Tidak gaduh dengan musuh tetapi lawan sama sendiri

. | .

PAS sebuah parti politik Islam maka pastinya kita berbeza dengan parti politik yang lain. Matlamat kita bukanlah hanya untuk menang dan mendapat kuasa, tetapi kita ingin melaksanakan Islam dengan kuasa yang diperoleh.

Tidaklah boleh setelah meruntuhkan Jahilliyyah lama kemudian diganti dengan jahiliyyah baru.

Sasaran kita ada tiga kategori:

a) Ummatud Dakwah- semua orang yang perlu diseru kepada Islam termasuklah orang UMNO, DAP dan lain-lain

b) Ummatul Ijabah- Orang yang sudah menerima seruan Islam, perlu diprogramkan

c) Ummatut Tarbiyyah- Orang yang ditarbiyyah daripada menjadi penyokong kepada pekerja kemudian menjadi kepimpinan.

Kita diberikan ganjaran pahala oleh Allah atas apa gerak kerja yang kita lakukan bukan hasil daripada kerja itu.

Buah atau bukti tarbiyah berjaya ialah lahirnya pengorbanan, sanggup berkorban jiwa, tenaga, harta dan segalanya untuk perjuangan.

Jikalau orang yang mati syahid, kuat bertahajud, bersedeqah boleh berbangga dengan amalan mereka di akhirat kelak, moga-moga kerja kita untuk memenangkan Islam ini boleh dinilai walaupun amatlah sedikit untuk dibandingkan dengan yang sebenar.

PAS membawa jenama Islam pada namanya, maka besar cabaran kita yang menggalasnya apatah lagi musuh akan sentiasa berusaha untuk memecah-belahkan kita.

Atas apa suasana hangat yang berlaku kebelakangan ini, ia adalah lumrah dalam politik yang sering berkocak, tidak berkesudahan dan bersifat jangkaan spekulasi. Apatah lagi poltik ini melibatkan menguruskan manusia yang pelbagai ragamnya sehingga kadang kala kita tidak bergaduh dengan musuh tetapi berlawan pula sesama sendiri.

Di dalam organisasi ini, Presiden diibaratkan sebagai nakhoda kapal yang nampak jauh hala tuju yang ingin dibawa, cabaran yang ada di hadapan berbanding anak kapal di bawah. Ada perkara yang pimpinan di atas lebih mengetahui berbanding pimpinan dan ahli di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

Dalam keadaan sebegini, kita seperti krew penerbangan perlu lebih tenang berbanding penumpang yang berada di dalam pesawat yang sedang dilanda masalah. Usahlah pula kita masuk campur hal politiking dalaman atau membocorkan rahsia parti.

Pada zaman media sosial ini lagi besar dugaannya kerana masing-masing ingin menyatakan luahan, pandangan dan kritikan. Walaupun penegasan sudah dibuat banyak kali oleh pimpinan bahawa PAS tidak keluar Pakatan Rakyat, PAS tidak akan bergabung dengan Umno tetapi khabar ini tetap disebarkan dalam media.

Ibarat sebuah pohon yang bergoyang kerana angin, daun-daun kering akan gugur tetapi masih ada lagi daun yang kekal di pohon.

Ujian Istiqamah amatlah berat. Sejarah telah membuktikan ada pimpinan yang begitu hebat tetapi dia keluar dari parti.

Maka, usahlah kita mendabik dada mengatakan aku ini kuat, akan terus hidup mati dengan perjuangan.

Bagaikan sebuah rumah yang ada atap, tiang, dinding, dan tangga. Kesemuanya ada peranan penting masing-masing yang perlu dibuat, begitulah kita di dalam gerakerja parti ini.

Dalam menghadapi ujian kini, kita perlu menjaga tiga perkara:

a) Jaga hubungan kita dengan Allah agar terus Istiqamah di jalan-Nya

b) Jaga ukhwah sesama kita kerana ikatan Silaturrahim ini amatlah penting

c) Perbanyakkan berdoa agar dikurniakan kekuatan, kesabaran dan rezeki

Rezeki itu maknanya amat luas., ia bukan sahaja bermakna duit, pendapatan bertambah bahkan perlindungan dari bala dan perbelanjaan dapat dikurangkan juga itu rezeki.

Kita boleh beli makanan sedap tetapi kita tidak boleh beli selera untuk memakannya.

Kita boleh tinggal di rumah yang besar tetapi kita tidak boleh beli kebahagiaan di dalamnya.

Kita boleh punyai tilam yang empuk tetapi kita tidak boleh beli kelenaan untuk tidur di atasnya.

Orang bandar mungkin kasihan melihat kanak-kanak di kampung yang bermain tidak sehebat dan secanggih permainan di bandar tetapi hakikatnya kanak-kanak itu mendapat matlamat kegembiraan.

Usahlah hanya melihat pada alat itu, tetapi lihatlah matlamat yang ingin digapai.

Tulisan di atas adalah perkongsian Kuliah Zohor yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu.

Share on Myspace