Musafir ke alam baqa

NASRUDIN HASSAN | .

1. Dalam tempoh tidak sampai sebulan ini, saya kehilangan 2 ayah. Bukan saja insan tersayang, 2 ayah ini sangat bermakna dalam membangunkan jiwaku agar senantiasa dekat dan taat kepada Allah swt. Pada 12 Feb 2015 yang lalu, ayah saya dan ayah kita semua Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang lebih mesra dengan panggilan Ayah Ziq telah kembali ke rahmatillah.

2. Ayah Ziq bagaikan ayah saya jua. Bermula dengan hubungan akrab saya dengan sahabat saya YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. Saya sering menziarahinya di Pulau Melaka yang kebetulan beliau tinggal bersama ayahandanya. Kesempatan itu membuatkan saya juga sering berkesempatan bertemu dan berbual mesra serta menjalin erat hubungan antara kami selain pertemuan biasa dalam program jamaah. Malah sewaktu saya berada di luar negara, saya juga pernah menghubungi Ayah Ziq dengan surat untuk berbicara dan bertanya khabar beliau. Bagaimana Ayah Ziq mendidik saya dan kita semua tidak perlu diperkatakan lagi kerana semua "anak-anak" sudah maklum bagaimana murabbi ummah ini mendidik.

3. Masih dalam suasana sedih dan kehilangan, tanggal 7 Mac 2015 ayah kandung saya Allahyarham Hj Hassan Mohamad pula pulang ke pangkuan Penciptanya. Kebetulan saya sedang menyampaikan taujihat di Majlis Nadwah Pemerkasaan Duat (Nekad 7.0) Sarawak, saya dimaklumkan Almarhum ayah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak sekitar jam 4.00 pm sebelum ayah dipindahkan ke wad kecemasan Hospital Muadzam Shah. Seusai ceramah saya berjudul "Kepentingan Dakwah Fardiyah buat Ahli Gerakan Islam", saya terus bergegas ke airport untuk mendapatkan penerbangan pulang. Ayah kembali ke rahmatillah di Hospital Muadzam Shah pada jam 8.00 malam sedang saya masih dalam penerbangan pulang dari Kuching ke KLIA.

4. Saya masih ingat antara 4 atau 5 tahun yang lalu, ayah bertanya saya "Din, boleh tak ayah nak puasa setiap hari?" Sebelumnya ayah memang terkenal sejak puluhan tahun gemar berpuasa sunat pada hari dan bulan tertentu yang disunatkan berpuasa. Tapi kali ini agak aneh pertanyaan ayah. "Ayah, puasa terbaik ialah puasa Nabi Allah Daud a.s. iaitu selang sehari" jawab saya ringkas. "Ayah tidak boleh berpuasa setiap hari kerana ayah juga kena beri hak kepada jasad." Saya menyambung sambil memberi pandangan. Sejak itu sehinggalah hari-hari akhir dalam keuzuran yang semakin ketara, ayah berpuasa selang sehari sebagai pengabdian dirinya kepada Allah swt. "Ayah buat begini kerana tanda syukur kepada Allah swt atas segala nikmat-Nya" begitulah ungkapan yang ayah sebut bila ditanya kenapa ayah banyak berpuasa.

5. Ayah sangat menjaga solat berjamaah di masjid. Ayah tidak akan keluar mudah-mudah ke mana-mana, jika hilang peluang untuk ayah solat berjamaah. Beberapa tahun kebelakangan ini pula, ayah sering menyebut tentang kematian dan pengamatan saya, ayah bagaikan sangat bersedia untuk pulang ke pangkuan Ilahi. Segalanya menjadi didikan langsung kepada kami anak cucunya. Memandang wajah ayah pada saat wajahnya dikafankan adalah sangat menenangkan jiwa saya dan saya yakin ayah sedia dan puas untuk meneruskan musafirnya ke alam baqa yang kekal abadi. Semoga ayah damai di sana dalam dakapan rahmat dan redha Allah swt. Buat kedua-dua ayah saya, insyaallah saya berjanji akan menunaikan sepenuhnya amanah dan didikan ayah buat diri ini. Semoga Allah swt memberi kekuatan kepada saya dan kita semua.

Sekian.

Share on Myspace