Sang Lanun atas nama agama

DR ANGIN BUDIMAN | .

Tugu Alfonso de Albuquerque... lanun yang menjarah Melaka atas nama agama.

KAPAL Flo de la Mar adalah kapal lanun. Alfonso de Albuquerque adalah ketua lanun. Anak-anak kapalnya adalah lanun.  Selama empat puluh hari empat puluh malam, bala tentera Alfonso menjarah bumi Melaka.

Memang adat lanun merompak, segala harta benda awam diisytiharkan sebagai harta rampasan perang. Harta rampasan perang bukan sahaja emas, permata atau senjata tetapi termasuklah rakyat sendiri. Mereka akan menjadi hamba yang akan berkhidmat kepada tuan mereka sehinggalah ada yang ingin menebus atau membebaskannya. Jika dalam tradisi Melayu, hamba adalah suatu yang masih diamalkan. Kedatangan Portugis hanya melanjutkan lagi amalan tersebut.

Selama hampir setahun,  Alfonso menghimpunkan harta rampasan untuk dibawa pulang ke Portugal. Kapal Flor de la Mar telah dijadikan kapal untuk memuatkan harta rampasan tersebut.

Muatan Flor de la Mar terbahagi tiga jenis. Pertama adalah harta rampasan perang yang berupa peralatan senjata dan barang-barang bernilai. Antaranya adalah 3000 pucuk meriam, di mana 2000 daripadanya diperbuat daripada gangsa, senapang jenis lama, sumpitan-sumpitan, panas dan busur-busurnya, baju besi, lembing dan pelbagai jenis peralatan senjata lain.

Alfonso dalam Comeentaries menyebutkan bahawa antara barang-barang berharga lain adalah rantai tangan Noadabegea, enam ekor singa besar yang diperbuat daripada gangsa, intan permata, batu-batu berharga, alat-alat mainan di raja di istana, kain tekatan benang emas, pelangki bersadur emas dan hasil kerja tangan bahan dari kayu yang akan dipersembah kepada Raja Manuel dan Permaisuri Maria.

Di dalam catatan Alfonso, sebanyak 3000 meriam Melaka telah dirampas, 2000 daripadanya diperbuat daripada gangsa dan yang besar adalah hadiah Raja Culicut kepada Sultan Melaka. Yang lainnya diperbuat daripada besi. Menurut Nina Chatu, kota Melaka memiliki 8000 buah meriam.

Melaka mempunyai bekalan tembaga merah dan bijih timah. Pembuat senapang Melaka sebenarnya setanding dengan pembuat senapang Jerman. Beberapa buah senapang yang dilengkapi dengan roda meriam. Walau bagaimanapun mutu pembuatan meriam itu lebih rendah berbanding dengan mutu meriam buatan Portugis.

Selain itu, terdapat senapang lantak, sumpitan beracun, panah dan anak panah, baju besi, tombak dan pelbagai jenis senjata. Jumlah senjatanya adalah jauh lebih banyak daripada barangan dagangan di kota Melaka.

Alfonso mengambil enam ekor patung singa besar yang diperbuat dari gangsa dan rantai tangan berbingkai emas milik Nakhoda Begea yang diperbuat daripada tulang binatang liar yang terdapat di hutan Siam dan dipercayai memiliki kuasa kebal.

Patung singa ini mengingatkan aku tentang 12 patung singa di Alhambra, Andalusia. Patung singa besar dijadikan perhiasan di hadapan perkarangan istana-istana kerajaan Islam pada masa itu. Jika di Al Hambra, patung tersebut diperbuat daripada batu. Akan tetapi patung singa Melaka diperbuat daripada gangsa. Itulah kehebatan kerajaan Melayu Melaka.  

Jenis kedua muatan kapal Flora de la Mar adalah hadiah atau bingkisan sama ada daripada penguasa tempatan ataupun Siam dan Goa. Bingkisan dari Goa adalah berupa sebuah meja kayu yang kakinya bertatahkan emas. Kemungkinan juga terdapat hadiah daripada Pasai, Kampar dan Minangkabau.

Bingkisan dari Jawa misalnya mengandungi set gamelan lengkap dengan pemain-pemainnya, dua buah loceng besar, dua belas bilah lembing panjang serta sebuah lukisan yang menggambarkan raja Jawa menuju ke medan perang beserta gajah-gajahnya.

Bingkisan dari Siam yang berupa pedang, mahkota emas serta cincin permata juga terdapat tetapi berjaya diselamatkan.

Tenggelamnya kapal Flora de la Mar mengorbankan jiwa manusia.  Antaranya ialah wanita-wanita yang mahir dalam bidang tenunan dan tekatan serta pemuda-pemudi bangsawan. Disebutkan juga beberapa orang gadis daripada semua bangsa berlainan negeri juga menjadi rampasan Portugis.

Menurut A. Bausani yang mengambil sumber daripada Lettera Di Gionvanni Da Empoli menyatakan sekurang-kurangnya 115 orang terkubur bersama kapal itu.

Jenis ketiga yang tenggelam bersama kapal itu adalah wang emas. Menurut E. Sanceau, Alfonso pernah bersumpah membawa sejuta ringgit untuk diserahkan kepada Raja Portugal tetapi tidak dinyatakan jenis mata wang.

R. J. Wilkinson dalam Papers On Malay Subject, menyatakan bahawa Whiteway yang memetik kenyataan Correa, bahagian Raja Portugal adalah sekurang-kurangnya sebanyak 50,000 Cruzados ataupun lebih kurang Pound 95,000. Tidak hairanlah selepas air laut tenang, orang-orang Portugis menggunakan penyelam-penyelam untuk mengambil harta karun berkenaan tetapi usaha mereka sia-sia sahaja.

Alfonso membawa pulang segala khazanah kekayaan kuasa Melayu kononnya demi agama Kristian yang dianutinya. Dengan ajaran Kristian itulah dia berjaya membina empayar baru Portugis di Timur. Dengan menjual ayat-ayat suci kitab mereka, Alfonso membina pengaruh dan kekayaan.

Mereka membunuh, merompak dan menjadikan orang Melaka sebagai tawanan perang, semuanya atas nama agama.  Alfonso menempatkan beberapa paderi yang kononnya untuk menyebarkan ajaran agama mereka. Agama mereka tidak tersebar tapi mereka berjaya mengumpulkan kekayaan dan mendapat kedudukan. Nama mereka terpahat dalam sejarah.  

Dan kisah lanun menggunakan agama terdapat dalam setiap komuniti, setiap sejarah pertelingkahan sesama sendiri. - HARAKAHDAILY, 19/3/2015

Share on Myspace