tetapi politiknya disuluh dengan cahaya hidayah Allah swt.

Bukan hanya kepintaran berorganisasi tetapi organisasinya dipandu oleh pedoman Al Quranil Kareem. Bukan hanya pada penampilan imej secara zahirnya tetapi imej yang bersulamkan akhlak Al Quranil Kareem.

Mendepani cabaran semasa yang semakin getir hari ini, pemimpin yang tidak mesra al Quranil Kareem sangat tidak sesuai justeru persaingan hari ini memerlukan pertolongan dari langit. Jauh sekali pemimpin yang tidak tahu membaca al Quranil Kareem dengan baik. - HARAKAHDAILY 4/3/2015

Share on Myspace