Pastikan Tuan Guru tidak bersendirian

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

BUKAN lagi rahsia bagaimana kesungguhan musuh-musuh Islam berhadapan dengan apa saja kumpulan yang paksi perjuangannya menentang taghut. Apa jua nama kumpulan yang meletakkan Islam sebagai agenda perjuangan, musuh-musuh Islam ada perencanaan dan perancangan yang tersendiri agar kumpulan-kumpulan yang terpecah ini gagal dalam setiap misi mereka.

Jika pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat dulu Islam itu hanya ada satu puak yang memperjuangkannya, pelbagai aliran moden hari ini menjadikan Islam itu dilihat terlalu pelbagai dan terpisah. Dengan pelbagai peraturan dan perundangan semasa, sesiapa saja boleh menubuhkan apa jua kumpulan atas hasrat memperjuangkan Islam.

Dengan pelbagai aliran yang diwujudkan atas nama Islam, tidak sukar musuh-musuh Islam memporak perandakan gerakan-gerakan Islam agar terus diragui dan tidak mampu bersatu atas wadah Islam. Dalam suasana semasa inilah para cendekiawan Islam memperingatkan dua asas kepada gerak gempur musuh-musuh Islam terhadap Islam.

Dua asas tersebut tidak lain tidak bukan ialah “tashqiq” dan “tafriq”. Dalam mendepani apa jua nama gerakan Islam, umat Islam dimomokkan dengan pelbagai keraguan “tasqiq” terhadap syariat Islam dan diasak agar terpecah “tafriq” dalam memperjuangkan Islam. Dengan kewujudan pelbagai kumpulan dan aliran dalam memperjuangkan Islam, agenda “tasqiq” dan “tafriq” ini sebenarnya tidak sukar untuk direalisasikan.

Suasana yang sama tidak terkecuali didepani oleh Parti Islam Se-Malaysia, PAS. Tidak hanya dalam kalangan orang awam, penyokong, ahli-ahli, bahkan pendokong PAS, mudah saja musuh-musuh Islam memasukkan jarum-jarum keraguan kepada agenda yang sedang diperjuangkan PAS. Apatah lagi, sebagai sebuah badan siasah, mudah untuk dipesongkan kiblat keyakinan orang awam, penyokong dan pendokong PAS kepada apa yang dibawa oleh PAS.

Begitu juga sebagai sebuah gerakan Islam yang menggabungkan nilai-nilai tarbiah, kebajikan dan politik, kita terus diasak agar dilihat terpecah dengan gerak kerja masing-masing yang sengaja diserlahkan perbezaannya. Walhal kewujudan nilai-nilai tarbiah, kebajikan dan politik itulah sebenarnya rencam keunikan PAS yang meletakkan PAS pada kekuatan yang dibimbangi musuh.

Dengan kata-kata lain, apa jua yang digagaskan oleh PAS dalam perjuangannya akan dipesong sejauh yang dapat oleh mereka yang tidak senang dengan kita. Menyedari hakikat inilah betapa telah dilakukan dari semasa ke semasa tekad dan nekad sentiasa diperbaharui.

Berbalik pada suasana semasa, memang diakui ruang pemilihan dwi tahunan merancakkan suasana. Namun tidak harus kita lupa pada gagasan Negara berkebajikan yang telah dicetuskan oleh Alfadhil Tuan Guru Presiden pada 2011. Gagasan yang dibentuk sesuai dengan suasana Pilihan Raya Umum PRU 13 ketika itu bukan suatu gagasan singkat dan jangka pendek.

Ia merupakan satu gagasan yang mampu membawa PAS langsung kepada seluruh rakyat sekali gus mendekatkan mereka untuk bersama-sama mendokong perjuangan PAS. Harus sentiasa diingat bahawa PAS bukan semata-mata badan siasah. Ia adalah suatu gerakan Islam yang politik hanyalah salah satu nilai perjuangannya. Di sinilah keupayaan kita menggunakan setiap ruang bagi memastikan agenda PAS dapat disebarkan agar kian difahami seterusnya diterima rakyat.

Dalam keghairahan kita memperkatakan perihal pemilihan yang berlangsung, gagasan besar ini jangan sekali-kali ditinggalkan. Ia memerlukan satu kesungguhan dan iltizam yang cukup tinggi agar Islam sebagai rahmat ke seluruh alam mampu diserlah.

Kebimbangan Tuan Guru Presiden dalam Muktamar 2014 lalu perlu sentiasa diinsafi. Beliau amat bimbang di sebalik pernyataan-pernyataan sokongan dan berdiri teguh di belakang, sebaik berpaling ke belakang didapati beliau berseorangan. Di sinilah kewajipan seluruh mereka yang terlibat untuk memastikan Tuan Guru tidak bersendirian dalam memacu gagasan yang diperjuangkan PAS.

Setiap individu dan kepakaran yang kian subur di dalam PAS ada peranan tersendiri bagi menjayakan gagasan Negara Berkebajikan. Setiap lajnah dan badan dalam hieraki parti adalah saling memperkuat antara satu sama lain dalam satu misi dan visi yang satu. – HARAKAHDAILY 11/3/2015

Share on Myspace