Sinergi dalam ikhtilaf dan hubungan Pakatan Rakyat

SUHAIZAN KAIAT | .

1. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) mentakrifkan sinergi ialah usahasama antara individu, organisasi dan lain-lain yang hasilnya lebih baik berbanding jika usaha tersebut dilakukan secara sendirian.

2. Ikhtilaf pula bermaksud perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara.

3. Mutahir ini hubungan antara PAS dan DAP sedikit panas berikutan isu-isu yang berlaku. Ia telah menambah suhu masalah dalaman PAS.

4. Ramai pihak melihat isu dalaman PAS sebagai krisis. Tetapi Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah menafikan masalah yang berlaku sebagai krisis. Sebaliknya beliau mempertegaskan bahawa ia hanyalah satu ikhtilaf.

5. Beliau sering menegur dua kumpulan yang berikhtilaf ini agar jangan terlalu ketat sehingga tidak boleh bergerak dan jangan terlalu longgar sehingga terhakis perjuangan Islam daripada PAS.

BERSELISIH PENDAPAT PERKARA BIASA

6. Dr Yusuf Al-Qaradhawi telah menulis sebuah buku bertajuk Fikh Ikhtilaf. Beliau menyatakan pandangan Umar bin Abdul Aziz terhadap ikhtilaf iaitu “Aku tidak suka jika para sahabat Nabi Muhammad S.A.W tidak berselisih pendapat. Sebab jika mereka dalam satu pendapat, nescaya manusia akan mengalami kesempitan”.

7. Dalam contoh yang lain, Nabi Musa dan Nabi Harun juga berbeza pendapat berhubung kaumnya yang mengikut ajaran Samiri.

8. Saidina Abu Bakar juga berbeza pendapat dengan Saidina Umar dalam menentukan hukuman kepada tawanan perang.

9. Dr Yusuf Al-Qaradhawi memandang positif terhadap perbezaan dalam fekah malah perbezaan ini akan memberi kebaikkan jika diurus dengan baik.

10. Pemuda PAS Malaysia akan menganjurkan Nadwah Fiqh Ikhtilaf pada bulan April 2015, Insya Allah.

11. Jika sesama sarjana Islam pun ada perbezaan pendapat maka sudah tentulah rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang berbeza idologi ada perbezaannya.

SINERGI SEBAGAI PILIHAN ALTERNATIF KETIGA

12. Soalnya, bagaimana menguruskan perbezaan sehingga boleh menghasilkan sinergi dalam hubungan tersebut?

13. Terdapat satu pandangan baru dalam menguruskan perbezaan pendapat pada masakini. Kita biasa terdedah kepada dua pandangan sahaja samaada setuju atau tidak, menang atau kalah, bergaduh atau berdiam.

14. Pandangan baru ini mencadangkan altenatif ketiga menggunakan keadah sinergi. Pandangan ini tidak mengikut pandangan pertama atau kedua sebaliknya memilih pandangan ketiga.

15. Sinergi ini akan memberi keuntungan berganda kepada kedua-dua pihak. Bukan mudah untuk melaksanakan sinergi. Ia memerlukan kreativiti, inovasi dan komitmen yang tinggi untuk mencapainya.

16. Sinergi memerlukan juga masa, kesabaran dan sentiasa berfikir ‘diluar kotak’.

17. Contoh sinergi boleh dilihat daripada sirah Rasulullah S.A.W. Apabila Saidina Hamzah gugur syahid dibunuh oleh Wahsyi bin Harb seorang hamba yang dijanjikan merdeka. Rasulullah begitu marah dengan gugurnya Hamzah di medan Uhud. Hati Hamzah dikunyah-kunyah Hindon dengan rakusnya. Sehingga Rasulullah S.A.W mahu membalas kematian ini dengan membunuh 70 orang musrik.

18. Allah menegur Rasulullah S.A.W melalui surah An-Nahl ayat 126 “Dan jika kamu memberi balasan maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepada kamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar”.

19. Ada 3 alternatif Rasulullah S.A.W pada waktu itu. Alternatif pertama membalas kematian Hamzah dengan membunuh 70 orang musyrik, alternatif kedua mendiamkan diri dengan kematian Saidina Hamzah dan alternatif ketiga adalah bersabar dan menyusun strategi untuk terus maju kehadapan.

20. Walaupun Allah membenarkan baginda membalas kematian Saidina Hamzah tetapi Rasulullah memilih alternatif ketiga iaitu sinergi. Apakah kelebihannya ?

21. Alternatif pertama membalas kematian Hamzah dengan membunuh 70 orang musrik mungkin akan menyemarakkan kemarahan dan kebencian bukan Islam kepada Rasulullah S.A.W dan ajarannya. Maka Islam akan lebih digeruni dengan pembunuhan itu. Orang bukan Islam akan terus menjauhkan diri.

22. Bayangkan jika Rasulullah mengambil alternatif pertama maka umatnya juga akan mengambil jalan yang sama. Berapa ramai yang akan dibunuh bagi membalas kematian orang Islam.

23. Jika Rasulullah S.A.W memilih alternatif kedua dengan membiarkan ia berlalu begitu sahaja maka kematian Hamzah tidak memberi sebarang manfaat kepada Islam. Ini adalah suatu kerugian kepada Islam.

24. Berdasarkan kepada sirah, Rasulullah S.A.W membuat pilihan alternatif ketiga iaitu tidak menyimpan dendam dan tidak terus bersedih dengan kematian bapa saudaranya. Baginda bersabar dan terus menyusun strategi kehadapan menyebarkan Islam dengan penuh bijaksana.

25. Akhirnya selepas 5 tahun, baginda dapat membebaskan Mekah daripada cengkaman Musyrik Mekah. Satu kejayaan yang sangat luarbiasa hasil daripada pertolongan Allah dan kebijaksanaan membuat keputusan yang tepat pada masa yang betul.

SINERGI DALAM PAKATAN RAKYAT

26. Dalam konteks Tahaluf Siyasi PAS dan DAP dalam PR, berhubung dengan Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan, kita Sedia maklum DAP tidak bersetuju dengannya.

27. Walaupun ada mekanisma dalaman yang banyak tetapi ada sebahagian pimpinan yang bertempur dalam media arus perdana. Keadaan ini perlu dibaiki segera.

28. Terdapat dua altenatif dalam masalah ini. Pertama, PAS mahu bentang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan kerana mahu melaksanakan perintah Allah. Altenatif kedua, DAP tidak setuju dengan pembentangan enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan kerana bertentangan dengan perlembagaan Malaysia.

29. Jika berterusan pertembungan ini maka akan merugikan semua pihak dalam PR. Mengapa tidak kita menggunakan alternatif ketiga untuk menyelesaikan masalah melalui keadah sinergi?

30. Keadah Sinergi ini memerlukan kedua-dua pihak duduk berbincang mencari penyelesaian terbaik dan mencari kelebihan berganda untuk semua. Pendekatan kreatif keadah sinergi adalah dengan memberi fokus kepada titik temu antara kedua-dua pihak.

31. Hasil daripada pertemuan dengan pimpinan PR, saya mendapati satu titik temu antara PAS dan DAP dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan iaitu memberi fokus bagi undang-undang yang telah sedia ada dalam mahkamah syariah dibawah bidangkuasa kerajaan negeri.

32. Kesalahan jenayah dibawah bidangkuasa kerajaan Persekutuan tidak menjadi fokus pada tahap ini. Cuma masalahnya adalah hukumannya terhad kepada 3 tahun penjara, RM5000 dan 6 kali sebatan sahaja.

33. Bagi membolehkan Kerajaan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan dalam bidang kuasa kerajaan negeri maka kerajaan persekutuan perlu membuat pindaan Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah 1965). Pindaan ini perlu mendapat persetujuan daripada BN, PR dan Bebas.

34. Dengan melepaskan ikatan ini maka semua pihak sama ada parti politik dan rakyat mendapat manfaat yang berganda. Moga Allah memudahkan urusan ini. - HARAKAHDAILY 8/3/2015

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace