Hamas bukan pengganas, mereka wira umat

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

Keputusan Mahkamah Mesir meletakkan Hamas, sebuah gerakan Islam sebagai pengganas adalah sebuah arca ketololan dan selari dengan nafsu regim zionis Israel beserta sekutunya Amerika. Siapakah Hamas, sehingga namanya mencuat dan menjadi tarikan sihir untuk semua media antarabangsa?

Dalam tahun-tahun 60-an dan 70-an perjuangan menentang Israel lebih terarah kepada kelompok Sosialis dan kebangsaan Arab yang sempit. Ternyata ideologi Barat ini tidak mampu menggerunkan Israel yang hanya memahami bahasa bom dan senapang. Saatnya sudah tiba untuk mereka kembali kepada perjuangan Islam yang seiring dengan kebangkitan Islam yang sedang bergelora di seluruh dunia.

Sebelum munculnya Hamas, kelompok Islam bergerak dalam pertubuhan Mujtama' Islam, manakala gerakan PLO sedang menjadi fenomena kepada anak-anak muda yang berjuang menentang Israel.

Apabila puluhan tahun gerakan berbasis sosialis ini gagal, ulamak dan aktivis dakwah merasakan bahawa sudah tiba masanya gerakan Islam yang syumul di bentuk untuk memicu kebangkitan di bumi Palestin.

Umat Islam wajib dikembalikan kepada nuansa perjuangan yang berteraskan Islam, berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, pada bulan Disember 1987 Syeikh Yasin bersama beberapa orang tokoh masyarakat (pendukung-pendukung Ikhwanul Muslimin di Gaza) mengasaskan pergerakan kebangkitan Islam (Hamas) atau dalam bahasa Arab disebut Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah.

Pertubuhan ini secara langsung membawa fikrah Ikhwanul Muslimin.dan menyeru rakyat Palestin berjuang atas dasar Islam menentang penjajahan Yahudi dan Palestin. Syeikh Yasin sendiri dipilih sebagai pemimpin tertinggi dan beliau merupakan ideologue gerakan ini yang terkenal dengan sifat warak, berani, lantang berpidato, sedia berkorban dan mempunyai aura kepimpinan.

Dalam bulan Disember 2004, Hamas telah menyertai sistem politik apabila menyertai pilihan raya perbandaran Palestin. Kemunculan Hamas sebagai wadah politik yang mengambil peluang daripada sistem demokrasi adalah sesuatu yang menarik kerana Hamas sebelum ini dikenali sebagai gerakan bersenjata yang telah di senarai hitam oleh Amerika Syarikat.

Hamas sebelumnya turut membariskan calon-calonnya di universiti-universiti tempatan dan kesannya telah menyebabkan Hamas cukup berpengaruh pada masyarakat kampus dan masyarakat kelas menengah.

Hamas juga turut mengedarkan manifesto politiknya ke arah kerajaan yang bersih di mana menggalakkan rakyat mengamalkan ajaran Islam, menjauhi arak, wanita menutup aurat, kepimpinan bebas rasuah dan pendidikan.

Pilihan raya umum dalam Januari 2006 telah mengejutkan dunia, Amerika dan sekutunya terus terkesima kerana Hamas tidak dilihat berpotensi untuk meraih sokongan awam sebelum ini kerana konflik berdarah Palestin dan juga kucuran dana Amerika kepada pihak pesaing Hamas.

Pilihan raya ini menyaksikan Hamas menang 76 daripada 172 kerusi parlimen yang dipertandingkan manakala parti pemerintah sebelumnya Fatah hanya menang 43 kerusi dan 13 kerusi lagi dimenangi oleh parti-parti berskala kecil dan calon-calon bebas.

Kemenangan Hamas mencetuskan rasa kurang senang kuasa-kuasa Barat yang menjadi orang tengah kepada pelan damai Asia-Barat. Antara kempen utama Hamas ialah isu mengenai kegagalan Fatah dalam rundingan damai, rasuah yang diselubungi oleh pihak berkuasa Palestin yang dipimpin oleh Fatah dan kejayaan Hamas mengundurkan tentera Israel daripada Gaza. Hamas juga telah menjanjikan kepada rakyat sikap untuk terus menentang Israel dan mengembalikan hak mereka yang dirampas.

Hamas telah berjaya membentuk kerajaan dimana Ismail Haniyyeh menjadi Perdana Menteri. Tekanan kepada kerajaan ini semakin meningkat , termasuk sekatan pembayaran gaji kepada kakitangan kerajaan, tekanan daripada negara jirannya Mesir yang dipimpin oleh Hosni Mubarak.

Kemuncaknya Gaza diserang pada 27 Disember 2008 sehingga menyebabkan kemusnahan dan kematian yang besar,Operasi Cast Lead juga menyaksikan Hamas melakukan perlawanan yang hebat. Nama gerakan Islam menjadi sebutan apabila mereka berjaya menjadikan Israel sebagai kambing yang ketakutan.

Walaupun Gaza dikucilkan oleh masyarakat antarabangsa, terutama negara-negara Arab yang menjadi pak turut Amerika, Hamas terus berdada dengan izzah menentang negara haram Yahudi. Briged al-Qassam, sayap tentera mereka terus menjadi bualan anak muda Islam dan dibanggai insan yang beriman. Obligasi mereka ialah untuk mendapatkan kembali al Quds, setiap inci tanah Palestine yang dijarah Zionis.

Hamas walaupun dengan sejuta halangan, mehnah dan tribulasi terus menghantar isyarat kepada dunia Islam, sama ada kita semua peduli atau tidak, mereka tetap akan berjuang untuk mengembalikan bumi yang menjadi kiblat pertama umat Islam.

Dalam perang 51 hari tahun 2014, Israel mengaku kalah dan mengangkat bendera putih. Roket Hamas telah berjaya menghujani Tel Aviv, Haifa, Ben Gurion, Ashkeloon, Ashdod dan bandar-bandar yang lain.

Gerakan Islam ini akan terus menjadi wira ummah, mereka akan kekal di relung hati kita yang paling dalam, menjadi belahan jiwa kita dengan kucuran kasih sayang dan doa kita semua. Sesiapa yang memusuhi mereka maka akan turut dimusuhi kita semua! - HARAKAHDAILY 8/3/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat, juga aktivis bantuan Gaza.

Share on Myspace