1MDB: 1Malaysia mudarat besar menanti

DATUK MAHFUZ OMAR | .

Isu 1MDB semakin hari kian parah dan menjerut kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penjelasan demi penjelasan, perjumpaan demi perjumpaan dibuat untuk meyakinkan kepimpinan Umno sendiri mengenai ‘hebatnya’ 1MDB milik kerajaan ini.

Jikalau isu ini sekadar picisan dan tidak berasas, mana mungkin sampai perlunya kesemua Ketua Bahagian Umno berkumpul untuk mendengar sendiri penjelasan oleh Presiden Umno berkenaan 1MDB?

Bukti kukuh kerisauan Umno lagi jelas terzahir apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan media khusus mengenai 1MDB yang mana beliau berkata “saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.” Kelihatannya PM dan TPM sendiri tidak sebulu di dalam hal ini.

Dalam keadaan ekonomi negara menuju krisis yang amat kritikal sehingga memerlukan pengstrukturan semula Bajet 2015, skandal kewangan 1 MDB ini “bagai mencurah garam ke atas luka”.

Bebanan hutang yang begitu melampau itu akan memberikan impak besar kepada negara khususnya rakyat jelata.

Dengan nilai hutang RM42 billion itu secara perbandingan mudah, pihak kerajaan boleh menaikkan lagi kadar BR1M sehingga RM6,176 kepada 6.8 juta penerima, atau RM900 kepada 46 juta orang penerima, atau membina 1.2 juta unit rumah kos rendah yang bernilai RM35,000, atau 168 projek NFC yang bernilai RM250 juta, atau 14 juta ekor lembu yang bernilai RM3,000 seekor. Tetapi, kelihatannya kerajaan Barisan Nasional lebih rela berhutang berbilion ringgit daripada berbelanja untuk kepentingan rakyat jelata.

Perdana Menteri telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit 1MDB tetapi saya masih ingat pada penghujung 2014 yang lalu, Tan Sri Ambrin Buang sendiri pernah berkata tidak ada keperluan untuk mengaudit 1MDB ini kerana ia telah diaudit oleh empat syarikat pengauditan dunia.

Jadi,adakah arahan pengauditan ini dibuat benar-benar telus atau ingin memberi ‘cap halal’ kepada segala salah laku dan penipuan yang berlaku di dalam 1MDB?

PAS berharap agar PM bertindak dengan berani dan telus dalam isu skandal kewangan ini. Usahlah dengan semudahnya ingin berlepas diri dengan berkata PM tidak terlibat dengan operasi harian 1MDB tetapi hakikatnya PM tetap Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang tahu akan dasar dan strategi pelaburan yang dilakukan oleh 1MDB.

Saya tetap konsisten dalam isu ini agar suatu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat segala hal yang berkait dengan 1MDB.

Peringatan yang diberikan ini agar kita tidak lagi terlambat dalam bertindak seperti mana kerajaan telah gagal membaca jangkaan kesan kejatuhan harga minyak dunia seperti yang berlaku sekarang ini. - HARAKAHDAILY 11/3/2015

Share on Myspace