Wanita: Harapan buat ummah

SITI MAISARAH MANAB | .

“Wanita ibarat tiang di dalam rumah yang biasanya tidaklah begitu kelihatan. Tetapi jika rumah sudah condong maka periksalah tiangnya, tandanya tiang sudah lapuk” (Hamka, 2009)

Kata-kata yang diungkapkan oleh Prof. Dr. Hamka ini membawa satu pengertian yang begitu mendalam tentang kedudukan wanita. Mungkin kita biasa dengar dalam versi lain, “Wanita tonggak negara. Jika wanita itu baik, maka baiklah negara”.

Kedudukan Wanita

Wanita mengalami banyak diskriminasi dan penindasan dalam pelbagai aspek kehidupan ketika dahulu dimana hak-hak kaum wanita diabaikan malah tidak diendahkan langsung. Hal ini dapat dilihat dalam sejarah bangsa Romawi suatu ketika dahulu apabila mereka menganggap wanita seperti tawanan yang boleh dilakukan sesuka hati, suami memiliki isteri secara penuh dan tidak ada jaminan perlindungan sedikit pun atas wanita. Jika dahulu pada zaman sebelum kedatangan Islam anak-anak perempuan yang lahir dibunuh hidup-hidup maka Islam datang untuk merungkai belenggu yang menghantui wanita ketika itu. Kehormatan dan martabat wanita sekaligus diangkat dan ditempatkan pada tempat yang sepatutnya. Dalam Islam, wanita mempunyai hak yang tertentu malah ada persamaan antara lelaki dan perempuan. Firman Allah s.w.t. ada menjelaskan persamaan antara wanita dan lelaki:

‘Barangsiapa mengerjakan amal soleh, lelaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, mereka itu masuk syurga dan tidak akan dianiaya walaupun sedikit pun’ (Surah An-Nisa : 124)
Islam mengangkat wanita di kedudukan yang mulia. Sehinggakan dalam Al-Quran sahaja begitu banyak menceritakan perihal wanita termasuklah diturunkan satu surah khusus yang dinamakan An-Nisa’, membawa maksud perempuan.

Peranan dan Sumbangan Wanita

Dunia globalisasi menuntut wanita untuk memainkan peranan bukan sekadar di rumah, tetapi juga di luar. Wanita juga merupakan sebahagian besar daripada tenaga kerja dalam sektor kilang, pertanian, sektor perkhidmatan dan sektor-sektor lain yang menuntut masa mereka sekitar 7 ke 12 jam untuk berada di luar dan meninggalkan seketika tanggungjawab di rumah. Walaupun begitu seharusnya para wanita sedar menjadi keutamaaan bagi mereka menguruskan hal ehwal rumahtangga dan mendidik anak, bersesuaian dengan fitrah dan tabiat diciptakan sebagai wanita. Sebagaimana yang disebut oleh Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan dalam bukunya ‘Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam)’ tentang pentingnya peranan kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri dalam membentuk keluarga yang tenteram dan mendidik anak-anak yang soleh. Pincangnya peranan salah satu pihak maka akan pincanglah institusi kekeluargaan.

Realiti Hari Ini

Dr. Yusuf Al-Qaradawi menulis sebuah buku yang bertajuk ‘Muslimatul Ghadi (Muslimah Hari Esok)’ menyatakan umat sedang berdepan dengan dua ideologi utama:

ideologi yang cenderung ke arah mengongkong dan menyekat kebebasan wanita;
idelogi yang keterlaluan dalam membuka pintu kebebasan terhadap wanita sehingga menghalalkan segala tindakan mereka, mengadaptasikan budaya barat lantas terus tenggelam dalam arus taklid dan ikutan membabi buta.

Pertama, terdapat golongan yang terlalu mengongkong dan menghalang wanita daripada keluar rumah untuk menuntut ilmu dan sebagainya. Wujud juga golongan yang terlampau terbuka sehingga membiarkan sahaja anak gadis mereka berbuat apa sahaja, berpakaian mengikut kehendak sendiri, pulang ke rumah lewat malam dan berpelukan di khalayak ramai. Jelasnya, kedua-dua golongan ini terlalu ketat dan terlalu longgar, bertentangan dengan Islam yang sebenar.

Kedua, tidak dinafikan arus pemikiran dan budaya barat yang menular dalam kalangan umat Islam mempengaruhi gaya fikir dan tindakan seseorang. Jika kita lihat wanita zaman ini sering menuntut pelbagai hak, hak untuk memimpin, hak untuk mahu setanding dengan lelaki dari pelbagai aspek, hak untuk menuntut kebebasan yang melampau sehinggakan mereka terlupa unutk memikirkan ‘Apa tanggungjawab aku yang perlu dilaksanakan?’. Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan fenomena ini adalah kesan daripada terikut dengan budaya barat yang seharusnya disedari oleh setiap wanita Islam bahawa wanita Islam mempunyai identiti, pegangan dan nilai tersendiri.

Wanita: Harapan Buat Ummah

Sesuai dengan kedudukan wanita yang istimewa dalam Islam, begitu jugalah harapan terhadap wanita. Kita mengimpikan wanita Islam yang hidup seiring dengan tuntutan zaman, tetapi masih teguh menjaga keperibadian diri dan melaksanakan tuntutan agama. Kita mengimpikan wanita Islam zaman kini yang mencontohi peribadi wanita agung di zaman Nabi s.a.w. dan salafus soleh dahulu, yang menjadi sumber penguat sang lelaki ketika keluar untuk melaksanakan tuntutan jihad. Kita mengimpikan wanita Islam zaman ini yang memahami tuntutan agama dan halatuju hidupnya, lantas menyedari peranan mereka yang penting dalam melahirkan generasi pemuda pemudi yang soleh. Dan pastinya, hari tersebut akan tiba.

"Tangan si muslimah itu bukan biasa-biasa. Bisa membangun, dan bisa juga menghancur."

Selamat Hari Wanita Sedunia.

Penulis ialah Timbalan Presiden Ma’ruf Club UIAM 15/16, merangkap Pengerusi Sweet Ma’ruf Club.

Rujukan:
Al-Qur’anul Karim, Surah An-Nisa’: 124
Kedudukan Wanita Dalam Islam, Prof. Dr. Hamka
Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan
Muslimah Hari Esok, Dr. Yusuf Al-Qaradawi
Fiqh Wanita Muslimah Menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah, Dr. Abdul Qadir Muhammad Mansur

Share on Myspace